Blogger Templates

Monday, January 12, 2009

SeNtuHan CinTa


Tajuk : Sentuhan Cinta
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4

------------------------------------------------------------------
“ kecantikan sebenar seseorang itu terletak pada hatinya…”

Resensi Si Ungu:

Agak lama juga saya mencari naskhah ini dan hanya baru-baru ini menemuinya dan kebetulan ia salinan terakhir yang mereka ada di kedai tersebut…alhamdulillah, memang rezeki saya. Seorang rakan Geng Kicap mencadangkan saya membacanya kerana ia membawa satu tema yang agak berlainan sedikit dan jalan cerita katanya sangat menarik diikuti.

Sentuhan Cinta (SC) merupakan satu percubaan yang cukup baik dari penulis ini bagi menzahirkan sebuah karya yang berteraskan kefahaman psikologi manusia. Konsep dan pemahaman sudut psikologi tersebut diasimilasikan penulis menerusi watak utama novel ini iaitu Hurin Ain dan menerusinya ia dikembangkan dengan cukup baik sekali. Penulis bagi saya membuat kajian rapi tentang tema cerita yang ingin disampaikan beliau menerusi naskhah ini. Mesejnya cukup terkesan di jiwa kita sebagai pembaca, kita turut berkongsi emosi tatkala Hurin dihambat kekejaman mental kesan dari masalah intepritasi mindanya yang teruk dicelarukan…kasihannya Hurin!!

Kalau ada yang berpandangan konsep cerita ini adalah seperti sebuah dongengan versi moden yang cuba dimomokkan penulis, ia sebenarnya kurang tepat. Jangan terkejut jika ia suatu permasalahan kejiwaan yang sedia wujud dalam persekitaran kita..di sekeliling kita, cuma yang membedakannya adalah topiknya sahaja. Di sini topiknya ialah kecelaruan personaliti. Kecelaruan pada minda yang telah tanpa disedari mengendurkan sifat jati diri pada individu berkenaan secara perlahan-lahan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis kacukan inggeris-melayu bernama Hurin Ain yang mengalami kecelaruan personaliti kesan dari perbuatan kejam ibu tirinya; Tajiyah sejak dia kecil lagi yang mengadaptasi ke minda anak malang ini bahawasanya dirinya sangat hodoh, matanya nan biru itu umpama mata pontianak dan rambut perangnya nan beralun itu umpama rambut hantu kubur. Kesan dari akal fikiran yang telah dihipnotis dari kecil dia mempunyai tanggapan dan persepsi yang berlawanan sifatnya terhadap fizikal dirinya sendiri walau pada hakikat sebenar ia adalah bertentangan sama sekali...dia kanak-kanak yang sangat comel dan dewasa menjadi wanita yang cukup mempersonakan pada mata yang memandang. Tanggapan ini akhirnya berkembang dalam minda anak kecil ini dan membentuk satu persepsi kejam terhadap dirinya sendiri.Dia merasakan dirinya amat jelik, buruk dan tidak segandingan dengan orang lain di dunia luar dan perkara ini berlarutan hingga dia menginjak usia dewasa dan terus terpahat kukuh di minda dan sanubarinya tanpa dapat digugat.

Perwatakan dalam SC memberikan tumpuan yang berkesan kepada tonggak utama cerita ini; Hurin Ain Ilham dan penulis menggarap perwatakan Hurin dengan cukup berkesan sekali. Bahasa tubuhnya cukup baik dizahirkan penulis. Tidak ketinggalan watak-watak pembantu lain yang turut merancakkan jalan cerita ini. Steven Zaiful Aman , Redzal Idham. Watak-watak antagonis turut dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis.Tajiyah, Rini & Rima dipotretkan dengan cukup kelam sekali oleh penulis.

Penggunaan terma-terma, istilah atau jargon didalam dunia psikologi yang sedikit sebanyak diselitkan di dalam naskhah ini amat bersesuaian dengan jalan cerita dan bertepatan dengan masa dan keadaannya. Laras bahasa mudah difahami biarpun ada penggunaan unsur-unsur metafora juga personifikasi yang bertujuan mengindahkan suasana dan mood cerita.

Mesej yang jelas menerusi naskhah cantik ini anak-anak umpama kain putih…mereka bersih, tulus, jujur….diserakkan dengan warna putih, tuluslah dia, kalau hitam, maka kelamlah dia. Justeru itu, jiwa anak-anak janganlah dikotori dengan elemen-elemen negatif juga momokan songsang kerana segala apa yang diterapkan dalam minda mereka dari kecil akan memberi kesan pada tingkah-laku juga mempengaruhi persepsi mereka terhadap perkara tersebut apabila dia dewasa kelak.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas percubaan anda didalam mengenengahkan permasalahan ini menerusi Sentuhan Cinta. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

No comments:

Post a Comment