Blogger Templates

Wednesday, October 28, 2009

PerCayaLaH...AkHirnYa



Tajuk Buku : Percayalah…Akhirnya
Penulis : Ruby Hazri
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM22.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 5




----------------------------------------------------------
orang yang mencintai diri kita adakalanya tidak berupaya memberikan alasan kenapa dia mencintai kita. Apa yang barangkali dia tahu ialah, di hati dan di matanya hanya mengalir satu rasa cinta terhadap kita…itupun jika kita menyedarinya.”

Resensi Si Ungu:

Penghasilan sebuah sequel sebenarnya bukan mudah. Tanggungjawab yang tergalas di bahu sang penulis juga tidak enteng malahan sangat terbeban dengan segala bentuk kehendak bagi memastikan ia mencapai piawaian pembaca. Silap percaturan, kegagalan pasti menanti di hujung sana. Saya fikir penulis ini juga tidak terkecuali dari melalui frasa tersebut. Rasa takut, rasa khuatir itu pasti bermukim di lubuk hati. Namun setelah menamatkan perjalanan menyusuri naratif sequel Percayalah ini, apa yang saya boleh katakan cuma satu…hanya satu rangkaian kata sahaja…anda memang hebat Ruby!. Anda buat saya terduduk, termangu dan hilang kata-kata…segalanya kerana naratif ini!

Bermula di laman bunga hati, e-novel sequel ini mula menjengah pembaca. Agak lama juga ia terhenti lalu pembaca bagai ternanti-nanti apakah sudahnya kisah dua insan berlainan latar dan budaya dari dua benua ini. Dari Percayalah, penulis ini melakar kisah Nur Atiqah dan Danial Wolfgang yang sungguh indah bunga-bunga perjalanan hidup mereka lalu bila sequelnya ini selamat diversicetakkan perasaan jadi terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Percayalah…akhirnya sudah kejap berada di tangan.

Saat pertama menyelak helaian, naratif ini sudah menakluk keseluruhan minda. Semakin dibaca, makin meruntun jiwa. Semakin diselami semakin merengut rasa, menggoncang sanubari…hebatnya penangan buah tangan puan penulis nan lemah lembut kali ini ya!. Segala-galanya. Kisahnya, ritma plotnya, suntingannya, latarnya, watak-wataknya, ayun dan lenggok bahasanya usahlah dipersoal..cantik sekali!

Tiga tahun selepas memperkenalkan Percayalah, Ruby kembali dengan sequelnya; Percayalah…Akhirnya yang menjengah pasaran pada 3 Oktober lalu. Sebuah naskhah yang saya kira cukup sarat dengan mesej kehidupan yang diaplikasikan menurut hukum alam dan peraturan hidup. Bagi yang sudah mengenali Nur Atiqah & Danial Wolfgang lewat Percayalah, maka naskhah sequel ini adalah kelangsungan susulan kehidupan mereka yang seterusnya…kehidupan yang cukup berliku, penuh onak getir yang dikepung cabaran dan dugaan yang tidak terucap. Tidak tercapai akal.

Tema cinta sejati yang menjadi tunjang cerita digarap penulis dengan sangat halus dan begitu berhati-hati sekali cukup membuai perasaan pembaca…penulis berjaya mencuri emosi pembaca didalam menyusuri rentetan pengkisahan dua insan ini didalam mereka melayari bahtera perkahwinan yang masih muda..masih hijau.

Takdir kehidupan yang sudah tersurat di lohmahfuz adalah penamat dan jawapan untuk segala-galanya…cantiknya penulis menoktahkan cerita. Itulah mesej yang saya saya fikir tersimpul disebalik naratif hebat ini. Kita mampu merancang, merangka perjalanan hidup ini namun samaada kita sampai ke destinasi yang dituju , Dia lah penentunya.

Plot kronologi dengan sedikit sisipan elemen flashback mendominasi dan mewarnai keseluruhan perjalanan sequel ini. Persembahan plot di mata saya sangat halus dan kemas , begitu juga suntingannya yang cukup teratur dan begitu tertib sekali ia diolah agar rentak cerita nampak hidup sekali biar cuma dihelaian kertas putih yang kaku!.

Perwatakan Nur Atiqah Sulaiman dan Danial Wolfgang adalah dua nadi utama dan merupakan fokus utama sequel ini. Peranan kedua-duanya diseimbangkan dengan cukup berkesan oleh penulis. Penulis bagi saya begitu hebat menyalurkan “roh” pada kedua-dua watak ini hingga segala-gala apa yang mereka lakukan, apa yang terbit dari kedua-dua watak ini begitu menyentuh perasaan pembaca apatah lagi bila kala pembaca melalui frasa-frasa tatkala mereka diduga, ditimpa musibah hati turut jadi walang..pilu sekali!. Mainan emosi antara kedua-dua watak ini digarap dengan cukup cemerlang hingga tempiasnya turut mengheret pembaca seakan-akan kita turut “berada di lokasi”. Beberapakali saya harus berhenti membaca, memejamkan mata seketika dan menghela nafas. Seakan dapat menyelami apa yang dirasai dan dilalui kedua-duanya. Saya harus tabik pada penulis ini kerana sangat berjaya menjiwai dan menyelami watak Danial..biarpun dia cuma seorang penulis wanita jiwa seorang lelaki..naluri seorang insan bernama suami dapat diperhalusi dan dipertontonkan kepada pembaca dengan cemerlang sekali!. Seorang lagi watak yang begitu menyentuh naluri pastilah Khairil. Sukar sekali menggambarkan emosi tatkala membicarakan watak ini..seorang Khairil yang sungguh istimewa, mulia dan tiada cacat celanya…penulis halus mempotretkan seorang Khairil yang bukan sedikit kasih dan simpati melimpah padanya..cuma apalah daya, takdir sudah tersurat demikian rupa. Chik, Dewi juga Kamal dan tidak tertinggal kaum kerabat yang lain adalah warna-warna yang melengkapkan naratif ini untuk diangkat sebagai sebuah persembahan yang cukup kemas dan mantap dari penulis.

Rasanya tidak lengkap kalau tidak membicarakan rentak dan susunan gaya bahasa dalam sequel ini. Penulis bagi saya semakin hebat mengalunkan gaya bahasa mengikut acuannya yang saya rasa sangat indah, terserlah personifikasinya juga hebat metaforanya, Elemen sisipan pantun di setiap penghujung bab bagaikan sebuah irama yang begitu mengasyikkan sekali.

Percayalah…Akhirnya membawa pembaca kembali mendekati kehidupan Nur Atiqah dan Danial Wolfgang di bumi Jerman. Tatkala gembira dengan berita kehadiran orang baru yang bakal mewarnai rumahtangga mereka, ditambah keputusan untuk kembali menetap di Malaysia tanpa diduga mereka diuji dengan ujian yang amat getir. Nur Atiqah ditimpa musibah. Keterlibatannya dalam sebuah kemalangan cukup hebat kesannya dalam kehidupan mereka berdua. Danial ternyata sangat mengerti biarpun tingkah dan caranya sukar dibaca Nur Atiqah. Sabar dan redha dalam apa juga keadaan adalah penawar. Begitu juga pasangan muda ini. Sekali lagi mereka diduga. Disaat menghampiri saat kembali ke bumi kelahiran Nur Atiqah, perihal pernikahan dan dokumentasinya kembali dibangkit lalu sekali lagi mereka diduga. Dan kerana proses-proses yang rumit ini mengambil masa terpaksalah Nur Atiqah pulang dahulu…beratnya hati melepaskan Nur Atiqah pulang sendirian bagaikan sebuah tanda!

Buat penulis cantik ini, tahniah untuk sebuah sequel yang sangat meruntun hati dan terima kasih kerana sudi menoktahkan sebuah kisah yang cukup istimewa ini. Biar kemanapun sirih melangkah pergi, akhirnya pasti kembali ke gagangnya. Disitulah tempat selayak buatnya. Begitu juga lah seorang Nur Atiqah, percayalah…akhirnya disisi Danial jugalah tempatnya dia bersemayam.

Tuesday, October 20, 2009

KaliMah JiWa...


Tajuk : Kalimah Jiwa
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4


-----------------------------------------------------
“ Dia hanya berpaksikan cinta tulusnya pada Liany. Dia jatuh cinta pada Liany. Hanya Liany dan kalimah-kalimah Liany...”

Resensi Si Ungu:

Bagi saya, ciri yang menarik pada naskhah penulis ini adalah kelainan pada naratif yang ditampilkan beliau berbanding karya-karyanya sebelum ini. Sebagai penulis, kreativiti di dalam penghasilan sesebuah karya amat perlu bagi membangkitkan keterujaan pembaca terhadap karya tersebut dan penulis bagi saya berjaya didalam merealisasikan misi tersebut.

Isu persoalan moral yang diangkat didalam naskhah Kalimah Jiwa (KJ) sebagai intipati perdana didalam naskhah ini sememangnya sebuah usaha yang begitu murni penulis. Sebagai wanita, sebagai ibu yang punya anak gadis remaja sememangnya penulis sebaik mungkin cuba menyampaikan keprihatin tersebut dan pena ajaib ditangan ada saluran terbaik beliau kearah itu. Saya melihat kesungguhan beliau itu cuma ada beberapa situasi di dalam pengkisahan KJ ini yang saya fikir penulis juga editor terlepas pandang didalam merealisasikan matlamat murni ini dan ia secara tidak langsung sedikit menjejaskan kecemerlangan naskhah ini. Saya akan membutirkan perihal ini di segmen perwatakan untuk sama-sama direnungi.

Tema yang berpaksikan cinta dan tawakal menjadi medan buat penulis menzahirkan rasa kasih sayang antara dua jiwa yang berkongsi ritma hati yang senada; Ifliany dan Naqlis. Dugaan yang datang dan pergi tidak sesekali menggugat irama hati mereka berdua yang tidak pernah berubah rentak.

Plot KJ berformatkan campuran teknik kronologi dan flashback yang seimbang. Bagi saya pemilihan penulis untuk konsep ini sesuai dengan kaedah persembahan keseluruhan cerita bagi menjalin hubungkait antara satu situasi dengan situasi yang lain. Penggunaan diksi dan susunan kosakata yang cantik dan indah mewarnai gaya bahasa di dalam naskhah ini. Penulis hebat dalam mengadun ritma bahasa yang cukup halus dan penuh pengertian…ada situasi ia begitu menyentuh perasaan. Saya ingin mengutarakan pandangan berhubung penggunaan perkataan “Cikling” yang diperjelaskan penulis maksudnya didalam naskhah ini. Perkataan ini bagi saya sangat menyentuh sensitiviti kaum. Sewajarnya ia tidak diaplikasikan didalam naskhah ini walau dengan apa alasan sekalipun. Kita tidak boleh merumuskan naskhah ini hanya ditatap oleh satu golongan kaum atau bangsa sahaja. Penggunaan perkataan “Cindian” itu sudah cukup untuk menjelaskan makna yang ingin disampaikan penulis.

Kita sentiasa maklum perwatakan dan pembentukkan sesuatu watak adalah fokus utama kejayaan sesebuah karya. Ifliany Basiron dan Naqlis Tan Sri Khir Izuddin adalah 2 nama yang dibina dan diangkat sebagai tonggak utama didalam KJ. Penulis sedari awal sedaya mungkin membina imej yang sanagt putih buat kedua-dua hero dan heroin ini dan sebagai pembaca kita cuba menerima input penulis ini dengan tangan terbuka. Ifliany gadis yang digambarkan sangat cantik rupa parasnya, punyai wajah iras orang putih (rambut perang semulajadinya itu bukti terbaik) walau dia sebenarnya berdarah melayu tulen. Seorang gadis yang pintar (pelajar UPM) cuma sayang tidak menamatkan pengajian bila berkahwin dengan si bapa ayam; Fahren. Juga dipotretkan seorang gadis yang alim/warak (solat dan al-quran itu satu kewajiban baginya). Segala ciri ini sudah dipotretkan dengan baik oleh penulis demi seorang Ifliany membuktikan bahawasanya dia gadis solehah…namun kenapa tidak bertudung pula?. Agak pincang disini kehebatan watak Ifliany bila kita membicarakan persoalan sifat dirinya yang digambarkan sedari awal, sedari sekolah sangat solehah orangnya. Jika diperhalusi surah Ali Imran, ayat 31:

“ Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”

Ayat ini dikatakan adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah. Maka sewajibnya lah dia menurut segala suruhan yang diwajibkan-Nya. Sewajarnya Ifliany yang bijak, yang tahu hukum hakam maklum apa maksudnya dengan ketaatannya pada perintah tuhan. Jika ingin mempersoalkan isu keikhlasan didalam hal ini kita wajib tahu tiada kompromi didalam hal ini. Justifikasi bukan ditangan kita atau dimata orangramai. Hanya Dia yang maha mengetahui. Yang perlu dan wajib kita tahu ia adalah satu kewajipan yang mesti dituruti oleh tiap wanita islam yang mengakui akan ketaatannya pada Allah. Saya juga sedikit tidak setuju perihal Ifliany membantu Afian dari sudut pengetahuan agamanya. Dengan keadaan Ifliany ketika itu yang sedang berpisah sementara dengan suaminya sewajarnya dia menjaga tingkah dan tatasusila sebagai isteri orang. Niat tidak akan sama sekali menghalalkan cara. Banyak alternatif lain yang boleh dipilih, diunjur Ifliany untuk membantu Afian. Kenapa harus sampai ke rumah, biarpun cuma di anjung sahaja, tidak manis bukan si bujang dan isteri orang berkeadaan sedemikian?.

Watak Naqlis selaku peguam muda berkaliber, terkenal didalam anggota masyarakat, anak yang baik, pemuda yang hebat dimata tiap wanita. Hampir sempurna dimata pembaca tapi dicacatkan oleh tindakannya membawa Ifliany tinggal serumah sebelum mereka bernikah. Baik Naqlis mahupun Ifliany sewajar tahu tindakan tersebut sangat tidak manis biarpun tiada apa yang berlaku antara mereka. Jika dikatakan sebagai hujah untuk melindungi ifliany sepanjang tempoh perbicaraan kenapa tidak menggaji pembantu rumah untuk tinggal bersama di rumah itu atau pilihan paling baik meletakkan Ifliany dibawah jagaan bondanya; Tengku Marini. Masyarakat melayu ini penuh adat dan hukum. Sebagai orang islam apatah lagi. Matlamat dan cara mesti halal belaka. Saya tidak berniat sama sekali menuding jari pada sesiapa, sekadar secebis komentar buat penulis, buat editor agar hal ini diambil perhatian di masa hadapan. Sayang sekali naskhah yang kreatif sebegini dicacatkan dengan hal yang tak sepatutnya.

Penulis bagi saya lebih cemerlang mempotretkan watak hitam didalam naskhah ini. Baik Fahren, Irfan juga Basiron adalah binatang-binatang berwajah manusia yang dijelmakan dalam dunia. Segala sifat dan peribadi buruk mereka sehabisnya keji dicoretkan penulis sehingga ke akhir hayat mereka. Tiada sekelumit ikhsan pembaca buat mereka malah saya mendoakan agar golongan sebegini dihapuskan dri muka bumi ini dengan keadaan yang paling setimpal dengan perbuatan mereka. Watak Eljie, Amanda dan Marissa adalah contoh terbaik golongan yang tersasar dari landasan hidup namun sempat disedarkan dan kembali ke pangkal jalan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis cantik bernama Ifliany Basiron siswi UPM yang terperangkap dalam sebuah perkahwinan bila mengetahui lelaki yang dikawininya; Fahren adalah seorang bapa ayam versi moden. Drastiknya dia turut terseret untuk menjadi bahan dagangan suami durjana. Dia dilacurkan di banglo mewah milik suami yang turut dihuni perempuan-perempuan senasib dengannya. Dalam kegetiran suasana yang tidak sama sekali mengizinkan dia melarikan diri dari tembok penjara mewah itu kerana ia dikawal rapi oleh samseng-semseng ganas upahan suaminya, dia yang pintar menjana idea sendiri untuk mempertahankan maruah diri. Dengan bantuan Eljie si budak suruhan yang juga orang kepercayaan suaminya doanya dimakbulkan. Nazarnya untuk memperhambakan diri pada sesiapa yang berjaya mengeluarkan dirinya dari penjara ciptaan suaminya itu termakbul pada malam ke 1001 bila Naqlis yang juga sepupu suaminya muncul menjadi pelanggannya. Naqlis yang punya misi tersendiri kala menjejak kaki ke banglo itu tidak langsung menyangka segetir itu nasib Ifliany di tangan Fahren. Atas bantuan Naqlis, Ifliany berjaya dilarikan dan dengan saranan Naqlis juga dia tampil mendakwa suami yang menyembunyikan selama 2 tahun 8 bulan dibanglo itu untuk dilacurkan!. Segala seperti mencerminkan kemenangkan akan berpihak padanya biarpun Ifliany yakin tidak mungkin ia berlaku. Dan akhirnya testimoni dari ginekologi berjaya membongkar diri Ifliany yang sebenarnya dan ia juga telah merubah status dirinya dimata Naqlis.

Hidup ini adalah kembara merentasi benua yang begitu mencabar. Ketakutan dan cabaran sering menghambat kita di mana-mana. Namun Dia menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan diperhalusi hingga ke dasar umbinya akan menjadikan kita sabar dan yakin dalam meneruskan perjalanan hidup ini. Inilah mesej yang saya fikir ingin dikongsikan penulis pada khalayak pembacanya.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas inisiatif anda didalam mengenengahkan permasalahan yang seringkali menghantui tiap anggota masyarakat khasnya buat ibu bapa. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan gigih memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Sunday, October 11, 2009

BinTanG HaTi...


Tajuk Buku : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Nat Angsar
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Drama & Romantik
Bintang : 3.5
-----------------------------------------------------------

“ Jangan lepaskan apa yang ada berhampiran kita dengan bermimpi tentang apa yang berada jauh daripada kita …”
Resensi Si Ungu

Kata pujangga “Rumah yang terbaik adalah dihati orang yang kita sayang” melestarikan fokus karya terbaru penulis senior ini dalam menyimpulkan naratif ini kepada khalayak pembaca. Mesej penulis cuba merungkai persoalan hati dan bagaimana elemen ini sewajarnya dilestarikan sebaiknya didalam kehidupan seseorang.

Bintang Hati(BH) membawa tema kesetiaan. Kesetiaan seorang wanita pada rasa cintanya pada bekas tunangan dan biarpun sepuluh tahun berlalu dan walau ada cubaan untuk menakluki hatinya, rasa setia pada yang satu itu mengatasi segalanya. Satu menifestasi cinta seorang wanita yang cuba digarap dengan cukup halus dan penuh emosi kewanitaan oleh sang penulis ini. Sub tema tentang nilai persahabatan juga dipersembahkan dengan baik. Sub tema ini cukup menarik kerana seringkali kita dimomokkan bahawasanya wanita dan lelaki tidak mungkin boleh menjadi sahabat baik jika melibatkan elemen perasaaan didalam persahabatan tersebut. Namun penulis berjaya membuktikan walau mungkin hubungan perasaan itu gagal, persahabatan itu akan tetap kekal berpanjangan.

Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan elemen imbas kembali didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun sedikit meleret didalam penulis menyudahkan naratif ini. Gaya bahasa didalam naskhah ini tidak begitu melankolik dan puitis tapi tetap cantik persembahannya untuk dihayati pembaca.

Perwatakan Nurul Iman Rasyad Irsyad @ Iman yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Iman dipotretkan sebagai anak dan kakak yang baik, wanita yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Personaliti Iman yang menjadi fokus naratif dipersembahkan penulis dengan sangat baik maka tidak hairanlah dia menjadi rebutan dalam diam oleh 2 jejaka di pejabat namun kesetiaan Iman pada bekas tunangan yang tidak jadi dikahwini sepuluh tahun lalu cukup mengagumkan. Cara penulis merungkai misteri penolakan Iman pada majlis perkahwinannya dahulu cukup mengujakan…tidak sabar mengetahui sebab musabab ia terjadi dan faktor apakah yang mendorong Iman bertindak sedrastik itu. Nafis adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, seorang lelaki yang sewajarnya menjadi dambaan wanita namun gagal di mata Iman. Saya sukakan pembinaan perwatakan Nafis yang sederhana, prihatin dan bersifat pelindung. Harith biarpun muncul dalam lingkungan yang terhad, penampilannya cukup cantik dan cara dia dipenakan penulis membuktikan mengapa dialah idaman Iman…sayang sekali melihat hubungan mereka diakhirkan sedemikian. Watak pembantu seperti Ilhan, Nurul Izzah adalah pelengkap naratif ini dan konfik perasaan antara kedua-duanya dipersembahkan dengan baik oleh penulis dan watak Izzah yang berubah 100% hanya kerana kecewa dengan cinta begitu cemerlang dipotretkan penulis. Tiada watak bersifat antagonis yang ditampilkan di dalam naratif penulis kali ini.

BH menyusuri kehidupan seorang gadis yatim piatu berkerjaya di dalam dunia perakuanan; Nurul Iman yang mempunyai 2 orang adik yang masih menuntut di Universiti tempatan dan luar negara; Nurul Izzah dan Nurul Iffah. Iman menggalas tanggungjawab sebagai pengganti ibubapa kepada 2 adiknya dengan baik. 10 tahun dahulu Iman pernah bertunang dengan Harith namun disaat majlis akadnikah Iman menolak untuk diijabkabulkan. Hanya Iman yang tahu mengapa dia bertindak sedemikian…segalanya demi kebaikan Harith, namun Harith yang kecewa membawa diri merantau ke luar negara. Iman yang terpaksa menerima setiap kritikan keluarga terdekat atas tindakan tersebut dan kesannya, setiap kejadian yang menimpa insan–insan terdekat dengannya selepas itu dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan "sial" biarpun ia tidak langsung ada hubungkait namun Iman redha dan mengharungi hidup dengan sebaik mungkin tanpa sedikitpun melupakan Harith. Kasih dan cintanya tetap satu untuk lelaki itu biar Nafis dan Ilhan cuba meraih cintanya. Kemunculan Harith yang secara diam-diam sudah lama menjejak Iman begitu memeranjatkan. Nafis, teman akrab yang sedari dulu tidak pernah berputus asa meraih cinta Iman akur dengan pilihan Iman yang tidak pernah berubah. Harith yang juga tidak pernah melupakan Iman ingin menyimpul kembali kasih mereka. Perancangan manusia tidak mampu menolak ketentuan-Nya. Begitu juga kasih Iman dan Harith.

Buat penulis ini, tahniah untuk naskhah terbaru ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca di masa hadapan.

Sunday, October 4, 2009

RaHsia HaTi SoFiA...

Tajuk Buku : Rahsia Hati Sofia
Penulis : Nazurah Aishah
Penerbit : Jemari Seni
Harga : RM21.00
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4 1/2

---------------------------------------------------------------
“ apa pun jua perasaan yang pernah hadir buat adiknya telah aku kuburkan saat aku dinikahkan dengan Ikhmal, malah itu rahsia hatiku…”

Resensi Si Ungu

Kata Innayan Khan "Cinta tidak menjanjikan sesebuah rumah tangga itu aman damai tetapi penerimaaan pada segala kelebihan dan kekurangan pasangan adalah asas utama kebahagiaan sebuah rumah tangga". Kata-kata ini adalah kesimpulan mesej yang dapat saya rumuskan usai menghabiskan bacaan untuk buah tangan kedua karya penulis muda ini.

Naskhah ini diangkat dari e-novel garapan beliau dan akhirnya diversicetakkan lalu terhasillah Rahsia Hati Sofia untuk tatapan para pembaca. Sebuah karya yang saya fikir cukup matang dari penulis yang pernah mengusik jiwa pembaca dengan Lili Buat Najah sebelum ini dan pada karya ini beliau telah mempamerkan kematangan yang sangat mengagumkan menerusi karya kedua ini.

Tema kasih sayang dan pengorbanan yang diangkat penulis didalam naskhah ini digarap dengan begitu kemas membuatkan pembaca bagai terbuai dengan geraklaku para pendukungnya yang mempamerkan aksi yang dipenuhi mesej tersirat.

Kaedah persembahan perwatakan yang sangat menarik, olahan plot yang sangat tersusun dan elemen rantaian dalam penceritaan yang sangat kemas dan yang paling saya terkesan adalah bagaimana penulis hebat dalam menyediakan sebuah pengakhiran yang sangat jelas dengan naratif yang lengkap cukup menjadikan Rahsia Hati Sofia sebuah naskhah yang sangat instimewa di mata saya.

Rahsia Hati Sofia (RHS) menemukan pembaca dengan 3 watak utama yang mendominasikan keseluruhan perjalanan naratif ini; Jihannur Sofia, IKhmal Hisham dan Nizam Karim adalah 3 tonggak yang mengangkat naratif ini menjadi sangat hidup di mata pembaca. Permainan watak yang ditonjolkan dan dibangunkan penulis lewat watak-watak utama ini sangat seimbang dan penuh rasa emosi seorang manusia. Watak-watak utama ini berjaya digarap dengan begitu berkesan sekali hingga berjaya mencuri perhatian pembaca dengan karektor masing-masing yang unik dan tersendiri. Saya sangat sukakan watak Jihannur Sofia dan Ikhmal Hisham yang saya fikir dibangunkan penulis dengan aspek logika yang sangat kena dengan naratif ini. RHS juga tidak ketinggalan menampilkan beberapa watak sokongan yang juga berperanan menyuntik kerancakan naratif ini secara keseluruhannya agar ia nampak lebih realistik dengan kehidupan manusia. Saya sukakan watak ibu mertua Jihannur Sofia; Hajah Jamilah yang begitu mendamaikan sekali...alahai bestnya kalau dapat mak mertua camtu kan..hehehe

Struktur plot RHS digarap dengan elemen emosi nan cantik serta dramatik dari awal hinggalah ke penghujung cerita. Itulah momentum yang digunapakai penulis didalam mencantikkan lagi persembahan kisah garapan beliau kali ini. Gaya bahasa pilihan penulis begitu menampakkan kematangan beliau berkarya. Satu peningkatan yang sangat memberangsangkan buat penulis muda ini. Percaturan beliau didalam mempelbagaikan sisi gaya bahasa dengan penambahan sedikit elemen pantun dan puisi begitu kena sekali dengan jalan cerita.

Kisah ini banyak mengadunkan adegan-adegan kehidupan manusia yang dicipta secara konvensional. Ia bersesuaian dengan latar cerita yang mengadaptasi kehidupan masyarakat dan saya turut terkesan dengan penaan penulis yang cukup menghalusi permasalahan yang diangkat didalam naratif ini. Fokus penulis pada perkahwinan sebegini yang sedikit sebanyak menuntut pengertian yang tinggi daripada kedua-dua pihak demi keutuhan rumahtangga itu sendiri memberi gambaran dan pengajaran yang cukup tersirat untuk sama-sama direnungi.
Kronologi ringkas RHS adalah berkisar tentang kisah hidup gadis lincah, ceria bernama Jihannur Sofia. Dia kekasih yang setia pada seorang lelaki bernama Ikhmal Hisham yang dikenali sejak dibangku sekolah biarpun Ikhmal kerap melukakan hatinya. Dalam diam tanpa disedari dirinya diminati rakan baru di pejabat; Nizam Karim yang punya personaliti yang sangat menyenangkan dan menyejukkan mata dan ternyata dia juga amat disenangi Jihannur Sofia. Malangnya keakraban mereka mengundang padah pada Jihannur Sofia. Perjalanan getir hidup Jihannur Sofia bermula saat dia dipaksa kawin dengan insan yang meragut maruah kegadisannya tanpa rela. Perkahwinan yang disulami kisah yang tidak memihak dirinya akibat perbuatan khianat Ikhmal akhirnya mencampakkan hidupnya dari kasih sayang keluarga yang malu dengan kejadian yang menimpa dirinya. Ikhmal Hisham dimusuhi dan makin dibenci walau status lelaki itu kini adalah suami yang wajar dihormati. Semuanya gara-gara perbuatan kejam Ikmal yang tidak mampu dimaafkan. Namun satu insiden yang membawa kepada pengakuan terbuka Ikhmal pada kedua pihak keluarga mencetuskan rasa kemaafan pada lelaki itu dan Sofia seupaya mungkin menerima Ikhmal sebagai suami seadanya.
Cemburu itu memang perlu kerana ia tanda sayang namun jika tidak ditangani dengan baik memang menjadi duri di dalam tiap rumah tangga. Itulah yang terjadi pada pasangan muda ini. Keterlaluan Ikhmal cukup mencabar kesabaran Sofia. Cabaran hidup Sofia hebat tatkala Ikhmal dilanda musibah. Paling getir tika diri perlu mencari rezeki buat keluarga disamping anak yang masih kecil, suami yang baru diitimpa musibah disamping diri yang berbadan dua, dia dengan penuh rasa kasih dan dasar tanggungjawab melangkah untuk bekerja demi rumah tangga mereka namun sifat cemburu Ikhmal yang keterlaluan menyedihkan Sofia. Cuba sedaya mungkin menyelamatkan perkahwinan yang dilanda taufan cemburu buta yang begitu merimaskan,Sofia tersungkur juga akhirnya.

Bagi anda yang pernah terbuai jiwa dengan alunan Lili Buat Najah, lengok irama bawaan Rahsia Hati Sofia akan lebih menyentuh jiwa anda. Maka, jangan lepaskan peluang memiliki naskhah kedua penulis ini yang sangat sarat dengan emosi nan melankolik.

Buat penulis, sekalung tahniah dari saya…seperti juga naskhah terdahulu anda yang telah saya baca, anda telah meletakkan wanita di suatu kedudukan yang cukup istimewa sekali. Semoga terus cemerlang berkarya di masa hadapan.