Blogger Templates

Sunday, October 11, 2009

BinTanG HaTi...


Tajuk Buku : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Nat Angsar
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Drama & Romantik
Bintang : 3.5
-----------------------------------------------------------

“ Jangan lepaskan apa yang ada berhampiran kita dengan bermimpi tentang apa yang berada jauh daripada kita …”
Resensi Si Ungu

Kata pujangga “Rumah yang terbaik adalah dihati orang yang kita sayang” melestarikan fokus karya terbaru penulis senior ini dalam menyimpulkan naratif ini kepada khalayak pembaca. Mesej penulis cuba merungkai persoalan hati dan bagaimana elemen ini sewajarnya dilestarikan sebaiknya didalam kehidupan seseorang.

Bintang Hati(BH) membawa tema kesetiaan. Kesetiaan seorang wanita pada rasa cintanya pada bekas tunangan dan biarpun sepuluh tahun berlalu dan walau ada cubaan untuk menakluki hatinya, rasa setia pada yang satu itu mengatasi segalanya. Satu menifestasi cinta seorang wanita yang cuba digarap dengan cukup halus dan penuh emosi kewanitaan oleh sang penulis ini. Sub tema tentang nilai persahabatan juga dipersembahkan dengan baik. Sub tema ini cukup menarik kerana seringkali kita dimomokkan bahawasanya wanita dan lelaki tidak mungkin boleh menjadi sahabat baik jika melibatkan elemen perasaaan didalam persahabatan tersebut. Namun penulis berjaya membuktikan walau mungkin hubungan perasaan itu gagal, persahabatan itu akan tetap kekal berpanjangan.

Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan elemen imbas kembali didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun sedikit meleret didalam penulis menyudahkan naratif ini. Gaya bahasa didalam naskhah ini tidak begitu melankolik dan puitis tapi tetap cantik persembahannya untuk dihayati pembaca.

Perwatakan Nurul Iman Rasyad Irsyad @ Iman yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Iman dipotretkan sebagai anak dan kakak yang baik, wanita yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Personaliti Iman yang menjadi fokus naratif dipersembahkan penulis dengan sangat baik maka tidak hairanlah dia menjadi rebutan dalam diam oleh 2 jejaka di pejabat namun kesetiaan Iman pada bekas tunangan yang tidak jadi dikahwini sepuluh tahun lalu cukup mengagumkan. Cara penulis merungkai misteri penolakan Iman pada majlis perkahwinannya dahulu cukup mengujakan…tidak sabar mengetahui sebab musabab ia terjadi dan faktor apakah yang mendorong Iman bertindak sedrastik itu. Nafis adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, seorang lelaki yang sewajarnya menjadi dambaan wanita namun gagal di mata Iman. Saya sukakan pembinaan perwatakan Nafis yang sederhana, prihatin dan bersifat pelindung. Harith biarpun muncul dalam lingkungan yang terhad, penampilannya cukup cantik dan cara dia dipenakan penulis membuktikan mengapa dialah idaman Iman…sayang sekali melihat hubungan mereka diakhirkan sedemikian. Watak pembantu seperti Ilhan, Nurul Izzah adalah pelengkap naratif ini dan konfik perasaan antara kedua-duanya dipersembahkan dengan baik oleh penulis dan watak Izzah yang berubah 100% hanya kerana kecewa dengan cinta begitu cemerlang dipotretkan penulis. Tiada watak bersifat antagonis yang ditampilkan di dalam naratif penulis kali ini.

BH menyusuri kehidupan seorang gadis yatim piatu berkerjaya di dalam dunia perakuanan; Nurul Iman yang mempunyai 2 orang adik yang masih menuntut di Universiti tempatan dan luar negara; Nurul Izzah dan Nurul Iffah. Iman menggalas tanggungjawab sebagai pengganti ibubapa kepada 2 adiknya dengan baik. 10 tahun dahulu Iman pernah bertunang dengan Harith namun disaat majlis akadnikah Iman menolak untuk diijabkabulkan. Hanya Iman yang tahu mengapa dia bertindak sedemikian…segalanya demi kebaikan Harith, namun Harith yang kecewa membawa diri merantau ke luar negara. Iman yang terpaksa menerima setiap kritikan keluarga terdekat atas tindakan tersebut dan kesannya, setiap kejadian yang menimpa insan–insan terdekat dengannya selepas itu dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan "sial" biarpun ia tidak langsung ada hubungkait namun Iman redha dan mengharungi hidup dengan sebaik mungkin tanpa sedikitpun melupakan Harith. Kasih dan cintanya tetap satu untuk lelaki itu biar Nafis dan Ilhan cuba meraih cintanya. Kemunculan Harith yang secara diam-diam sudah lama menjejak Iman begitu memeranjatkan. Nafis, teman akrab yang sedari dulu tidak pernah berputus asa meraih cinta Iman akur dengan pilihan Iman yang tidak pernah berubah. Harith yang juga tidak pernah melupakan Iman ingin menyimpul kembali kasih mereka. Perancangan manusia tidak mampu menolak ketentuan-Nya. Begitu juga kasih Iman dan Harith.

Buat penulis ini, tahniah untuk naskhah terbaru ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment