Blogger Templates

Monday, December 28, 2009

Pilihan 10 Novel Terbaik 2009...Senarai Kucc

Hari ini 29/12/2009 dan tinggal 2 hari lagi sebelum tirai 2009 berlabuh dengan rasmi...cepatnya masa berputar kan. Sepanjang 2009 ini banyak juga novel-novel dari pelbagai terbitan yang telah selamat kucc katamkan. Cuma tahun ini agak perlahan sedikit rentak bacaan kucc, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya memang cergas sokmo...maklumlah dulu kita muda laa ni tua dah, hehehe. Ada juga yang dibaca dari terbitan tahun sebelumnya dan di sini sebagai perkongsian maklumat dan sekadar pandangan seorang pembaca, kucc senaraikan 10 novel pilihan kucc yang difikirkan terbaik dari segi tema, mesej, persembahan cerita, isi yang mampan, teknik suntingan, gaya dan olahan bahasa, susunan plot juga watak-watak yang ditampilkan. Kesemua ciri-ciri ini menjadi elemen penting yang kucc fikir mampu menjulang sesebuah karya dan mengangkatnya sebagai karya yang baik dan memberi manfaat juga sisipan teladan baik kepada yang membacanya.

Naskhah yang baik bagi kucc mampu memberi kesan langsung pada pembaca dan kesan itu akan sentiasa berbekas di jiwa dan meninggalkan jejaknya di sanubari. Tidak semua naskhah ada aura ini. Kisah yang berkesan mampu diingati sampai bila-bila hatta melangkau abad sekalipun. Keterampilannya akan sentiasa diingati, jajaran ceritanya pasti tidak akan mudah luput dari minda. Naskhah yang baik dari sudut pandangan masing-masing mungkin berbeza ritma dan nahunya dan setiap dari kita selaku pembaca punya penanda aras tersendiri di dalam menobatkan karya manakah yang kita rasakan terbaik. Tepuk dada, tanya selera bukan...



1. Jaja & Din - Noor Suraya

2. Sigaraning - Imaen

3. Lentera Mustika - Nisah Haron

4. Rooftop Rank - Hlovate

5. Dame Zoete Sarah - Khairyn Othman

6. Percayalah...Akhirnya - Ruby Hazri

7. Episod Cinta Di Tanah Hijrah - Amaruszati Noor Rahim

8. Pelangi - Syud, Hlovate & Noor Suraya

9. Rahsia Hati Sofea - Nazurah Aishah

10. Kemilau Mutiara Raudhah - Saidatul Saffaa

JaJa & DiN...

Tajuk Buku :Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang : 6

--------------------------------------------------

“…tetapi hendak buat bagaimana kalau rasa itu hadir tanpa boleh dia usir pergi…”

Resensi Si Ungu:

Saya pernah dilabelkan sebagai die hard fan penulis ini. Semuanya gara-gara “kasih” saya yang tidak berbelah bagi pada karya-karya beliau. Tak kisahlah hendak dilabelkan atau digelarkan apa saya ini kerana saya ada takal penilaian dan penanda aras saya sendiri pada tiap karya-karya yang saya baca dan ternyata karya-karya penulis yang saya panggil Kak Su ini tidak pernah sekalipun mengecewakan saya. Sentuhan sakti jemari beliau dari dahulu sentiasa membuatkan saya terpukau!

Naskhah terbaru beliau; Jaja & Din (JD) sekali lagi mengulangi keunggulan dan kehebatan penulis ini. Melayari naratif istimewa yang sangat hebat pengkisahan dan keindahan mesej kasih sayangnya yang diterapkan penulis pada naskhah ini membawa keinsafan yang cukup mendalam di jiwa!. Kelainan pendekatan naratif yang diperkenalkan penulis didalam JD inilah yang membezakan sekaligus menjadikan JD begitu unik dan tersendiri. Penulis tidak membentangkan naratifnya kepada pembaca secara mudah tetapi penulis dengan begitu halus dan bijaksana membawa pembaca sama-sama turut serta di dalam jaringan naratif yang dibinanya ini. Kaedah inilah yang saya kira mengangkat JD menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia tidak digerakkan secara susun atur yang biasa tapi dikemudikan dengan kaedah yang sedikit bertentangan dari biasa namun ia tidak sesekali menyebabkan pembaca tersesat jalan biarpun berada dilatar masa dan peristiwa yang berbeza-beza.

Kebijaksanaan penulis memanipulasikan antara dua latar yang berbeza dan menggerakkannya secara bersama sangat menarik sekali dan dengan kehalusan juga ketelitian olahan juga sumbangan kerja-kerja suntingan yang cemerlang potensi untuk pembaca tersesat pada lohongan latar masa yang berbeza memang tiada langsung..kosong! Plot naratif ini biarpun dibina dengan sisi yang bercampur-campur tapi kebijaksanaan penulis yang begitu teliti menjaga sempadan aliran kisah di naskhah ini membuatkan pembaca sedikit pun tidak akan tergelincir didalam melayari naratif ini.

Kisah ini memang ditunggu-tunggu kemunculannya. Dimulakan di blog penulis dengan e-novel bertajuk Jaja Menantu Che’Pa lalu kemudian diversicetakkan dengan menggunakan judul Jaja & Din yang sudah melalui proses rombakan dan tambahan sana sini dari teks asalnya. Ia membawa pembaca mengikuti pengkisahan tentang riwayat kisah cinta Jaja @ Faiza yang cukup unik dan menerusi pengkisahan itu pembaca ditarik ke dalam pengembaraan Jaja yang cukup istimewa, tersendiri dan terselit juga insiden lucu didalam misinya “memburu dan menangkap” si dia yang bernama Din @ Burhanuddin Al –Helmy, sang guru sastera arab lulusan al-azhar yang menjadi jejaka pertama berjaya membuatkan jantung Jaja terhenti seketika tatkala melihat gambar polosnya yang dirakam lensa teman sepejabat. Tidak disangka bukan gambar si dia yang cuma berkopiah putih dan duduk penuh takzim di pusara itu bisa buat Jaja nanar…nanar peringkat jingga tau! Jaja si media planner yang moden tatacara hidupnya, rambut coklat lurus cantik bak pembaris, kening terbentuk nan cantik menawan, yang punya syarat-syarat ketat untuk panduan mencari teman hidup akhirnya tersungkur pada Din yang bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa! Hebatkan aura sang guru sastera arab ini?.Din membuat Jaja berpusing 360 darjah, berubah dari norma biasa yang sudah menjadi kebiasaannya. Dan kerana Din, Jaja tega menongkah arus adat dan budaya yang kejap dijunjung. Semuanya kerana Din…demi mendapatkan Din! Bunyinya memang seperti Jaja ini perempuan spesies tak malu sahaja tetapi selagi tidak melanggar hukum agama apa salahnya bukan?, lagipun Din itu satu dalam sejuta tau!

Naratif ini mengupas dan mengulas mengenai tema cinta yang bukan sekadar falsafah murahan mengikut dorongan nafsu dan kasih sayang luaran semata-mata tetapi yang lebih utama rasa cinta yang jujur ikhlas kerana Dia. Cinta itu sendiri anugerah dari-Nya dan hanya dengan kefahaman itu baru rasa cinta itu dapat dihayati dengan setulus hati. Manisnya rasa cinta dan dicintai itu ditangani dengan begitu berhemah, bersempadankan agama sebagai tiang serinya.

Perwatakan Jaja adalah nadi yang mendominasikan naratif ini dan ternyata penulis bijak memusatkan watak Jaja untuk cemerlang beraksi di layar ini. Watak Jaja menguasai keseluruhan naratif dan pada tiap ruang yang ada Jaja @ Faiza yang punya pelbagai variasi cukup mewarnai wataknya secara tersendiri. Sikap polosnya cukup memikat, selambanya buat senyum tawa pembaca tercetus juga namun yang lebih indah pastinya semangat juang dan keikhlasan dirinya yang saya kira cukup cemerlang sekali dilakarkan penulis. Jaja ibarat permata yang tersembunyi sinarnya dan mata Din lah yang berjaya melihat cahaya itu. Din @ Burhanuddin ini wataknya cukup cantik dipenakan penulis. Din; si guru sastera arab sekolah agama rakyat yang pendiam, tiada apa-apa kelebihan material, naik bas ke sana sini, tiada telefon bimbit pulak tu, cukup serba sederhana sifat dan peribadi tapi peribadinya cukup terpuji sekali dan hebatnya aura Din ini bisa membuatkan kita gila bayang padanya! Watak-watak sokongan tidak kurang hebatnya. Kehadiran mereka turut memberi sumbangan mengukuhkan naskhah ini. Lala yang kelakar, Nini yang comel, Doktor Haslinda si mama yang polos, Doktor Badrul Hisyam abah yang baik hati, Wassim si bongsu yang cukup lurus juga tidak ketinggalan hero “lama” pujaan saya yang sudah ada gelaran Dato’ di depan namanya; Dr Aqmar Aziz. Warna-warni persembahan mereka cukup mengindahkan lagi naskhah yang sudah sedia cantik ini.

Bahasa dan pesona kepuitisannya mana mungkin dipisahkan dengan Kak Su dan ternyata Kak Su semakin handal memanipulasi kelebihan ini lalu lihat sahaja hasilnya pada naskhah ini. Kehalusan mainan bahasa penulis ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ritmanya tersusun indah biarpun format cerita ini bersifat sebuah pengkisahan semula. Sisipan sirah dan kisah-kisah tauladan terpilih adalah irama yang cukup indah diterapkan penulis dengan cara tersendiri. Kesedaran yang secara halus disematkan penulis pada para pembaca untuk teladan juga renungan bersama. Jika tersasar jalan, kembalilah ke pangkal semula!

Buat penulis yang saya kagumi bakatnya, yang saya sanjungi kehalusan budi perkertinya danyang saya sayangi ukhuwah persaudaraannya sekalung tahniah atas persembahan paling manis ini. Ternyata perit jerih pengorbanan dalam menghasilkan naskhah ini berbalas sudah. Semoga kaksu yang amat saya kasihi ini akan terus gigih berkarya, terus mencurah ilmu dan berkongsi cerita indah dengan kami, para pencinta dan pengagummu.

Buat anda pembaca diluar sana, sesungguhnya Jaja dan Din boleh dinobatkan sebagai Book of the Year!..ia adalah penutup tirai 2009 yang paling indah dan paling manis dilakarkan oleh seorang penulis hebat bernama Noor Suraya.

Orang dayak ke Indragiri,
Kapal kelok muatannya serai,
Hendak cari lelaki terpuji,
Akhlaknya elok, bijak dan pandai…


Kalau mahu ketemui “lelaki” ini, carilah "dia "di dalam Jaja & Din dan anda pasti “jatuh cinta” padanya nanti..kerat jari beb kalau tak percaya kata-kata saya ini!

Monday, December 21, 2009

LenTera MusTiKa...


TAJUK: LENTERA MUSTIKA
PENULIS : NISAH HARON
PENERBIT : PTS LITERA UTAMA SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2009
HARGA : RM18.00
GENRE : SASTERA
BINTANG : 5


--------------------------------------------------------

“Hidupmu bersinar dan turut menyinari kehidupan orang lain yang berada di sekitar lentera itu….Sebuah lentera sifatnya cantik dan indah dalam radius cahaya yang dilimpahkan. Sebab itulah ramai yang tertarik denganmu...”

Resensi Si Ungu:

Sejujurnya saya tidak pernah membaca karya penulis ini. Inilah karya beliau yang pertama saya beli dan baca; itupun selepas puas dipujuk oleh seorang teman baik yang sealiran minatnya dengan saya. Katanya “bacalah kucc, wan rekemen sangat-sangat…best tau!, tak menyesal kalau kucc beli”. Wah, jiwa saya sudah mula tak tentu hala ketika itu. Antara rasa percaya dan was-was yang saling bertingkah dalam mempengaruhi otak membuat keputusan, saya sematkan satu kata,kalau tak cuba mana tahu kan!. Dan atas tiket mahu mencuba lantaran dorongan kuat dari teman tadi, tangan ini laju sahaja menarik naskhah ini dari raknya lalu kaki bergerak ke kaunter bayaran.

Dahulunya setiap kali terpandang nama penulis ini, akan terbayang diminda kata-kata teman lain yang mengklasifikasikan karya-karya penaaan penulis ini sebagai "berat". Untuk insan seperti saya yang masih diperingkat awal mengenal cinta pada penulisan kreatif kata-kata sedemikian sedikit sebanyak mempengaruhi minda didalam membuat keputusan pembelian. Namun ternyata naskhah terbaru penulis ; Lentera Mustika telah mengubah persepsi tersebut. Saya sudah jatuh hati pada Ainur Mustika!. Lalu sepantasnya juga saya mencari prekuelnya; Mencari Locus Standi yang sudah diterbitkan lebih awal kerana sangat teruja untuk mengetahui sambungan perjalanan kisah ini.

Tema warisan budaya yang menjurus pada puisi tradisional diangkat sebagai tema utama naskhah indah. Keindahan pantun-pantun dan puisi tradisional yang mengiringi perjalanan pembaca menyusuri kisah garapan penulis ini akan memperlihatkan kecintaan penulis pada warisan bangsa ini yang diterjemahkan menerusi perjuangan Prof. Dr. Ainur Mustika yang merupakan pendukung utama naskhah ini. Mesej naskhah mencerminkan bahawa tanggungjawab mengangkat taraf warisan budaya bangsa ini adalah tugas kita semua..kita adalah bangsa yang mewarisinya dan jika bukan kita yang berjuang untuk mengekalkannya, siapa lagi yang harus menggalas tanggungjawab tersebut.

Lentera Mustika(LM) memperkenalkan pembaca pada Prof. Dr. Ainur Mustika pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu berusia 30-an, masih belum berkahwin, seorang wanita lembut tapi tegas sifatnya dalam memperjuangkan akar budaya bangsa khususnya puisi tradisional yang menjadi subjek utama pengajaran dan penyelidikannya. Demi kecintaan ini dia sanggup menyeberang lautan dan membelah banjaran pergunungan demi menyalurkan wadah ini kepada masyarakat. Tidak sedikit cabaran yang terpaksa dihadapinya didalam memperjuangkan warisan tersebut. Kalangan teman seakademik ada yang memandang enteng tapi ia bukanlah peruntuh semangat wanita hebat ini. Ainur tidak mudah diajak bercanda tak tentu hala tapi hanya pada yang orang yang tertentu sahaja, sahabat yang sangat istimewa di mata Badariah juga Dahlia @Kak Dahl. Ainur yang pernah jatuh hati tapi dikecewakan Syed Amirul Hakim pensyarah dari Palembang dengan alasan picisan juga dikejar dua bekas anak muridnya; Rozario dan Zul Farhan yang masing-masing jatuh hati pada keperibadian miliknya namun bijak ditangkis Ainur dengan penuh diplomasi. Kemunculan Emir Johan peguam berstatus duda anak satu adalah penamat penantiannya. Kata Ainur, cinta di usia matang harus praktikal, tiada lagi zaman cinta-cinta kosong yang ntah hapa-hapa dan ternyata kisah cinta Ainur dan Johan ditangan penulis cukup murni, mulia & mulus sifatnya. Cinta mereka bukan artifisial, tidak bersifat murahan tapi penuh nasihat, teladan..romantisnya cukup terkawal tapi sangat memikat!

Perwatakan Ainur Mustika adalah cermin keseluruhan perwatakan di dalam naskhah ini. Ainur Mustika mendominasi keseluruhan naratif dengan kisah dan kerjayanya juga perjuangannya. Watak Ainur Mustika dibentuk dengan sangat cemerlang. Dia lambang wanita yang kuat semangat biarpun dilanda pelbagai ujian dan dugaan. Kisah cinta yang putus di tengah jalan ditangani dengan penuh redha, cabaran di fakulti disambut dengan penuh diplomasi tanpa sedikitpun melatah, sifat tegasnya dan sedikit sinis pada anak bangsa yang dididik sebenarnya mencerminkan kecintaan Ainur pada mereka , demi masa depan mereka. Kak Dahl @ Dahlia sangat selamba wataknya. Saya sukakan cara watak beliau dipotretkan. Sifat peramah dan naifnya cukup terserlah. Perwatakan Emir Johan, sang peguam berstatus duda juga sangat indah dilakarkan penulis. Lelaki budiman yang istimewa ini sangat memikat dengan sifat dan peribadinya. Kelembutannya menangani masalah pelanggan dizahirkan dengan cukup cemerlang oleh penulis. Menerusi watak Emir Johan juga, penulis memanipulasi kehebatan pengalaman dunia kepeguamannya. Ilmu undang-undang tentang perwarisan, hak cipta, keluarga islam juga harta pusaka diterjemahkan dengan sangat harmoni.

Penggunaan gaya bahasa dalam naskhah ini sangat indah dengan elemen puisi tradisional khususnya pantun yang mewarnai keseluruhan naskhah. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik elemen bahasa dengan baik sekali dan saya sungguh jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna penulis dalam naskhah ini. Perbendaharaan kata pembaca diperkayakan oleh penulis dengan kemunculan perkataan-perkataan baharu yang saya kira sebelum ini begitu asing di mata.

Plot cerita dibina dengan format kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis. Pergerakan plot yang mengadaptasikan keindahan latar kampus UKM sebagai medan latar utama naskhah lalu bergerak dari bilik kerja Ainur Mustika ke bilik kuliah, rumah, hinggalah majlis-majlis ilmu yang dihadirinya digambarkan dengan baik sekali.

Kisah cinta di tangan Nisah Haron sangat menjanjikan kelainan dari kisah-kisah cinta yang berselerakan di pasaran. Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk naskhah anda ini. Karya ini sesungguhnya menerbitkan rasa cinta yang sangat indah dihati saya dan rasa itu terus berbekas di jiwa!

Buat pembaca, Lentera Mustika sudah memberikan suatu rasa yang sangat istimewa buat saya yang memilih untuk membaca. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk sama-sama menikmati rasa yang sangat indah itu!

Wednesday, December 16, 2009

KeMiLau MutiaRa RauDhaH...


Tajuk Buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis : Saidatul Saffaa
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM22.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang: 4


----------------------------------------------------------
Hidayah itu milik orang yang bersungguh-sungguh kerana ia tidak datang bergolek. Ia perlu dicari…bukan ditunggu!”

Resensi Si Ungu:

Seni penulisan kreatif adalah sebahagian dari citra sastera yang indah. Setiap penulis yang melibatkan diri didalam citra ini punyai cara tersendiri di dalam melontarkan wacana pemikiran mereka yang secara kesimpulannya pasti menyentuh tentang Tuhan, tentang makhluk-Nya juga tentang kehidupan. Lontaran pemikiran itu nanti diharapkan menjadi bekalan serta memperkayakan jiwa pembaca menerusi pengisian dalam kisah yang dibentangkan mereka. Bakat dan karya penulis perlu saling melangkah seiring; ada mesej diselit, ada tanggungjawab pada pena yang menukil kerana yang pasti berbuat baik, saling mengingati juga membimbing sesama umat itu tugas semua ; tugas kita sebagai khalifah-Nya di bumi ini kerana tiap saham yang kita laburkan didunia ini dividennya bakal kita kutip di sana nanti. Inilah mesej yang dapat saya kutip di sepanjang perjalanan saya menyusuri naskhah berjudul Kemilau Mutiara Raudhah ini.


Naskhah ini hasil nukilan seorang penulis yang masih hijau di persada tapi kejutan penanya sangat memukau!. Saya terkagum sekali dengan citra indah persembahan si bakal doktor nan berbakat hebat ini. Akal penanya terlayar sangat jujur berkarya, ada sinis dilontar tapi penuh berhemah dijalin…tidak melibas sebarangan!

Saya bukanlah jenis yang suka membaca dengan format “shinkansen” justeru itu, memang saya mengambil masa yang lama untuk mengkatamkan sesebuah naskhah. Mungkin sebab faktor dah tua agaknya kan! , tapi masa panjang yang saya ambil itu membuatkan saya benar-benar dapat melayari minda meneroka naratif cantik ini dengan semahu-mahunya!.

'Hidup ini hanya pinjaman. Nyawa itu hanya pinjaman. bahkan hati dengan sepenuh cinta ini hanyalah pinjaman.. akan kembali pada Pemiliknya jua”..Saya sukakan cara penulis berdakwah menerusi KMR ini. Tidak terlalu berat untuk dihadam tapi santai dakwah ditangan penulis muda ini cukup tepu dengan pengisiannya yang disampaikan dengan cukup berhemah, penuh nilai-nilai hikmah menjadikan naratif beliau ini indah dan menarik untuk dibaca. Tema kisah penulis ini mengutarakan elemen kasih sayang dan bagaimana ia diadun dengan isu pergolakan di dalam kehidupan manusia yang diwakili oleh watak utama naratif ini; pasangan muda Ahmad Izzat Mubasyir Aidil dan Raudhah Ahmad dengan pelbagai kisah suka duka yang mendewasakan mereka dengan pengalaman tersebut. Satu rentetan kisah kehidupan manusia yang penuh bingkisan warna-warni yang diakhiri dengan citra penuh kedamaian.


Raudhah dan Izzat @ Jack selaku peneraju watak utama di dalam KMR cukup berjaya dipotretkan penulis. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Raudhah si doktor yang cantik, tegas, tapi adakalanya dipengaruhi emosi tatkala melakar keputusan, keras kepala, degil yang tidak sedikit. Izzat; jurutera muda yang tersasar jalan hidup remajanya, namun kembali mencari nur-Nya kala dipertemukan dengan Raudhah. Kedua-dua mereka dipotretkan penulis dengan satu tagline…manusia itu tidak sempurna!. Raudhah yang jika diteliti, cantik diwatakkan penulis dengan kekurangan yang awalnya dia sendiri tidak melihatnya, namun kekurangan Izzat dan kebangkitan Izzat dari zaman kegelapan penuh nodanya membuka mata Raudhah siapa dia untuk mengadili apatah lagi menghukum!. Saya sukakan watak Izzat. Peralihan dirinya dari zaman hitam ke putih dipenakan dengan indah sekali! .Dari jahil dia menjadi hamba yang Khaliq. Saya juga sangat sukakan watak Sarah dan Jannah yang penuh keibuan, watak Haji Salahuddin @ Tok Ayah sangat memikat!.

Kalau membicarakan soal jalan cerita, memang tidak dinafi kisah KMR ini biasa-biasa sahaja, namun keistimewaan citra ciptaan penulis muda ini terserlah pada cara ia dipersembahkan. Serakan ilmu yang ditebarkan beliau bersama sisipan mutiara kata yang ditemui di tiap penjuru naskhah ini cukup menjarakkan beliau dan naskhah sulungnya ini berbanding yang lain-lain. Elemen cinta yang disulam sebagai pengindah cerita dipancarkan dengan molek sekali. Pengaplikasian gaya bahasa yang cantik begitu mewarnai naratif ini. Sulaman petikan ayat al-quran dan hadith terpilih; yang indah-indah dan merdu diatur dengan cukup tertib.

Kerja-kerja penyuntingan dan pembacaan pruf saya kira dijalankan dengan cemerlang sekali lalu terhasillah gerak kerja sinematografi yang menghasilkan rentetan perjalanan naratif yang cukup tersusun ritma dan nahunya. Pergerakkan plot cerita yang bersulam elemen kronologi dan flashback ini digerakkan dengan sebaiknya agar pembaca tidak langsung hilang fokus didalam menyusuri naratif ini. Penataan latar cerita yang membabitkan pelbagai lokasi dari Malaysia ke benua Eropah lalu singgah di bumi Israk Mikraj ternyata diperhalusi dengan cukup baik sekali.

KMR yang membawa pembaca mengenali seorang Ahmad Izzat, sang jurutera muda yang serba lengkap peribadinya cuma jahil sisi agamanya lalu pertemuannya dengan seorang bidadari bermata hijau; Raudhah di Jannatul Firdaus Resort membuka lembaran baru hidupnya didalam mengenali jalan hidup yang lebih kudus dan mulus. Cabaran mendekati dan mengenali si mata hijau yang tanpa diduga adalah tunangnya sendiri bukanlah satu jalan mudah. Raudhah; si doktor muda yang punyai peribadi cantik, seindah wajah yang dikurnia punya penanda aras pada bakal pendamping hidupnya lalu tercetuslah bermacam peristiwa yang secara tidak langsung menemukan memberi ruang pada mereka untuk saling mengenali. Bila mengetahui status masing-masing Izzat pasti insan yang paling gembira, tapi tidak Raudhah. Namun bila peluang diberi Raudhah terpalit insiden jelik yang tidak disengajakan Izzat, hubungan yangcuba dijernihkan kedua-dua pihak terus terkubur. Raudhah nekad sekali!, Izzat bukan jodoh terbaik buatnya. Lalu berangkat dia meninggalkan bumi Malaysia, jauh meninggalkan Izzat. Kata pujangga jika sudah tersurat jodoh , walau seribu tahun terpisah pasti bersatu juga. Sudah terpetri di loh mahfuz,Raudhah Ahmad itulah si tulang rusuk Ahmad Izzat Mubasyir Aidil yang hilang, pendamping hidup juga penyejuk jiwanya.


Kata Datuk Dr A Samad Said buku itu mengasuh diri sasa bersuara, membaca menjadi jambatan bertuah..agar sentiasa canggih dan berhemah. Buat penulis, membaca naskhah sulung anda ini seakan melihat seorang senior berkarya, diharap tidak terlambat untuk lafaz tahniah ini untuk anda. Karya anda ini cukup hebat dan amat mendamaikan sekali. Pembaca pasti menunggu sentuhan ajaib anda sekali lagi pada naskhah akan datang. Selamat maju jaya dari saya untuk anda yang bernama Saidatul Saffaa.

Tuesday, December 8, 2009

YanG SeBeNarnYa...


Tajuk Buku :Yang Sebenarnya
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik & Keluargaan
Bintang : 3 1/2


------------------------------------------------------------

“Yang sebenarnya kasih sayang itu wujud dalam hati kita tanpa kita sedari selama ini…”

Resensi Si Ungu:

Saya kira bagi setiap penulis senior, hanya satu igauan yang hadir dalam diri mereka tatkala ingin menghasilkan karya baru; mampukah karya yang bakal diterbitkan itu diterima khalayak pembacanya dan bolehkah ia mengatasi kehebatan karya-karya mereka yang terdahulu. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi apatah lagi mahu terus meningkat ke puncak namun perkara ini bukan mustahil. Dengan perkembangan persekitaran dunia penulisan semasa, pembaca sekarang dilihat lebih telus didalam menilai sesebuah karya dan penulis harus bersedia menghadapi perkembangan ini dengan tangan dan jiwa yang terbuka. Jangan mudah melatah jika dikritik, jangan gunakan emosi bila menghakimi sesuatu tapi halusi setiap yang diutarakan dengan etika profesionalisme seorang penulis.

Aisya Sofea; sebuah nama yang sedia harum dipersada penulisan kreatif tanahair. Beliau antara penulis kegemaran saya dan sebagai seorang penulis yang saya kira cukup berpengalaman di pentas penulisan kreatif tanahair, kehebatan cetusan idea beliau begitu mengagumkan. Kelahiran novel terbaru beliau; Yang Sebenarnya(YS) ternyata cukup dinanti, hebat menggamit para pembaca,peminat juga pencinta novel tanahair. Saya tidak terkecuali. Bagi saya penulis ini ratu kisah-kisah berelemen romantis. Dia hebat di platform itu dengan cara dan pesonanya yang tersendiri tapi sayang sekali beberapa kesilapan yang bersifat kecuaian yang dikesan didalam naskhah terbaru ini telah menjejaskan mutu karya beliau kali ini.

YS membawa tema cinta.Tema yang begitu sinonim dengan penulis ini dan cukup universal di kalangan peminat novel. Cinta itu adakalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ia juga mungkin membuatkan seseorang menunggu bertahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan. Cinta boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kesedihan, kekecewaan dan kepedihan. Bila unsur cinta melibatkan dua insan yang sudah saling mengenali sejak kecil apatah lagi ada pertalian keluarga yang cukup erat maka pasti wujud kekeliruan untuk mengenalpasti perasaan sebenarnya. Inilah yang cuba diketengahkan oleh penulis menerusi watak Nadhiya Sofiya @ Dhiya dan Eddie @ Andrian Saifullah selaku pendukung utama naratif kali ini.


Perwatakan Dhiya dan Eddie, dua sepupu yang begitu akrab seperti adik dan abang lalu bila cinta hadir antara mereka, pasti ia mengundang pelbagai reaksi juga tanda tanya. Ternyata olahan gelodak rasa dua watak utama ini berjaya ditangani penulis dengan baik sekali. Dhiya yang yang sedikit keras kepala sifatnya, ramah peribadinya namun cukup berdikari , bertanggungjawab dan pintar orangnya . Karektor Dhiya digambarkan masih belum serius memikirkan soal pasangan hidup dan mahu cinta hadir secara semulajadi dalam hidupnya tanpa unsur paksaan mahupun sebab kasihan seperti yang terjadi pada kakaknya; Achik. Kegagalan rumahtangga Achik banyak mengajarnya lebih berhati-hati terhadap cinta lelaki. Watak Dhiya dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis. Emosi perempuannya terserlah kala dia ditimpa kesedihan. Watak Eddie sedikit lari dari stereotaip hero-hero penulis; tiada lagi hero berlesung pipit kali ini. Hanya seorang pemuda dengan fizikal kacak, tinggi, tegap, sasa namun tersasar jalan hidupnya kesan kegagalan mengemudi hidup di bumi asing, seorang ketua yang cukup berkarisma namun sukar mengawal amarah diri. Saya sukakan cara penulis melayarkan karektor Eddie. Eddie yang bersifat pelindung, ambil berat namun sukar mengawal marah diserlahkan dengan sebaiknya oleh penulis. Watak antagonis Nuryn cukup memikat. Sifat hitam wataknya dipersembahkan dengan cantik sekali hingga cukup mengundang benci di hati pembaca. Obses Nuryn pada cinta Eddie begitu menakutkan dan akhirnya memakan diri sendiri. Mesej di sini dari penulis cukup tersurat buat renungan pembaca. Saya sukakan watak pembantu Sufini yang selamba dan berani, Begitu juga Achik yang kasihan, Ahmad dan Fauzan yang malang, babah dan mak cukup memahami telah mewarni keseluruhan naratif ini.

Struktur plot naratif ini digarap dengan menggunakan elemen emosi nan cantik serta dramatik dari awal hingga lah ke penghujung cerita. Itulah momentumnya. Kita juga akan turut terkesan dengan perjalanan kisah watak-wataknya juga konflik yang tercetus di sepanjang tempoh penceritaan ini. Keberkesanan ini bertitik tolak dari keberkesanan penulis membangunkan watak-watak dengan penuh emosi dan mereka digerakkan dengan penuh rasa emosi seorang manusia. Gaya bahasa yang diadaptasi penulis didalam naratif kali ini cukup santai dan mudah diterima bersesuaian dengan konsep dan jalan cerita yang dipilih.


Bila kita bicara soal suntingan YS, maka maaf saya katakan saya sungguh kecewa. Terlalu kerap sekali kesilapan ejaan yang saya temui. Lebih buruk pembentukan ayat dengan struktur yang tidak tepat malah ada yang salah mengikut hukum tatabahasa tambah mencacatkan naskhah ini. Begitu juga pada bahagian sesi chatting antara Dhiya dan Eddie. Antara sesi chatting dengan penceritaan Dhiya sepatutnya dipisahkan dengan perenggan baru agar pembaca tidak terkeliru untuk memahami yang mana satu dialog chatting dan yang mana satu penceritaan Dhiya. Saya tidak meletakkan keseluruhan kesalahan ini di bahu penulis untuk dipikul, tapi pihak panel editor harus turut sama bertanggungjawab. Bagaimana kesalahan dan kecuaian yang cukup memalukan ini boleh terlepas pandang. Bukan satu, bukan dua, bukan tiga...anda pihak yang diberi peranan dan tanggungjawab, maka silalah kira sendiri.

Selain itu, perihal latar masa di dalam naskhah ini juga mengelirukan. Jika diteliti terdapat dua latar masa yang disebutkan di dalam naratif ini; 6 tahun dan 3 tahun ketika menceritakan jarak masa yang melibatkan hubungan Achik dan Eddie . Saya kurang pasti mengapa hal ini berlaku apakah sebab kecuaian juga namun ia jelas mengundang tanda tanya pada pembaca. Saya sendiri sudah mengaru-garu kepala..apa ni!. Seperkara lagi, sewaktu disebutkan tentang suhu badan Fauzan yang dikatakan demam; 35.5 celcius, saya dimaklumkan oleh seorang teman yang adiknya adalah seorang pegawai perubatan suhu normal manusia tidak kira dewasa atau kanak-kanak adalah 37 celcius. Jikalau suhu badan seseorang itu melepasi 37 celcius barulah boleh dikategorikan sebagai demam, lalu sekali lagi persoalan saya bagaimana perkara sebegini boleh terlepas pandang!...sungguh memalukan bukan?.

Untuk Aisya Sofea yang saya kagumi bakat penulisannya, sekalung tahniah atas persembahan anda dalam Yang Sebenarnya. Semoga akan terus gigih berkarya, terus mencurah dan berkongsi idea kreatif anda dengan para pembaca sekalian. Kesilapan bukanlah penutup jalan namun jadikan ia pemangkin dan pembuka ruang untuk anda lebih peka pada karya akan datang.