Tuesday, December 8, 2009
YanG SeBeNarnYa...
Tajuk Buku :Yang Sebenarnya
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik & Keluargaan
Bintang : 3 1/2
------------------------------------------------------------
“Yang sebenarnya kasih sayang itu wujud dalam hati kita tanpa kita sedari selama ini…”
Resensi Si Ungu:
Saya kira bagi setiap penulis senior, hanya satu igauan yang hadir dalam diri mereka tatkala ingin menghasilkan karya baru; mampukah karya yang bakal diterbitkan itu diterima khalayak pembacanya dan bolehkah ia mengatasi kehebatan karya-karya mereka yang terdahulu. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi apatah lagi mahu terus meningkat ke puncak namun perkara ini bukan mustahil. Dengan perkembangan persekitaran dunia penulisan semasa, pembaca sekarang dilihat lebih telus didalam menilai sesebuah karya dan penulis harus bersedia menghadapi perkembangan ini dengan tangan dan jiwa yang terbuka. Jangan mudah melatah jika dikritik, jangan gunakan emosi bila menghakimi sesuatu tapi halusi setiap yang diutarakan dengan etika profesionalisme seorang penulis.
Aisya Sofea; sebuah nama yang sedia harum dipersada penulisan kreatif tanahair. Beliau antara penulis kegemaran saya dan sebagai seorang penulis yang saya kira cukup berpengalaman di pentas penulisan kreatif tanahair, kehebatan cetusan idea beliau begitu mengagumkan. Kelahiran novel terbaru beliau; Yang Sebenarnya(YS) ternyata cukup dinanti, hebat menggamit para pembaca,peminat juga pencinta novel tanahair. Saya tidak terkecuali. Bagi saya penulis ini ratu kisah-kisah berelemen romantis. Dia hebat di platform itu dengan cara dan pesonanya yang tersendiri tapi sayang sekali beberapa kesilapan yang bersifat kecuaian yang dikesan didalam naskhah terbaru ini telah menjejaskan mutu karya beliau kali ini.
YS membawa tema cinta.Tema yang begitu sinonim dengan penulis ini dan cukup universal di kalangan peminat novel. Cinta itu adakalanya indah dan menyakitkan pada waktu yang sama. Ia juga mungkin membuatkan seseorang menunggu bertahun lamanya tanpa sebab dan hanya berbekalkan harapan. Cinta boleh menyembuhkan jiwa mereka yang perit menanggung kesedihan, kekecewaan dan kepedihan. Bila unsur cinta melibatkan dua insan yang sudah saling mengenali sejak kecil apatah lagi ada pertalian keluarga yang cukup erat maka pasti wujud kekeliruan untuk mengenalpasti perasaan sebenarnya. Inilah yang cuba diketengahkan oleh penulis menerusi watak Nadhiya Sofiya @ Dhiya dan Eddie @ Andrian Saifullah selaku pendukung utama naratif kali ini.
Perwatakan Dhiya dan Eddie, dua sepupu yang begitu akrab seperti adik dan abang lalu bila cinta hadir antara mereka, pasti ia mengundang pelbagai reaksi juga tanda tanya. Ternyata olahan gelodak rasa dua watak utama ini berjaya ditangani penulis dengan baik sekali. Dhiya yang yang sedikit keras kepala sifatnya, ramah peribadinya namun cukup berdikari , bertanggungjawab dan pintar orangnya . Karektor Dhiya digambarkan masih belum serius memikirkan soal pasangan hidup dan mahu cinta hadir secara semulajadi dalam hidupnya tanpa unsur paksaan mahupun sebab kasihan seperti yang terjadi pada kakaknya; Achik. Kegagalan rumahtangga Achik banyak mengajarnya lebih berhati-hati terhadap cinta lelaki. Watak Dhiya dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis. Emosi perempuannya terserlah kala dia ditimpa kesedihan. Watak Eddie sedikit lari dari stereotaip hero-hero penulis; tiada lagi hero berlesung pipit kali ini. Hanya seorang pemuda dengan fizikal kacak, tinggi, tegap, sasa namun tersasar jalan hidupnya kesan kegagalan mengemudi hidup di bumi asing, seorang ketua yang cukup berkarisma namun sukar mengawal amarah diri. Saya sukakan cara penulis melayarkan karektor Eddie. Eddie yang bersifat pelindung, ambil berat namun sukar mengawal marah diserlahkan dengan sebaiknya oleh penulis. Watak antagonis Nuryn cukup memikat. Sifat hitam wataknya dipersembahkan dengan cantik sekali hingga cukup mengundang benci di hati pembaca. Obses Nuryn pada cinta Eddie begitu menakutkan dan akhirnya memakan diri sendiri. Mesej di sini dari penulis cukup tersurat buat renungan pembaca. Saya sukakan watak pembantu Sufini yang selamba dan berani, Begitu juga Achik yang kasihan, Ahmad dan Fauzan yang malang, babah dan mak cukup memahami telah mewarni keseluruhan naratif ini.
Struktur plot naratif ini digarap dengan menggunakan elemen emosi nan cantik serta dramatik dari awal hingga lah ke penghujung cerita. Itulah momentumnya. Kita juga akan turut terkesan dengan perjalanan kisah watak-wataknya juga konflik yang tercetus di sepanjang tempoh penceritaan ini. Keberkesanan ini bertitik tolak dari keberkesanan penulis membangunkan watak-watak dengan penuh emosi dan mereka digerakkan dengan penuh rasa emosi seorang manusia. Gaya bahasa yang diadaptasi penulis didalam naratif kali ini cukup santai dan mudah diterima bersesuaian dengan konsep dan jalan cerita yang dipilih.
Bila kita bicara soal suntingan YS, maka maaf saya katakan saya sungguh kecewa. Terlalu kerap sekali kesilapan ejaan yang saya temui. Lebih buruk pembentukan ayat dengan struktur yang tidak tepat malah ada yang salah mengikut hukum tatabahasa tambah mencacatkan naskhah ini. Begitu juga pada bahagian sesi chatting antara Dhiya dan Eddie. Antara sesi chatting dengan penceritaan Dhiya sepatutnya dipisahkan dengan perenggan baru agar pembaca tidak terkeliru untuk memahami yang mana satu dialog chatting dan yang mana satu penceritaan Dhiya. Saya tidak meletakkan keseluruhan kesalahan ini di bahu penulis untuk dipikul, tapi pihak panel editor harus turut sama bertanggungjawab. Bagaimana kesalahan dan kecuaian yang cukup memalukan ini boleh terlepas pandang. Bukan satu, bukan dua, bukan tiga...anda pihak yang diberi peranan dan tanggungjawab, maka silalah kira sendiri.
Selain itu, perihal latar masa di dalam naskhah ini juga mengelirukan. Jika diteliti terdapat dua latar masa yang disebutkan di dalam naratif ini; 6 tahun dan 3 tahun ketika menceritakan jarak masa yang melibatkan hubungan Achik dan Eddie . Saya kurang pasti mengapa hal ini berlaku apakah sebab kecuaian juga namun ia jelas mengundang tanda tanya pada pembaca. Saya sendiri sudah mengaru-garu kepala..apa ni!. Seperkara lagi, sewaktu disebutkan tentang suhu badan Fauzan yang dikatakan demam; 35.5 celcius, saya dimaklumkan oleh seorang teman yang adiknya adalah seorang pegawai perubatan suhu normal manusia tidak kira dewasa atau kanak-kanak adalah 37 celcius. Jikalau suhu badan seseorang itu melepasi 37 celcius barulah boleh dikategorikan sebagai demam, lalu sekali lagi persoalan saya bagaimana perkara sebegini boleh terlepas pandang!...sungguh memalukan bukan?.
Untuk Aisya Sofea yang saya kagumi bakat penulisannya, sekalung tahniah atas persembahan anda dalam Yang Sebenarnya. Semoga akan terus gigih berkarya, terus mencurah dan berkongsi idea kreatif anda dengan para pembaca sekalian. Kesilapan bukanlah penutup jalan namun jadikan ia pemangkin dan pembuka ruang untuk anda lebih peka pada karya akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Saya baru aje abis bce buku nih..
ReplyDeleteMemang best.. Tmbhn bile sy nih peminat penulis karya nih, Aisya Sofea..