Blogger Templates

Monday, December 21, 2009

LenTera MusTiKa...


TAJUK: LENTERA MUSTIKA
PENULIS : NISAH HARON
PENERBIT : PTS LITERA UTAMA SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2009
HARGA : RM18.00
GENRE : SASTERA
BINTANG : 5


--------------------------------------------------------

“Hidupmu bersinar dan turut menyinari kehidupan orang lain yang berada di sekitar lentera itu….Sebuah lentera sifatnya cantik dan indah dalam radius cahaya yang dilimpahkan. Sebab itulah ramai yang tertarik denganmu...”

Resensi Si Ungu:

Sejujurnya saya tidak pernah membaca karya penulis ini. Inilah karya beliau yang pertama saya beli dan baca; itupun selepas puas dipujuk oleh seorang teman baik yang sealiran minatnya dengan saya. Katanya “bacalah kucc, wan rekemen sangat-sangat…best tau!, tak menyesal kalau kucc beli”. Wah, jiwa saya sudah mula tak tentu hala ketika itu. Antara rasa percaya dan was-was yang saling bertingkah dalam mempengaruhi otak membuat keputusan, saya sematkan satu kata,kalau tak cuba mana tahu kan!. Dan atas tiket mahu mencuba lantaran dorongan kuat dari teman tadi, tangan ini laju sahaja menarik naskhah ini dari raknya lalu kaki bergerak ke kaunter bayaran.

Dahulunya setiap kali terpandang nama penulis ini, akan terbayang diminda kata-kata teman lain yang mengklasifikasikan karya-karya penaaan penulis ini sebagai "berat". Untuk insan seperti saya yang masih diperingkat awal mengenal cinta pada penulisan kreatif kata-kata sedemikian sedikit sebanyak mempengaruhi minda didalam membuat keputusan pembelian. Namun ternyata naskhah terbaru penulis ; Lentera Mustika telah mengubah persepsi tersebut. Saya sudah jatuh hati pada Ainur Mustika!. Lalu sepantasnya juga saya mencari prekuelnya; Mencari Locus Standi yang sudah diterbitkan lebih awal kerana sangat teruja untuk mengetahui sambungan perjalanan kisah ini.

Tema warisan budaya yang menjurus pada puisi tradisional diangkat sebagai tema utama naskhah indah. Keindahan pantun-pantun dan puisi tradisional yang mengiringi perjalanan pembaca menyusuri kisah garapan penulis ini akan memperlihatkan kecintaan penulis pada warisan bangsa ini yang diterjemahkan menerusi perjuangan Prof. Dr. Ainur Mustika yang merupakan pendukung utama naskhah ini. Mesej naskhah mencerminkan bahawa tanggungjawab mengangkat taraf warisan budaya bangsa ini adalah tugas kita semua..kita adalah bangsa yang mewarisinya dan jika bukan kita yang berjuang untuk mengekalkannya, siapa lagi yang harus menggalas tanggungjawab tersebut.

Lentera Mustika(LM) memperkenalkan pembaca pada Prof. Dr. Ainur Mustika pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu berusia 30-an, masih belum berkahwin, seorang wanita lembut tapi tegas sifatnya dalam memperjuangkan akar budaya bangsa khususnya puisi tradisional yang menjadi subjek utama pengajaran dan penyelidikannya. Demi kecintaan ini dia sanggup menyeberang lautan dan membelah banjaran pergunungan demi menyalurkan wadah ini kepada masyarakat. Tidak sedikit cabaran yang terpaksa dihadapinya didalam memperjuangkan warisan tersebut. Kalangan teman seakademik ada yang memandang enteng tapi ia bukanlah peruntuh semangat wanita hebat ini. Ainur tidak mudah diajak bercanda tak tentu hala tapi hanya pada yang orang yang tertentu sahaja, sahabat yang sangat istimewa di mata Badariah juga Dahlia @Kak Dahl. Ainur yang pernah jatuh hati tapi dikecewakan Syed Amirul Hakim pensyarah dari Palembang dengan alasan picisan juga dikejar dua bekas anak muridnya; Rozario dan Zul Farhan yang masing-masing jatuh hati pada keperibadian miliknya namun bijak ditangkis Ainur dengan penuh diplomasi. Kemunculan Emir Johan peguam berstatus duda anak satu adalah penamat penantiannya. Kata Ainur, cinta di usia matang harus praktikal, tiada lagi zaman cinta-cinta kosong yang ntah hapa-hapa dan ternyata kisah cinta Ainur dan Johan ditangan penulis cukup murni, mulia & mulus sifatnya. Cinta mereka bukan artifisial, tidak bersifat murahan tapi penuh nasihat, teladan..romantisnya cukup terkawal tapi sangat memikat!

Perwatakan Ainur Mustika adalah cermin keseluruhan perwatakan di dalam naskhah ini. Ainur Mustika mendominasi keseluruhan naratif dengan kisah dan kerjayanya juga perjuangannya. Watak Ainur Mustika dibentuk dengan sangat cemerlang. Dia lambang wanita yang kuat semangat biarpun dilanda pelbagai ujian dan dugaan. Kisah cinta yang putus di tengah jalan ditangani dengan penuh redha, cabaran di fakulti disambut dengan penuh diplomasi tanpa sedikitpun melatah, sifat tegasnya dan sedikit sinis pada anak bangsa yang dididik sebenarnya mencerminkan kecintaan Ainur pada mereka , demi masa depan mereka. Kak Dahl @ Dahlia sangat selamba wataknya. Saya sukakan cara watak beliau dipotretkan. Sifat peramah dan naifnya cukup terserlah. Perwatakan Emir Johan, sang peguam berstatus duda juga sangat indah dilakarkan penulis. Lelaki budiman yang istimewa ini sangat memikat dengan sifat dan peribadinya. Kelembutannya menangani masalah pelanggan dizahirkan dengan cukup cemerlang oleh penulis. Menerusi watak Emir Johan juga, penulis memanipulasi kehebatan pengalaman dunia kepeguamannya. Ilmu undang-undang tentang perwarisan, hak cipta, keluarga islam juga harta pusaka diterjemahkan dengan sangat harmoni.

Penggunaan gaya bahasa dalam naskhah ini sangat indah dengan elemen puisi tradisional khususnya pantun yang mewarnai keseluruhan naskhah. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik elemen bahasa dengan baik sekali dan saya sungguh jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna penulis dalam naskhah ini. Perbendaharaan kata pembaca diperkayakan oleh penulis dengan kemunculan perkataan-perkataan baharu yang saya kira sebelum ini begitu asing di mata.

Plot cerita dibina dengan format kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis. Pergerakan plot yang mengadaptasikan keindahan latar kampus UKM sebagai medan latar utama naskhah lalu bergerak dari bilik kerja Ainur Mustika ke bilik kuliah, rumah, hinggalah majlis-majlis ilmu yang dihadirinya digambarkan dengan baik sekali.

Kisah cinta di tangan Nisah Haron sangat menjanjikan kelainan dari kisah-kisah cinta yang berselerakan di pasaran. Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk naskhah anda ini. Karya ini sesungguhnya menerbitkan rasa cinta yang sangat indah dihati saya dan rasa itu terus berbekas di jiwa!

Buat pembaca, Lentera Mustika sudah memberikan suatu rasa yang sangat istimewa buat saya yang memilih untuk membaca. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk sama-sama menikmati rasa yang sangat indah itu!

3 comments:

  1. kucc...

    =) indah kan??!! kiranya tak rugi la wan rekomen suruh kucc baca... hehehe

    wan setuju dengan kucc... sekali sekali apa salahnya membaca karya berunsur sastera kerana ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripadanya, ada ilmu yg boleh kita jadikan panduan... kalau tak banyak sedikit mesti ada gunanya!

    lagi satu wan suka bk ni sebab banyak perbendaharaan kata baru yang wan dapat, yang jarang digunapakai, yang jarang wan dengar

    kucc... terima kasih untuk review yang indah ini... =)

    ReplyDelete
  2. wan - kucc sangat seronok menghayati kisah Dr. Ainur Mustika ni...terima kasih atas saranan dan pujukan wan..hehehe

    p/s : terus google cari prekuelnye; Mencari Locus Standi..order terus dan tadi sudah selamat mendarat di MM bersama tt dan cap mohor penulisnya..jgn jeles wan, hikhik

    ReplyDelete
  3. sangat suka cerita ni ;D
    alahai, masih mencari 'Mencari Locus Standi'
    jeles la, Cik KUCC dapat cap mohor huhuhu

    ReplyDelete