Wednesday, December 16, 2009
KeMiLau MutiaRa RauDhaH...
Tajuk Buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis : Saidatul Saffaa
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM22.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang: 4
----------------------------------------------------------
“Hidayah itu milik orang yang bersungguh-sungguh kerana ia tidak datang bergolek. Ia perlu dicari…bukan ditunggu!”
Resensi Si Ungu:
Seni penulisan kreatif adalah sebahagian dari citra sastera yang indah. Setiap penulis yang melibatkan diri didalam citra ini punyai cara tersendiri di dalam melontarkan wacana pemikiran mereka yang secara kesimpulannya pasti menyentuh tentang Tuhan, tentang makhluk-Nya juga tentang kehidupan. Lontaran pemikiran itu nanti diharapkan menjadi bekalan serta memperkayakan jiwa pembaca menerusi pengisian dalam kisah yang dibentangkan mereka. Bakat dan karya penulis perlu saling melangkah seiring; ada mesej diselit, ada tanggungjawab pada pena yang menukil kerana yang pasti berbuat baik, saling mengingati juga membimbing sesama umat itu tugas semua ; tugas kita sebagai khalifah-Nya di bumi ini kerana tiap saham yang kita laburkan didunia ini dividennya bakal kita kutip di sana nanti. Inilah mesej yang dapat saya kutip di sepanjang perjalanan saya menyusuri naskhah berjudul Kemilau Mutiara Raudhah ini.
Naskhah ini hasil nukilan seorang penulis yang masih hijau di persada tapi kejutan penanya sangat memukau!. Saya terkagum sekali dengan citra indah persembahan si bakal doktor nan berbakat hebat ini. Akal penanya terlayar sangat jujur berkarya, ada sinis dilontar tapi penuh berhemah dijalin…tidak melibas sebarangan!
Saya bukanlah jenis yang suka membaca dengan format “shinkansen” justeru itu, memang saya mengambil masa yang lama untuk mengkatamkan sesebuah naskhah. Mungkin sebab faktor dah tua agaknya kan! , tapi masa panjang yang saya ambil itu membuatkan saya benar-benar dapat melayari minda meneroka naratif cantik ini dengan semahu-mahunya!.
'Hidup ini hanya pinjaman. Nyawa itu hanya pinjaman. bahkan hati dengan sepenuh cinta ini hanyalah pinjaman.. akan kembali pada Pemiliknya jua”..Saya sukakan cara penulis berdakwah menerusi KMR ini. Tidak terlalu berat untuk dihadam tapi santai dakwah ditangan penulis muda ini cukup tepu dengan pengisiannya yang disampaikan dengan cukup berhemah, penuh nilai-nilai hikmah menjadikan naratif beliau ini indah dan menarik untuk dibaca. Tema kisah penulis ini mengutarakan elemen kasih sayang dan bagaimana ia diadun dengan isu pergolakan di dalam kehidupan manusia yang diwakili oleh watak utama naratif ini; pasangan muda Ahmad Izzat Mubasyir Aidil dan Raudhah Ahmad dengan pelbagai kisah suka duka yang mendewasakan mereka dengan pengalaman tersebut. Satu rentetan kisah kehidupan manusia yang penuh bingkisan warna-warni yang diakhiri dengan citra penuh kedamaian.
Raudhah dan Izzat @ Jack selaku peneraju watak utama di dalam KMR cukup berjaya dipotretkan penulis. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Raudhah si doktor yang cantik, tegas, tapi adakalanya dipengaruhi emosi tatkala melakar keputusan, keras kepala, degil yang tidak sedikit. Izzat; jurutera muda yang tersasar jalan hidup remajanya, namun kembali mencari nur-Nya kala dipertemukan dengan Raudhah. Kedua-dua mereka dipotretkan penulis dengan satu tagline…manusia itu tidak sempurna!. Raudhah yang jika diteliti, cantik diwatakkan penulis dengan kekurangan yang awalnya dia sendiri tidak melihatnya, namun kekurangan Izzat dan kebangkitan Izzat dari zaman kegelapan penuh nodanya membuka mata Raudhah siapa dia untuk mengadili apatah lagi menghukum!. Saya sukakan watak Izzat. Peralihan dirinya dari zaman hitam ke putih dipenakan dengan indah sekali! .Dari jahil dia menjadi hamba yang Khaliq. Saya juga sangat sukakan watak Sarah dan Jannah yang penuh keibuan, watak Haji Salahuddin @ Tok Ayah sangat memikat!.
Kalau membicarakan soal jalan cerita, memang tidak dinafi kisah KMR ini biasa-biasa sahaja, namun keistimewaan citra ciptaan penulis muda ini terserlah pada cara ia dipersembahkan. Serakan ilmu yang ditebarkan beliau bersama sisipan mutiara kata yang ditemui di tiap penjuru naskhah ini cukup menjarakkan beliau dan naskhah sulungnya ini berbanding yang lain-lain. Elemen cinta yang disulam sebagai pengindah cerita dipancarkan dengan molek sekali. Pengaplikasian gaya bahasa yang cantik begitu mewarnai naratif ini. Sulaman petikan ayat al-quran dan hadith terpilih; yang indah-indah dan merdu diatur dengan cukup tertib.
Kerja-kerja penyuntingan dan pembacaan pruf saya kira dijalankan dengan cemerlang sekali lalu terhasillah gerak kerja sinematografi yang menghasilkan rentetan perjalanan naratif yang cukup tersusun ritma dan nahunya. Pergerakkan plot cerita yang bersulam elemen kronologi dan flashback ini digerakkan dengan sebaiknya agar pembaca tidak langsung hilang fokus didalam menyusuri naratif ini. Penataan latar cerita yang membabitkan pelbagai lokasi dari Malaysia ke benua Eropah lalu singgah di bumi Israk Mikraj ternyata diperhalusi dengan cukup baik sekali.
KMR yang membawa pembaca mengenali seorang Ahmad Izzat, sang jurutera muda yang serba lengkap peribadinya cuma jahil sisi agamanya lalu pertemuannya dengan seorang bidadari bermata hijau; Raudhah di Jannatul Firdaus Resort membuka lembaran baru hidupnya didalam mengenali jalan hidup yang lebih kudus dan mulus. Cabaran mendekati dan mengenali si mata hijau yang tanpa diduga adalah tunangnya sendiri bukanlah satu jalan mudah. Raudhah; si doktor muda yang punyai peribadi cantik, seindah wajah yang dikurnia punya penanda aras pada bakal pendamping hidupnya lalu tercetuslah bermacam peristiwa yang secara tidak langsung menemukan memberi ruang pada mereka untuk saling mengenali. Bila mengetahui status masing-masing Izzat pasti insan yang paling gembira, tapi tidak Raudhah. Namun bila peluang diberi Raudhah terpalit insiden jelik yang tidak disengajakan Izzat, hubungan yangcuba dijernihkan kedua-dua pihak terus terkubur. Raudhah nekad sekali!, Izzat bukan jodoh terbaik buatnya. Lalu berangkat dia meninggalkan bumi Malaysia, jauh meninggalkan Izzat. Kata pujangga jika sudah tersurat jodoh , walau seribu tahun terpisah pasti bersatu juga. Sudah terpetri di loh mahfuz,Raudhah Ahmad itulah si tulang rusuk Ahmad Izzat Mubasyir Aidil yang hilang, pendamping hidup juga penyejuk jiwanya.
Kata Datuk Dr A Samad Said buku itu mengasuh diri sasa bersuara, membaca menjadi jambatan bertuah..agar sentiasa canggih dan berhemah. Buat penulis, membaca naskhah sulung anda ini seakan melihat seorang senior berkarya, diharap tidak terlambat untuk lafaz tahniah ini untuk anda. Karya anda ini cukup hebat dan amat mendamaikan sekali. Pembaca pasti menunggu sentuhan ajaib anda sekali lagi pada naskhah akan datang. Selamat maju jaya dari saya untuk anda yang bernama Saidatul Saffaa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
yang indah itu milik puan-puan editor yang menjadikannya lebih indah :D
ReplyDelete