Sunday, January 10, 2010
9 NyaWa...
TAJUK: 9 NYAWA
PENULIS : RAMLEE AWANG MURSHID
PENERBIT : ALAF21
HARGA : RM19.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : THRILLER
BINTANG : 4
----------------------------------------------------
“ Mereka berdua dipertemukan dialam paranormal, biar pelik dimata zahir namun mata hati tidak pernah berdusta tentang apa yang diperlihatkan padanya…”
Resensi Si Ungu
9 Nyawa; tajuknya sahaja sudah cukup menangkap minda untuk menyelusuri kisah disebalik naskhah ini. Lukisan dikulit buku tambah mengujakan perasaan bagi mengetahui naratif yang dibentangkan penulis kali ini. Inilah tarikan terbaru yang dibentangkan oleh penulis handalan kelahiran negeri di bawah bayu yang sudah cukup sinonim dengan genre trillernya. Dan kali ini berteraskan genre yang sama, beliau membawa pembaca menghayati sebuah drama kehidupan manusia yang cukup tragis namun mesej beliau dipenghujung cerita cukup jelas; baik pasti dibalas baik dan sebaliknya kerana Dia maha adil dan maha mengetahui tentang tiap kejadian di mukabumi ini.
Mitos yang menyatakan bahawasanya kucing itu ada 9 nyawa diangkat penulis didalam pengkisahannya kali ini dan mitos itu seakan menyamai nasib watak utama kisah ini; Intan Suryani yang sering kali berjaya melepasi beberapa kali ancaman maut dan nyawanya masih betah menunjangi jasad yang kerap diterjah panggilan tersebut. Naratif yang mengadaptasikan perjalanan kisah antara dua buah keluarga; satu di Malaysia dan satu di Singapura. Dua buah keluarga yang terpisah oleh jarak dan masa namun tidak menyedari mereka punyai perkaitan silam yang akhirnya merungkai sebuah sejarah kelam yang menghantui mereka sejak sekian lama.
Tema kisah kali ini berkisarkan tentang pengorbanan. Pengorbanan yang didasarkan tiket kasih sayang demi kebaikkan sesama insan. Kalau dipandang secara umum, temanya memang klise bentuknya namun pengolahan yang baik oleh penulis mampu memberi nafas segar yang berbeza bagi tema yang stereotaip ini. Di dalam naratif ini pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukkan apa sahaja demi melindungi nyawa anaknya hatta biar nyawanya sendiri jadi taruhan dan pengorbanan seorang abang yang tega melepaskan masa remaja demi masa depan satu-satunya adik kandung diolah dengan baik oleh penulis demi membangkitkan perasaan sayu pada pembaca didalam menghayati tema yang dibentangkan beliau ini. Selain itu turut diselitkan sub tema gabungan unsur kasih-sayang, kekeluargaan selain menghidangkan perihal dendam , ketamakan manusia , jenayah, pembunuhan malah turut menyentuh sedikit persoalan agama dan konsepnya didalam sesuatu isu; bunuh diri dan menggugurkan kandungan. Banyak juga istilah perubatan berhubungan perihal jantung dibawakan penulis didalam naskhah ini.
9 Nyawa membawa pembaca kepada seorang Intan Suryani; gadis cantik yang mengidap sakit jantung yang amat kronik dan memerlukan pemindah jantung sebagai jalan akhir untuk menyelamatkan nyawanya. Sedari kecil dia kerap diserang ancaman maut kesan penyakit ini namun tiap kali itu jugalah dia berjaya melepasinya walau dengan susah payah. Keadaan diri Intan ini menyebabkan ibunya, Azizah mengaitkan dirinya dengan mitos 9 nyawa kucing apatah lagi binatang itu kerap muncul dalam hidup Intan sejak dari ancaman pertama dan begitu disayangi Intan. Pembaca juga dibawakan dengan kisah perjalanan hidup getir Hakim yang miskin namun kental meneruskan hidup biarpun didalam keadaan diri yang tidak sempurna. Semuanya demi sebuah amanah. Tatkala hidup Intan didatangi Khairil, khuatir Azizah kian memuncak. Tidak mahu kejadian silam menimpa anaknya namun kedegilan Intan mencabar Azizah. Atas nasihat teman akrab arwah suaminya, Dr David Azizah merestui perhubungan tersebut. Intan yang tulus berjaya dikaburi oleh sinaran pasir yang disangka permata. Sudahnya dirinya terhumban diambang maut..antara hidup dan mati, rohnya merayau-rayau meminta pertolongan dan ketika itulah dia pertemukan dengan Hakim. Dan pertemuan dialam paranormal itu juga akhirnya menyingkap sejarah tragis antara kedua-dua mereka ketika kecil dahulu.
Sebagai sebuah naratif yang dibina bukan secara linear kerana perletakan latar cerita yang membabitkan lebih dari dua lokasi penceritaan tanpa penumpuan yang khusus, terlepas tanda-tanda atau clue pembaca pasti akan hilang pertalian naratif yang membina kisah ini. Namun begitu, penulis bagi saya banyak memberi “papan tanda” agar pembaca tidak tersesat jalan, sama ada dalam dialog mahupun penceritaan. Pengolahan cerita yang mantap, tidak meleret-leret menjadi perjalanan cerita lancar dan lebih berkesan. Pergerakkan plot yang pantas, ditambah dengan sisipan elemen suspen begitu mendebarkan dan mengujakan pembaca. Ternyata penulis bijak memaku pembaca untuk tidak berganjak hingga ke noktah terakhir naskhah beliau ini.
Perwatakan dua tunjang utama kisah ini dibina dengan cukup baik dan berkesan. Intan Suryani, anak tunggal yang baik & tulus hatinya, pewaris empayar perniagaan berlian keluarganya, gadis lewat 20an yang mengidap sakit jantung kronik sejak kecil, cubaan dibunuh oleh ayahnya tika kecil menjadi trauma yang menghantui diri hingga dewasa malah disebabkan itu juga dia cukup dikawal rapi oleh ibunya. Watak Intan dibentuk dengan baik oleh penulis hingga berjaya menimbulkan kasihan pembaca pada nasib dirinya. Tersepit antara kasih sayang & hormat pada ibu berbanding kehendak diri sendiri yang juga ingin merasai sedikit ruang kebebasan membuatkan pembaca seakan boleh merasakan pergolakan jiwa Intan didalam menghadapi situasi tersebut. Hakim sangat mendamaikan. Wataknya cukup sejuk dimata, menenangkan jiwa. Perwatakan Hakim yang dianugerahkan kelebihan yang membolehkan dia mendengar dan berkomunikasi di alam paranormal direalisasikan penulis dengan begitu berhati-hati namun cukup mengesankan. Perwatakan pemuda istimewa ini cantik dilayarkan penulis. Pergolakan jiwa tatkala Hakim didatangi suara-suara dari insan-insan yang bergelut dengan maut dilukiskan dengan cukup baik oleh penulis. Perwatakan Khairil sangat memikat. Antagonisnya berjaya disembunyikan dengan cantik sekali. Perwatakan pembantu Azizah juga Dr David @ Daud yang saling melengkapi tambah mencantikkan naskhah ini.
Keseluruhan, cerita ini memperlihatkan penghasilan yang baik dari aspek penceritaan, plot, perwatakan, dengan selitan mesej yang sarat buat renungan pembaca. Walaupun naskhah ini berdiri atas landasan sebuah kisah triller, penghasilannya penuh nilai kemanusian untuk sama-sama diteladani pembaca.
Buat penulis, tahniah atas kelahiran naskhah terbaru ini. Bagi peminat penulis ini pastikan anda tidak terlepas peluang menghayati sebuah lagi perjalanan triller ciptaan beliau yang sungguh mengujakan minda. Tidak sabar menunggu kedatangan Cinta Sufi anda pula selepas ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment