Tajuk Buku : Samudera Indah Nian
Penulis : Mazni Darwisya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 4
--------------------------------------------------------
“…dalam hidup ini kadang-kadang kita hilang benda yang kita miliki dan kadang-kadang kita perlu tinggalkan apa yang kita miliki…”
Resensi Si Ungu,
Kata orang lautan dalam mampu diselam, namun hati orang sukar sekali diselami isinya dan kata-kata ini bagaikan cukup kena dengan kisah yang baru selesai saya baca ini. Percubaan pertama dari seorang penulis baru yang saya kira cukup baik dan dengan bimbingan yang betul dan berterusan beliau mampu untuk berdiri cemerlang di persada penulisan kreatif ini.
Mengambil sempena latar belakang pangkalan TLDM di perairan Lumut sebagai latar utama cerita, naratif Samudera Indah Nian(SIN) ini membawa pembaca mengikuti sebuah kehidupan yang berpaksikan kisah perkahwinan aturan ibu bapa. Tema yang mungkin begitu klise sifatnya dimata para pembaca namun saya kira setiap yang sama akan ada perbezaannya jika penulis bijak meneroka ceritanya dari sisi yang berbeza dan jurang itu akan dapat dilebarkan dengan teknik pengolahan cerita yang menarik, segar dan mampu menggamit pembaca untuk setia hingga ke hujung cerita dan saya kira penulis berjaya melaksanakan tugas ini dengan baik. Penilaian anda mungkin berbeza dari saya. Itu sememangnya tidak boleh dielakkan kerana naratif sesebuah kisah boleh mengundang pelbagai reaksi yang subjektif sifatnya.
Struktur plot SIN bertiangkan struktur kronologi yang dominan dan ia membantu perjalanan naratif dengan begitu baik dan melancarkan persembahan cerita dari mula hingga ke akhirnya. Gaya bahasa yang digunakan sederhana sifatnya, tidak keterlaluan dan walau tanpa sokongan elemen-elemen yang estetik SIN tetap mampu berdiri dengan baik di mata pembaca. Saya kira beberapa pengulangan frasa yang sama boleh diganti dengan ayat yang mengandungi makna yang seerti dan ia mungkin akan lebih mengindahkan naratif ini. Latar yang mengadaptasi keseluruhan pangkalan TLDM sebagai medan naratif saya kira sangat cemerlang dipenakan penulis. Pembaca mendapat begitu banyak informasi tentang kehidupan para anggota TLDM dan persekitaran tugas mereka.
SIN membawa kisah sebuah perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Yasmin Nur Raihan seorang jurutera muda dan Leftenan Komander Amru Iskandar seorang pegawai TLDM tidak pernah mengenali satu sama lain. Masing-masing punya sejarah tragis kisah cinta masing-masing. Implikasi kisah itu ke atas mereka digambarkan berbeza dan atas kerelaan dan patuh pada orang tua mereka diijabkabulkan. Yasmin adalah menantu pilihan kerana ibubapa Amru Iskandar begitu berkenankan Yasmin yang lengkap pakej diri. Yasmin cuba menerima dengan redha sayangnya Amru sedikit gopoh dan ego lalu ayat-ayat sinis yang dilemparkan pada Yasmin di malam perkahwinan mereka begitu mencarik hati Yasmin. Lalu hiduplah mereka dengan haluan masing-masing tanpa terikat dengan lafaz suci yang sudah dibuat. Perjanjian yang digariskan Amru dalam perkahwinan mereka akhirnya menjerat diri. Sudahnya diri sendiri yang terperangkap dengan gelora rasa. Amru akhirnya jatuh cinta ketika Yasmin menghabiskan cutinya di rumah Amru di Lumut. Pemergian Yasmin ke Jepun tambah merunsingkan Amru lalu tekadnya mahu berterus terang pada Yasmin bila isterinya itu pulang ke tanahair. Malangnya Amru ditimpa musibah yang begitu mengguris hati Yasmin.
Perwatakan utama SIN cemerlang dibangunkan penulis. Watak-watak yang dicipta disuntik dengan penuh sifat emosi, penuh jiwa dan digerakkan dengan penuh rasa keemosian seorang manusia. Kecemerlangan watak utama yang menjadi nadi naratif ini; Yasmin Nur Raihan dibina dengan kekuatan perwatakan yang sangat perlu bagi memastikan ia berjaya mencorakkan perjalanan cerita secara total. Perwatakan dan sifat watak Yasmin cukup bervariasi dilayarkan penulis. Dia wanita dan isteri yang diisi dengan sifat kewanitaan yang mengagumkan. Dan sebagai wanita emosinya dipersembahkan dengan cukup cantik sekali. Perwatakan Amru Iskandar dipotretkan penulis sebagai lelaki muda yang mempunyai perwatakan yang cemerlang secara zahir namun manusia walau sehebat manapun dirinya kadangkala tidak dapat lari dari tolakan emosi . Amru tidak terkecuali dan emosi Amru dizahirkan dengan baik. Antagonis Maya kurang memikat mata saya. Kelam wataknya agak terbatas.
Dalam hidup kita sebagai manusia akan banyak frasa perubahan yang perlu kita lalui dan setiap perubahan itu menuntut penghijrahan yang pastinya terselit hikmah yang tidak terhitung nilainya. Mesej ini saya kira adalah kupasan yang cuba dibaca penulis didalam karya sulung beliau ini dan sebagai pembaca kita sama-sama mengutip teladan yang tersirat disebaliknya.
Buat Mazni Darwisya, tahniah dari saya. Semoga terus cemerlang berkarya di masa hadapan.
kucc, elemen-elemen estetik tu benda apa? *garu pala*
ReplyDeleteestetik ker estet ker tak kisah la... yg penting citer ni best. haha.
rinn - pemahaman org mungkin berbeza. Bagi aku estetik/estetika ini merujuk pada komposisi dan karektor bahasa yg digunapakai yg boleh menimbulkan kesan indah pada sesebuah karya..
ReplyDelete