Blogger Templates

Wednesday, January 27, 2010

CinTa aDaLah CinTa...


Tajuk : Cinta Adalah Cinta
Penulis : Sarnia Yahya
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Harga : RM23.90
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4


-----------------------------------------------------------------
“...dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan..”


Resensi Si Ungu :

Ini adalah karya ketiga penulis yang baru selesai saya baca. Menyusuri naskhah Cinta adalah Cinta (CAC) sering mengingatkan saya pada perwatakan penulis lewat pertemuan dengannya tahun lalu. Diri beliau yang ceria dengan telatah yang bersahaja sangat dekat dengan naratif yang dibentangkannya kali ini. CAC amat dekat di hati para peminat novelis muda ini. Saya seronok melayari gaya penulisan beliau kali ini yang saya rasakan begitu segar, santai namun mengujakan di samping sulaman elemen-elemen romantik nan cantik dan tidak lupa menyelitkan mesej nilai hubungan kekeluargaan yang cukup bermakna untuk dihayati khalayak pembaca.

CAC membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang balu muda ; Aina Mastura, seorang penolong pengurus yang punya seorang anak berusia 3 tahun; Hadirah. Aina yang kematian suami akibat kemalangan tatkala mengandungkan Hadirah terpaksa menempuh kehidupan sebagai balu didalam usia yang begitu muda. Aina yang rupawan tapi tegas, ceria, penyayang, prihatin sangat dikasihi orang disekeliling tidak kira kalangan keluarga juga rakan sekerja. Didalam masa yang sama Aina turut menjadi tarikan 2 orang lelaki yang ingin merebut hatinya; Lutfi Danish bekas birasnya juga Syed Harith pengurus besar di pejabat Aina. Mereka berdua bagai saling berperang untuk memikat Aina dan ia sungguh merimaskan Aina yang langsung tidak mahu memberikan sebarang respon pada kedua-dua lelaki ini. Didalam masa yang sama Aina juga terpaksa menangkis godaan ketuanya; Adlan yang tidak jemu-jemu cuba merapatinya. Aina yang masih terikat hatinya pada arwah suami cuba menidakkan perasaannya namun bila Syed Harith mula menyepi lalu meninggalkannya, dia mula merasakan sesuatu yang hilang didalam kehidupannya.

Naratif penulis kali ini membawa tema cinta dan kasih sayang yang sarat dengan mesej tersirat Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh elemen kasih sayang yang tidak terbatas sempadannya. Tidak hanya mencakupi kasih sayang antara lelaki dan perempuan tapi yang lebih uatama adalah kasih sayang antara ahli keluarga dan bagaimana keakraban hubungan itu dipertotntonkan penulis dengan cantik sekali. Penulis menggarap begitu indah rantaian hubungan istimewa ini sehinggakan kita cukup tersentuh dan merasai tiap detik yang dilalui watak-watak dalam cerita ini. Paling istimewa, paling menyentuh tatkala Aina yang disisih bekas ibu mertuanya sejak kematian suami tidak jemu-jemu mengunjungi wanita tersebut atas dasar hormat dan tanggungjawab biarpun diarinya hanyalah bekas menantu. .Setiap yang berlaku ada hikmah dan peluang kedua yang dibentangkan dihadapan tentu juga ada sebabnya. Inilah saya kira mesej utama penulis didalam naratif beliau kali ini.

Plot cerita berjajaran kronologi secara keseluruhan dan ia disempurnakan dengan begitu baik oleh penulis. Biarpun ada dalam situasi tertentu penggunaan teknik imbas kembali/ flashback digunakan, ia bersesuaian dengan motif penyampaian jalan cerita agar lebih mudah difahami dan diikuti oleh pembaca. Teknik suntingan juga digarap sebaiknya. Ada terdapat kesilapan minor yang melibatkan ejaan juga nama watak pada dialog yang disebut. Moga editor akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Penggunaan laras bahasa didalam naratif ini cukup santai, bahasanya bahasa mudah tiada penggunaan istilah-istilah yang keterlaluan atau memualkan deria telinga.

Perwatakan yang dibina penulis dalam CAC menampilkan heroin sebagai watak dominan/ sebagai peneraju utama. Dan sebagai wanita ternyata penulis mampu memberi persembahan yang cukup baik pada watak Aina. Setiap emosi seorang wanita diselami dan dizahirkan dengan cukup baik oleh penulis. Setiap rentetan perjalanan watak Aina dimanipulasilkan penulis sebaiknya lalu Aina menjadi cukup berkesan dimata pembaca. Setiap perubahan karektornya begitu cantik dilayarkan penulis. Syed Harith; hero bermata hijau ini begitu memukau . Pemotretan wataknya dibina dengan sebaiknya oleh penulis. Memang bukan mudah bagi penulis wanita menyelami perwatakan seorang lelaki seperti Syed Harith namun saya merasakan penulis sudah melakukannya sebaik mungkin. Rasa cemburu dan jauh hati seorang lelaki dizahirkan sebaiknya oleh penulis.Teruk jugak lelaki kala merajuk rupanya ya! Lutfi Danish watak pembantu yang hadir seketika tapi saya kira kemunculannya cukup memberikan kesan. Hadirah yang comel, puan Hajar , encik Ayub, puan Raihan, encik Hafizuddin; ibubapa yang begitu mendamaikan mata dan telinga. Tidak ketinggalan Husnina, Kamarul juga Wati . Mereka ini adalah watak sokongan yang memberikan warna-warni pada naskhah ini.

Buat penulis muda dan berbakat besar ini, tahniah buat anda untuk Cinta Adalah Cinta. Semoga anda akan terus cemerlang berkarya dipersada seni penulisan kreatif tanahair dan terus gigih memenakan catatan kisah-kisah buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda.

No comments:

Post a Comment