Blogger Templates

Monday, January 4, 2010

MencaRi LoCus StanDi...


TAJUK: MENCARI LOCUS STANDI
PENULIS : NISAH HARON
PENERBIT : UTUSAN PUCLICATION & DISTRIBUTION SDN BHD
CETAKAN KEDUA : 2006
HARGA : RM17.00
GENRE : NOVEL REMAJA
BINTANG : 4.5


-------------------------------------------------------

“Duhai hati, tegaplah menunjang semangat..
Duhai iman, tetaplah menampung perasaan..
Perjuangan ini masih jauh perjalanannya..
Dugaan ini memang getir..
Namun ini bukan lapis sedih paling akhir…”

Resensi Si Ungu:

Mencari Locus Standi (MLS); naskhah ini merupakan sekuel kepada Lentera Mustika yang baru-baru ini saya sudahi bacaannya. Ternyata, novel ini juga tidak kurang hebat memukau diri saya untuk terus terpaku menyudahkannya. Banyak perkara yang bersangkutan isu guaman yang dapat saya pelajari dari naskhah kecil berdurasi 246 halaman ini dan ia merupakan satu perjalanan yang cukup menarik, suatu kelainan sesi bacaan yang saya kira begitu mengujakan sekali. Yang menarik MLS memaparkan kegigihan dan semangat seorang wanita didalam mengharungi cabaran, dugaan dan kemelut kehidupan tanpa rasa gentar.

“undang-undang adalah keutuhan masyarakat dan juga suatu medium pertukaran yang penting..” Kata-kata ini saya petik dari coretan penulis dalam naskhah beliau ini. Inilah intipati utama yang diangkat penulis didalam mengenengahkan persoalan isu undang-undang dan perundangan yang membabitkan perihal sivil, syariah juga adat. Ia mungkin dirasakan berat, kompleks dan mencabar minda namun kebijaksanaan penulis mengkreatifkan corak persembahan isu ini menjadikan ia bukan sahaja menarik malah cukup seronok dihayati. Kepatuhan kepada undang-undang adalah wajib dan perlu demi keharmonian kehidupan dan mencegah diri dari terjerumus kepada gaung ketamakan, dengki, dendam, rakus yang akhirnya akan hanya membawa padah dan kerugian . Hanya mereka yang tegar mendepangi dugaan dengan semangat waja, cekal, berani dan sentiasa tawakal yang akan berjaya. Inilah mesej yang saya kira dapat disimpulkan dari MLS.

MLS membawa pembaca mengenali seorang E-Jay a.k.a Eliza Jasmin yang merupakan seorang pelajar pintar jurusan undang-undang di UKM. E-Jay adalah anak angkat seorang peguam terkenal bernama Emir Johan. Dia yang sudah dimaklumkan statusnya sejak dahulu oleh bapa angkatnya itu dapat menerimanya dengan baik dan biarpun sekadar bergelar r anak angkat, kehidupannya sejak dahulu amat bahagia bersama Emir Johan dan ibu tirinya yang dipanggil Ibu Mustika a.k.a Dr Ainur Mustika yang merupakan seorang Professor Madya di UKM. Didalam mengharungi cabaran bergelar pelajar yang tidak dapat lari dari dirundung pelbagai masalah dan konflik namun dengan kebijaksanaan E-Jay berupaya mengatasinya dengan sebaik mungkin. Pemergiaan ayah angkatnya mengadap ilahi akibat kanser adalah titik tolak kepada bermulanya saat getir didalam hidupnya. Wasiat arwah ayah angkatnya yang memberikan haknya didalam firma guaman Emir Johan & Co kepada E-Jay ditentang hebat dua abang dan adik Emir Johan; Dzulkarnain dan Sharafuddin. Dakwaan mereka yang mengatakan modal menubuhkan firma itu datangnya dari mereka dan kerana itulah mereka yang lebih berhak dari E-Jay. Kemalangan yang menimpa ibu Mustika yang lebih cenderung kepada cubaan membunuhnya cukup menakutkan namun sokongan padu daripada ibu Mustika juga Amirul Farid yang juga rakan kongsi didalam Emir Johan berjaya menyakinkan E-Jay untuk terus mempertahankan haknya dari dirampas sewenang-wenangnya. Setiap kejadian ada hikmahnya dan setiap perlakuan keji lagi mungkar pasti ada balasannya.

Penggarapan watak E-Jay selaku peneraju utama dalam naratif ini dijayakan dengan cukup cemerlang sekali. E-Jay yang pintar, tegas, berani dan agak lantang bersuara . Dirinya juga disebut sebagai tidak berperasaan gara-gara sikapnya yang satu itu. Perwatakan E-Jay cukup dinamik digambarkan dengan begitu baik sekali didalam naratif ini. Selain kepintaran didalan bidang akademik yang sukar dinafikan kawan dan lawan hingga dia menjadi rebutan rakan-rakan sejurusan untuk dijadikan teman sepasukan. Kehebatnya didalam mengharungi cabaran kehidupan juga terserlah. Kesungguhannya mempertahankan haknya didalam perwarisan harta pusaka cukup cemerlang ditonjolkan penulis disamping bakat seninya yang terserlah didalam penulisan skrip drama; Istimewa Dari Cenma Detara hingga mengangkat dirinya dengan anugerah skrip terbaik. Kesungguhannya menjejak asal-usul dirinya yang tidak sempat diceritakan oleh ayah angkatnya memperlihatkan keperibadian dan kekuatan semangat yang wajar dijadikan contoh terutama kepada golongan muda. Azhan Harith rakan sekuliah juga teman akrab E-Jay memberikan contoh semangat sejati seorang sahabat yang sentiasa teguh memberi sokongan disaat suka dan duka. Dr Ainur Mustika biarpun cuma seketika penampilannya namun cukup memberangsangkan. Perwatakannya sebagai ibu tiri yang cukup memahami, isteri yang bersemangat mempertahankan harta pusaka arwah suami dari dirampas oleh abang-adik ipar yang haloba dilayarkan dengan cukup berkesan. Wardah Aniss sahabat yang menjadi lambang bagaimana emosi adakala bisa menjerumuskan manusia ke lembah kegagalan. Semangat setiakawan, tulus dan ikhlas dalam persahabatan dilayarkan dengan cukup baik menerusi penciptaaan konflik antara watak E-Jay dan Wardah yang akhirnya diselesaikan dengan situasi menang-menang bagi kedua-duanya.Pengolahan plot yang bersifat jajaran kronologi dengan sisipan elemen flashback dibeberapa situasi ditangani dengan cukup berhati-hati tapi cukup cemerlang persembahannya bagi memudahkan pembaca mengikuti episod demi episod naratif ini tanpa sebarang gangguan. Gaya bahasa yang bersesuaian dengan dengan naratif dibentangkan menjadikan naskhah ini cukup baik nilai seninya. Kemunculan istilah-istilah perundangan yang dilayarkan menerusi kehidupan para mahasiswa dan mahasiswi jurusan perundangan sangat relevan dengan kisah yang dibentangkan penulis. Sisipan glosori penulis menambah pembendaharaan pembaca didalam memahami istilah yang ditampilkan. Keindahan perbilangan adat didalam adat perpatih dilayarkan dengan gaya yang cukup cantik namun bersesuaian dengan matlamat cerita.

Perihal undang-undang perwarisan islam yang membabitkan persoalan wasiat, harta pusaka, harta sepencarian, sistem faraid dibahaskan dan diketengahkan dengan cukup halus dan berseni sekali, begitu juga persoalan harta intelektual yang membabitkan isu palagiat yang dikupas menerusi segmen drama pentas yang dihasilkan E-Jay dan penulis ternyata mempergunakan sepenuhnya pengalaman dunia kepeguamannnya demi melayarkan isu ini kepada pembaca.

Tahniah buat penulis diatas persembahan sebuah kisah masyarakat yang begitu mengujakan dan hebat ini. Buat pembaca sesungguhnya Mencari Locus Standi membuktikan dengan kreativiti isu-isu berat seperti guaman mampu ditampilkan dengan dengan gaya cukup menarik, mengujakan dan segar malahan ia turut memberikan manafaat ilmu yang bukan sedikit buat anda jika membacanya.

1 comment:

  1. Hi, I'm using your contents for my assignments if you don't mind :) thank you for such a detailed criticism !

    ReplyDelete