Blogger Templates

Monday, March 30, 2009

SaKti CinTa...


TAJUK BUKU : SAKTI CINTA
PENULIS : ANITA ARUSZI
PENERBIT : iBOOK PUBLICATIONS
HARGA : RM23.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : DRAMA & MISTERI.
BINTANG : 4
-------------------------------------------------------
Terbang burung di waktu senja,
Berlegar-legar di langit mega,
Ingin sekali hati bertanya,
Dimanakah saktinya cinta?...”

Resensi Si Ungu:

Buku ini sedari awal sudah mencuri perhatian ramai pengikut setia penulis berbakat ini.. Saya perlu menunggu hampir 11 purnama sebelum saya mampu melihatnya berada di depan mata, memegangnya lalu mendakapnya ke dada….hmm, namun penantian saya itu saya rasakan cukup berbaloi. Buku ini mencuri hati saya dari sudut persembahannya yang penuh persoalan . Ia sebuah naskhah yang memberikan satu perspektif corak pembacaan yang sedikit berlainan rentaknya berbanding 2 naskhah terdahulu penulis ini; Dedalu Di Hati dan Bunga Syurga.

Sakti Cinta (Sakti Cinta) membawa tema kasih sayang yang mendasari keseluruhan perjalanan naratif naskhah ini. Kasih sayang yang hilang antara sang ibu dan anak adalah sub tema kepada tema utama yang difokuskan penulis yakni kasih sayang yang tersembunyi antara seorang abang pada adik angkatnya yang dirasakan secara amnya bukanlah tema yang asing dalam penulisan kreatif tanahair namun ditangan Anita Aruszi tema ini diperhalusi dengan cukup baik agar nampak segar dimata pembaca juga sangat dekat dengan hati nurani kita.

SC membawa pembaca kepada kisah 2 insan, Dina Azura dan Diazey Hafizi yang dibesarkan dengan dimomokkan dengan pertalian adik beradik oleh kedua ibu bapa mereka walau hakikat mereka tiada pertalian darah. Si abang yang awal-awal sudah mengetahui rahsia itu mula menyukai "adiknya" secara diam-diam dan kerna terbelenggu dengan bebanan perasaan itu dia mula menjauhi Dina, bertindak kasar dan sedikit keterlaluan padanya dan hingga pada kemuncaknya dia cuba mencabul kehormatan adiknya itu kerana keliru dengan dirinya sendiri. Rasa malu dan bersalah itu membawa dirinya jauh dari Dina dan keluarga. Dina yang tercari-cari silap dirinya dibiarkan terkapai-kapai mencari jawapan. Dina tanpa diduga juga didatangi rasa aneh yang sama dirasai abangnya itu. 10 tahun menghilang, Diazey pulang dan tindakannya menghindarkan diri dari Dina kerana peristiwa hitam dulu membawa padah pada diri sendiri. Perasaan itu makin kuat, namun dia gagal meluahkan misteri diri Dina yang sebenarnya. Dia takut akan kehilangan Dina buat selama-lamanya jika ia terbongkar. Dia bimbang Dina tidak dapat menerima tamparan hebat itu nanti andai rahsia yang disimpan erat oleh mereka bertiga selama 15 tahun terlerai. Kita percaya Tuhan itu maha kaya. Pertemuan Dina dengan Alma Katherine yang sudah sedari pandang pertama jatuh sayang padanya adalah titik tolak yang merungkai misteri diri Dina yang sebenarnya.

Dina Azura, Diazey Hafizi adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah SC ini. Saya cukup tertarik dan jatuh hati dengan perwatakan Diazey yang cukup misteri, cukup bersahaja, namun penuh berkarisma biarpun yang menjadi misteri latar belakangnya adalah watak Dina. Perwatakan 2 tonggak utama ini dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Saya sukakan watak Zurainissa & Alma Katherine yang saya rasakan adalah watak-watak pembantu yang begitu menguatkan jalan cerita juga persembahan naratif SC ini. Antagonis Hisyam Amar dan Marini kurang menyerlah sedikit. Saya rasakan mungkin penulis hanya mahu memfokus kepada watak putih sahaja. Natijah yang ditimpa pada kedua-dua watak hitam ini di penghujung cerita adalah penamat watak mereka.

Plot cerita dibina tidak berorientasikan jajaran kronologi dan setiap imej imbasan kembali yang disingkap, ia disampaikan dengan cukup kemas, berhati-hati tanpa sedikitpun menghilangkan tumpuan pembacaan. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna SC. Penggunaan laras bahasanya juga mudah , tiada penggunaan unsur-unsur estetika yang berat untuk dihadam pembaca.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Sakti Cinta. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan. Saya menunggu kehadiran 2 naskhah anda; Hujan Rindu dan Rembulan Berdarah yang juga sudah mencuri hati saya awal-awal lagi...hehe

Bunga mawar bunga kenanga,
Bunga melur beraneka warna,
Jika mahu tahu Saktinya Cinta,
lekas-lekas beli naskhahnya.....

Selamat mencari dan semoga bertemu Sakti Cinta.

Wednesday, March 25, 2009

Geng...Pengembaraan Bermula






Upin & Ipin memang rancangan paberet aku...biarpun ia cuma sebuah rancangan animasi kanak-kanak yang berdurasi 5 minit untuk tiap episod pada mula-mula ia tersiarkan dulu di TV9, kesannya cukup besar...ia banyak mendidik penonton menerusi mesej-mesej positif yang disampaikan pada setiap episod terutama pada kanak-kanak...Anak saudara aku yang kecil ini; baby cukup hafal tiap dialog terutama pada episod-episod kegemarannya...
Bila Upin & Ipin masuk panggung...aku teruja sangat untuk menonton. Punyalah terujanya aku, baby dan iwan (anak abang aku) sampai siap awal-awal lagi dah membeli T-shirt Geng untuk dipakai masa menonton nanti...hehehehe
Apa-apapun...filem ini bagus. Memang bagus...bukan macam filem animasi-animasi tempatan yang sebelumnya dan pengaruh Upin & Ipin cukup kuat untuk menarik jutaan penonton untuk ramai-ramai memberi sokongan pada filem ini. Walau ada sedikit sebanyak kekurangan, ia masih sebuah filem yang sangat membanggakan bagi aku...

Memori...Hari Sukan 2008 Tadika Sinar Bestari





Aku dulu takder peluang masuk dan belajar di tabika @ tadika...maklumlah masa zaman aku kecik-kecik dulu, kami susah..arwah abah sorang aja yang keja...kami duduk kat kawasan setinggan aje jadi memang takder kemudahan tadika bagai. Bila zaman adik-adik aku, barulah tegak sebuah tadika kemas kat kawasan tu, tapi jauh jugak dari rumah aku....dalam 3km ada jaraknya, tapi mak aku masukkan jugak 2 adik kat situ...dan mak akulah selalu hantar adik aku ke tadika tu. Kadang-kadang aku atau abang kena gi jemput dia orang balik...mak aku tak bagi dia balik ikut kawan-kawan takut adik aku singgah sama kat sungai lak sebab nak ke tadika tu kena tempuh sebatang anak sungai yang memang sinonim namanya dengan bandaraya Kuala Lumpur.
Tadika Kemas masa zaman tu lebih bercorak "makan-makan", tak banyak aktiviti macam sekarang...mana ada hari sukan ka, konsert ka, peksa ka....Tadika sekarang, punya la canggih....macam-macam ada... tapi aku tumpang seronok bila tengok anak saudara aku yang satu ini gembira menghabiskan zaman tadikanya dengan segala kenangan manis...hari sukan ini umpamanya. Memori indah ini akan kekal terpahat dalam dirinya sampai bila-bila.

Sunday, March 22, 2009

PerSinggaHan...



TAJUK: PERSINGGAHAN
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 2003
HARGA : RM15.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4


------------------------------------------------------------------

“…Guru itu sangat mulia kedudukannya, sentiasa dikenang orang sepanjang zaman...”

Resensi Si Ungu:

Jarang kita menemui penulis lelaki yang mempunyai gaya penulisan yang cukup indah susunan dan lengguk bahasanya, lengkap dengan metafora dan personifikasi yang sangat cantik dipersembahkan buat tatapan mata dan minda pembaca. Skill yang selalunya didominasi oleh penulis wanita namun bila ianya mendapat sentuhan seorang penulis lelaki, maka pembaca akan mendapat suatu kelainan tatkala menatap naskhah tersebut. Inilah rasa yang saya perolehi tatkala pertama kali menatap buah tangan penulis ini…sangat mengasyikkan sekali biarpun ia bukanlah sebuah kisah cinta yang asyik masyuk!. Sesungguhnya dalam naskhah cuma setebal 255 halaman ini terlalu banyak mesej kehidupan yang diselitkan penulis buat renungan para pembaca.

Melihat pada tema cerita yang mengenengahkan persoalan tentang sikap & pandangan terhadap kerjaya guru di sekolah agama di kampung yang tidak begitu mendapat sambutan di kalangan belia dan beliawanis dewasa ini. Ternyata naskhah ini membawa satu intepritasi yang cukup berkesan tentang tugas dan tanggungjawab guru itu sendiri dan bukannya hanya guru yang mengharapkan gaji yang tinggi dan kemudahan-kemudahan lain tanpa memahami falsafah disebalik tugas nan mulia ini. Dan kerana itu jugalah sewajarnya guru mendapat sanjungan atas budi dan jasa yang ditabur. Tanpa jasa dan, tunjuk ajar guru, siapalah kita. Naskhah ini mengangkat martabat seorang guru dari kacamata penulis dan diterjemahkan dengan cukup berkesan menerusi naratifnya yang cukup berseni.

Persinggahan membawa pembaca menyusuri tentang kisah seorang guru bahasa inggeris di sebuah sekolah agama rakyat di sebuah kampung yang agak terpencil yang pada asalnya tidak pernah berniat atau bercita-cita menjadi guru namun keadaan dirinya yang memaksa dia menerima tugas itu. Oslan Ahmad Zainal lulusan STP yang kecewa dengan situasi dirinya yang gagal memperolehi pekerjaan juga tempat di maktab perguruan biarpun sudah banyak permohonan dihantar. Kegagalan tersebut sedikit sebanyak mengendurkan semangat juang anak muda ini. Tawaran dari datuk saudaranya, lebai Dalib untuk menjadi guru bahasa inggeris di Sekolah Agama Rakyat di kampung Becah Samun yang agak terpencil dengan gaji RM700 tidak langsung memikat hatinya kerana Oslan merasakan dia tidak berupaya untuk memikul tanggungjawab tersebut lebih-lebih lagi dia tidak pernah bercita-cita kearah itu namun atas nasihat emaknya, Oslan menerima tawaran tersebut dengan berat hati. Sememangnya tugas guru bukan mudah. Pelbagai karenah, masalah yang terpaksa dihadapi Oslan. Masalah murid-murid, rakan sekerja yang tidak sebulu dengannya, jiran-jiran sekampung yang tidak mesra dan berpandangan serong terhadap orang luar seperti dirinya. Semangat Oslan banyak diperolehi dari dorongan bapa saudaranya yang juga tenaga pengajar di sekolah itu juga pengetua/mudir; ustaz Mansur. Hasilnya cukup menakjubkan…namun kata orang, hidup ini sentiasa ada onak dan ranjaunya. Dia dicemburui manusia-manusia yang dengki pada dirinya. Fitnah sentiasa ditabur padanya, namun kesabarannya sampai ke kemuncaknya tatkala dia difitnah mencerobohi ke bilik Leha, seorang balu muda yang juga jirannya. Tekadnya dibulatkan untuk meletak jawatan kerana merasakan di kampong itu bukan tempat untuk dia berbakti dan perhitungan terakhir di gelanggang silat dengan awang sahak yang sudah awal-awal diputuskan oleh musuh-musuhnya tanpa diduga telah menjadi titik tolak yang merungkai sebuah sejarah. Sejarah yang cukup manis buat Oslan.

Perwatakan dalam Persinggahan begitu fokus. Oslan menguasai keseluruhan naratif ini dengan dibantu dengan cukup baik oleh watak-watak sampingan yang lain seperti ustaz Mansur, pendekar Saleh, lebai Dalib, nenek Odah, mak, Leha, Wan Derauf, Maimun, Sopiah, ustaz Karim, Jalil, pak uda Meon juga tidak ketinggalan Salikun, Matakib dan Amirudin. Sebagai peneraju utama watak Oslan ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami biarpun cukup indah larasnya bagai mencantikkan lagi naskhah ini.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk novel ketiga anda ini. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang hebat ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.Teruskan usaha, semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Persinggahan bukanlah sekadar sebuah naskhah, sebuah kisah yang hanya akan singgah di mata anda tetapi akan bersemadi kekal di minda anda.

Wednesday, March 18, 2009

CinTa SeJaTi...


TAJUK BUKU : CINTA SEJATI
PENULIS : AZRA ARYRIESA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
BINTANG : 4

---------------------------------------------------------

“ cinta sejati adalah cinta yang hanya hadir sekali seumur hidup. Cinta sejati itu datang dari hati yang ikhlas dan suci. Ianya lahir tanpa dipaksa-paksa. Dan cinta itu akan kekal utuh selama-lamanya biar apa jua yang berlaku…”

Resensi Si Ungu

Saya melihat Cinta Sejati (CS) sebagai sebuah persembahan yang cukup baik dari seorang penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup berseni, beliau mencoretkan falsafah cinta dari sudut pandangan peribadinya yang kemudian diterjemahkan menerusi watak-watak yang dicipta dalam naskhah sulungnya ini.

Tema cinta sudah acapkali kita temui dan bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya CS di tangan Azra Aryriesa adalah cara penulis ini melontarkan ideanya dengan kaedah persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan laras bahasa yang indah dan estetika sekali lenggoknya yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Latar cerita yang menggunakan 2 lokasi sebagai latar cerita nampak sangat menarik. Dubai dan Melaka menjadi perantaraan penulis mencoretkan kisah manusia-manusia yang terperangkap dengan perasaan yang gagal diluah kesan dari pengalaman silam, tekanan sekeliling juga pengaruh dalaman diri mereka sendiri yang menjejaskan kemampuan untuk membuat keputusan.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Dr. Zarif, Zara, Tengku Yashmaan, Mia Maisarah, adalah penggerak utama CS dan watak mereka sangat berjaya persembahkan sang penulis ini. 4 wajah, 4 kisah yang berbeza tapi terkait antara satu sama lain. Tidak ketinggalan Intan, Iskandar juga Laila dan Anas yang membantu mewarnai lagi catatan falsafah cinta dalam naratif sang penulis ini. Zarif dan Zara pasangan suami isteri yang berkahwin atas permintaan keluarga demi keeratan hubungan dua keluarga. Ketidakpastian tentang perasaan masing-masing kerana tidak merasakan wujud rasa cinta antara mereka mendorong mereka membuat perjanjian berpisah demi memahami perasaan terhadap satu sama lain. Yashmaan yang dihimpit rasa kesal dan bersalah terhadap dosa pada Mia tidak berupaya memadam ingatan pada gadis yang pernah dirosakkannya biarpun menyedari Mia tidak akan mampu dimiliki lagi kerana telah menjadi milik orang lain. 7 tahun menjadi simbol pengesahan perasaan antara mereka ber empat. Dan takdir membawa mereka bersatu semula… atas dasar cinta. Saya amat menyukai watak Dr Zarif yang begitu dalam rasa cinta dan kasih pada sang isteri yang akhirnya menjadikan dia seorang yang berani untuk berterus terang tentang rasa cinta itu. Cinta yang sekian lama cuba dinafikan, tapi kuasa-Nya yang menganugerahkan rasa itu tidak akan mampu disingkirkan oleh kita manusia.

Plot cerita berkembang dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot CS ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Mesej CS ini cukup jelas. Hargai sesuatu itu bila ia masih di depan mata, kala terlepas, hanya takdir yang menentukan samada ia akan kembali kita miliki atau tidak. Setiap apa yang tersurat ada hikmahnya. Yang kita fikirkan baik, tidak semestinya baik buat kita, begitu juga sebaliknya. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Buat Azra Aryriesa...anda cukup berbakat dan bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan falsafah cinta anda menerusi Cinta Sejati dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...falsafah cinta dalam naskhah ini cukup menarik untuk dihayati. Banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerana ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.

Sunday, March 15, 2009

BiarLaH RahSia...


TAJUK BUKU : BIARLAH RAHSIA
PENULIS : ROSLIZA RAZALI
PENERBIT : CESB
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : ROMANTIK
Bintang : 2 1/2
------------------------------------------------------------
“..Rasa bahagia itu bila orang yang kita sayangi bahagia biarpun bukan kita yang memberi bahagia itu padanya ..”

Resensi Si Ungu

Tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan saya tatkala usai membaca karya ini. Kecewa. Ya, saya sebenarnya rasa sungguh kecewa dengan naskhah ini. Tidak tahu mahu dilontarkan rasa kecewa itu pada siapa. Pada penulisnya atau pada sang editornya. Saya akui, penulis ini sangat hijau di persada penulisan kreatif dan naskhah ini adalah buah tangannnya yang kedua. Namun hakikatnya dan walau apapun alasannya, penerbitan sesebuah karya harus diteliti dengan sebaik mungkin agar pembaca tidak merasa ketidakadilan itu wujud tatkala membelinya.

Tema dari naskhah terbaru penulis ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kisah cinta yang berbeza darjat juga kedudukan sosial sudah kerap kita tatap sebelum ini pada naskhah penulis-penulis lain. Perbezaan mungkin kita lihat dari pengolahan, jalan cerita juga kaedah ia dipersembahkan. Naskhah ini juga menyingkap persoalan cinta tiga segi bila ia membabitkan kisah cinta dengan suami orang. Saya melihat penulis mempunyai idea yang baik tatkala melakarkan rangka cerita ini namun kelemahan beliau dari segi olahan cerita yang tidak cukup teliti, susunan plot yang melompat-lompat, laras bahasa yang turun naik telah banyak menggugat keindahan naskhah ini hingga akhirnya timbul kecelaruan hingga menjejaskan mood pada pembaca tatkala membacanya. Ia sangat-sangat merugikan kerana jika kelemahan-kelemahan ini dapat ditangkap oleh sang editor dari awal, olahan yang lebih terperinci mungkin mampu dilakukan sebelum ia dipersembahkan kepada khalayak pembaca dan naskhah ini akan lebih berseri warnanya. Sewajarnya sebagai sebuah penerbitan yang sudah berstatus “senior” kelemahan seperti ini tidak patut wujud. Nama yang sudah sedia gah wajar diperlihara dengan sebaiknya kerana jika pembaca sudah hilang kepercayaan, maka siapakah yang rugi nanti?

Biarlah Rahsia(BR) menyusuri rentetan kisah kehidupan seorang setiausaha muda nan rupawan, Izzah Izzati ( ada bahagian tertentu ditulis pula Izzah Izzatul…saya tidak tahu sama ada ia kesilapan ejaan atau apa). Izzah yang terjebak bercinta dengan Zaki, seorang akauntan yang sudah beristeri namun masih tega meneruskan hubungan tersebut secara rahsia. Demi kerana cinta juga Izzah akur dengan kerenah Zaki yang terus-terusan mencipta alasan demi untuk meraih cinta Izzah. Izzah yang dipindahkan untuk berkhidmat kepada pengerusi syarikat; Tengku Azhar tidak mengetahui rancangan itu memang diatur oleh Tengku Azhar yang secara diam-diam meminatinya dirinya. Tengku Azhar duda 2 anak ini secara terang-terangan menyatakan rasa hati dan cintanya juga hasrat diri pada Izzah namun ditolak mentah-mentah. Konflik hubungan Izzah tercetus apabila hubungan yang sudah diketahui isteri Zaki; Shidah sampai ke kemuncaknya bila Izzah diserang Shidah di pejabat di hadapan Tengku Azhar!. Peristiwa itu menjadi jambatan kepada terjalinnya ikatan perkahwinan Izzah dan Tengku Azhar walau tidak sepenuhnya di hati Izzah. Dengan keikhlasan Tengku Azhar, Izzah mula dapat menerima dirinya. Ikatan yang baru mekar itu dicemari oleh fitnah insan yang mendambakan Tengku Azhar dari dulu; Dora dan kegilaan Zaki mengharu-birukan hubungan suami-isteri ini. Setiap halangan yang dapat diatasi akhirnya mengukir bahagia buat pasangan ini namun kemalangan udara yang menimpa Tengku Azhar memusnahkan impian Izzah. Malang bertimpa bila bonda mertua turut meninggalkanya kerna terkejut . Izzah bangkit menerajui syarikat peninggalan suami demi sebuah amanah. Zaki yang sudah bercerai tidak putus asa menagih kasih Izzah. Kepulangan suami Izzah selepas 4 tahun merungkai segalanya namun panas yang disangka, hujan pula yang datang…

Sebagaimana yang saya katakan diawal tadi, idea cerita ini memang baik namun kelemahan yang terlepas pandang telah mencacatkan naskhah ini. Jika diteliti, plot cerita berkembang secara turun naik dan jalinan dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain adakalanya dibuat secara tergesa-gesa. Tidak tahu kenapa perkara ini harus berlaku. Persembahan plot BR diselenggara dengan cukup lemah dan tidak teliti.

Saya ingin menyentuh perihal perwatakan. Watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah cerita/kisah. Maka ketelitian perlu diambil-kira tatkala penciptaan watak itu. Izzah Izzati juga Zaki @ Muhammad Zaki adalah watak utama didalam BR namun mempunyai perwatakan yang sungguh tidak konsisten. Lihat sahaja kisah mereka selepas perkahwinan Izzah. Dialog-dialog yang menggambarkan perasaan antara kedua-duanya cukup mengelirukan pembaca. Kita tertanya-tanya di mana pendirian Izzah dan Zaki sebenarnya. Sekejap suka, sekejap benci. Sekejap ingat, sekejap lupa. Bukan begini caranya orang dewasa medefinisikan perasaan cinta dan kasih sayang itu. Saya juga melihat kebelakangan ini banyak kencenderungan penulis menzahirkan gambaran hubungan intim dengan terang-terangan. Naskhah ini tidak terkecuali. Rasanya tidak perlulah terlalu “detail” begitu, lakukanlah dengan berhemah, penuh berseni…kita ini rumpun bangsa yang begitu susila santunnya, yang tidak miskin kosa-kata juga perbendaharanya untuk menggambarkan keindahan, kemesraan hubungan sesama manusia.

Buat penulis juga sang editor , maaf jika ada ayat-ayat dalam ulasan saya ini menyentuh atau mengguris perasaan anda, saya sekadar meluahkan pandangan peribadi terhadap naskhah ini . Harapan saya semoga anda akan dapat memperbaiki kelemahan ini dan menjadikan komentar ini sebagai cabaran untuk terus giat dan cemerlang berkarya di masa hadapan. Anda sememangnya berbakat maka gilaplah bakat yang sedia ada sebaik mungkin dan teruslah belajar membaiki kelemahan diri. Saya doakan kejayaan buat anda di masa hadapan di persada seni penulisan kreatif ini.

Friday, March 13, 2009

DiA Di HaTimu...


Tajuk Buku : Dia Di Hatimu
Penulis : Rohayu Mohd Tajuddin
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Drama
Bintang : 3.5

---------------------------------------------------------

“ Life is for living; I live mine to you. Love is for giving; I give mine to you …”

Resensi Si Ungu

Dia Di Hatimu nukilan penulis baru yang pertama kali saya tatap karyanya. Sebagai penulis baru, Rohayu punya potensi dan bakat penulisan kreatif. Menerusi karya ini, penulis memaparkan kemelut perasaan seorang isteri yang terdera jiwa dan nalurinya kesan perbuatan suami yang tidak pernah mengiktiraf dirinya sebagai isteri dalam ikatan perkahwinan mereka. Dia tidak diperlakukan selayaknya biarpun seluruh hidupnya telah diserahkan pada insan yang bergelar suami. Dia masih dara biarpun sudah dinikahi hampir 10 tahun! tragis bukan, namun didalam kehidupan manusia, bila dendam menguasai diri, akal waras yang dikurniakan Tuhan gagal dimanfaatkan ke jalan yang sepatutnya lalu memilih jalan singkat bersahabat dengan syaitan demi melunaskan cita-cita biarpun terpaksa mengorbankan kehidupan orang lain. Padahnya pasti ada dipenghujung. Itu pasti. Jodoh pertemuan sukar ditelah kerna hanya Dia yang lebih tahu. Jika sudah tersurat, tiada sapa mampu menghalangnya.

Kisah ini merungkai tema kasih sayang yang pelbagai di dalam perjalanan penceritaannya. Kasih sayang anak pada keluarga, kasih sayang antara sahabat, kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan flashback didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun adakalanya sesi monolog Salmah sedikit meleret.

Dia Di Hatimu memaparkan kisah Salmah seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya; Zainuddin sedangkan hatinya telah terpaut pada Azizul yang hanya sempat ditemui pada 2 pertemuan. Musibah yang melanda memisahkan mereka tanpa sengaja. Redha dengan keputusan ibu bapa dan demi tidak mahu derhaka dna mengundang kesedihan mereka dia menerima Zainuddin dengan sepenuhnya. Zainuddin pula sudah punya pilihan hati; Suzana namun peribadi Suzana yang lepas bebas tidak langsung menyenangkan keluarga Zainuddin. Biarpun tidak bersetuju, dia terpaksa akur dengan ketetapan ibu bapanya. Salmah adalah pilihan keluarganya. Suzana yang tidak dapat menerima hakikat dia terpaksa ditolak dan hanya akan menjadi yang ke-2 merancang misi kejam demi mencapai impiannya.

Perwatakan Salmah yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Salmah dipotretkan sebagai anak yang baik, wanita dan isteri yang cukup sempurna bagi seorang lelaki juga ibu yang baik . Wanita yang sanggup diperlakukan pada darjah yang tidak wajar dan mengabdikan diri pada suami yang ternyata tidak pernah menghargai diri dan pengorbanannya. Zainuddin adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang yang tidak punya pendirian dan tidak langsung berupaya melihat dan menilai manusia pada timbangan yang sewajarnya. Membiarkan diri dimanipulasi hanya kerana rasa cinta akhirnya membuat diri sendiri merana. Perwatakan Zainuddin biarpun secara luaran cukup menjengkelkan sekali, namun saya agak kecewa dia ditamatkan sedemikian rupa kerana jika diteliti, dinilai kesalahan tidak sewajarnya diletakkan pada dia secara total. Suzana dipersembahkan dengan cukup cemerlang oleh penulis. Sebagai antagonis di dalam naratif ini, perwatakan Suzana sangat menyakinkan. Didalam tiap langkah, gerak dan gerinya jika difikir adalah kesan dari kehidupan dan pengalaman lampau yang sangat mendukacitakan. Biarpun Suzana adalah watak jahat, tapi kita pasti kasihan padanya bila sejarah hidupnya disingkap. Bukan mahunya sedemikian.

Buat penulis muda ini, tahniah kepada anda untuk persembahan yang cukup menyakinkan ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca.

Sunday, March 1, 2009

RooFtop RanT


Tajuk Buku : Rooftop Rant
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Novel Remaja
Bintang : 5


---------------------------------------------------------

“There’re time when strangers are like family...and family are like strangers.
Reality bites...and truth hurts.“

Resensi Si Ungu:

Sepotong kata pujangga ada menyebut anak-anak pada usia 7 tahun pertama umpama bunga, 7 tahun kedua umpama khadam…namun pada 7 tahun ketiga dia bisa menjadi kawan juga lawan padamu. Luqman Hakim juga pernah berkata jadilah kawan pada anak-anakmu tatkala mereka menginjak remaja. Ini cumalah sebahagian contoh yang menyarankan para ibu bapa agar lebih memberi perhatian tatkala anak-anak mencapai usia “kritikal” ini. Ada sebab kenapa dan mengapa ia disarankan dan sangat ditekankan sedemikian rupa. Anak-anak lahir dengan fitrah yang suci bersih. Di tangan ibu bapanya nantilah dia bakal dicorakkan. Implikasi yang tercetus dewasa ini di dalam masyarakat akibat kegagalan ibu bapa memahami fungsi dan peranan mereka khusus pada anak-anak yang menjejaki usia remaja sangat mendukacitakan. Lihatlah kesannya. Lihatlah apa yang terjadi pada anak-anak remaja dewasa ini. Hlovate menerusi naskhah terbarunya; Rooftop Rant membawa kita menyusuri bicara pilu 2 remaja yang menjadi mangsa kegagalan insan bernama ibu bapa.

Bicara bumbung Hlovate dari puncak Wisma Topaz membawa pembaca berkongsi sebuah catatan kisah 2 remaja yang mencari ketenangan dari bebanan perasaan yang menghimpit. Bila “Jaded Jade in the middle” bertemu “The unwanted Trisy” di puncak Wisma Topaz, bicara antara mereka bermula. Kisah mereka. Cerita mereka. Sama-sama berkongsi, sama-sama meluahkan apa yang tak mampu terluah di luar sana. Walau episod sedih yang dilalui berbeza, yang nyata mereka tetap di atas landasan yang sama. Mohd Zaid Mohd Tajuddin @ Jade, si kacamata ala-ala John Lennon genius yang hebat di sketchbook di dalam melakar luahan rasa bertemu si popcorn Khairul Batrisya Mazni @ Trisy yang sukar dibaca tindakannya. Jade yang lari dari kekecewaan perbandingan antara abang dan adik oleh ibunya cuba mencari damai dengan meluahkannya di kanvas yang tidak bernyawa.Lokasinya di bumbung itu. Trisy, si manis 16 yang dahagakan perhatian ibu bapa, kasih sayang adik-beradik namun perbalahan yang sering bertingkah di mahligai itu seolah menidakkan kewujudannya lalu menyeret langkahnya menjejaki tangga kusam menuju ke puncak Topaz demi sebuah ketenangan. Mereka dipertemukan. Lalu terjalin sebuah persahabatan yang tidak disengajakan. Keserasian terbentuk antara mereka. Saling memahami, saling mengerti, saling mempercayai, saling ambil berat, saling berkongsi suka duka. Jade adalah kekuatan Trisy, Trisy adalah sumber inspirasi Jade. Janji termeterai “live well, live hell…you choose, your choice.”

Naskhah penulis kali ini begitu kuat mesej kehidupannya pada pembaca biarpun disampaikan dengan kaedah yang cukup santai. Dialog-dialog ringkas, sedikit humor digunakan penulis bagi menberi kesan yang lebih warnanya pada pembaca. Gaya bahasa yang ringkas sememangnya adalah trademark penulis hebat ini. Selitan petikan ayat-ayat cinta dari-Nya cukup mengindahkan naskhah ini.

Perasaan sebak kita turut sama mengiringi perjalanan payah Jade dan Trisy di dalam mereka bergelut membebaskan diri masing-masing . Tanpa penggunaan ayat-ayat yang melankolik, penulis ternyata berjaya menyentuh hati pembaca dengan cara penyampaiannya yang tersendiri. Plot yang banyak bermain dengan unsur flashback begitu cemerlang dipersembahkan penulis didalam menyampaikan naratifnya pada pembaca. Plot cerita yang dibahagikan kepada 3 sub plot ini diolah dengan cukup teliti sekali. Kita melihat tranformasi Jade yang nobody kepada somebody in the industry. Kita dibentangkan dengan peralihan Trisy ke seorang Batrisya yang membawa panji kemenangannya untuk dilakarkan di bumi Aberdeen. Titik pertemuan selepas 5 tahun terpisah, plot penutup naratif yang cukup berseni dinoktahkan penulis...“be my wonderwall.“, “ he is my wonderwall.“

Penulis begitu hebat di dalam pembinaan perwatakan di dalam Rooftop Rant. Jade dan Trisy adalah 2 watak utama yang menjadi fokus, menjadi nadi utama yang menggerakkan cerita ini. Jade digambarkan dengan perwatakan anak muda berusia 20 tahun yang terhimpit dengan kekecewaan pada keluarga yang tidak memahami minat dan cita-citanya untuk menjadi kartunis, sering dibandingkan dengan abang dan adiknya dalam skala pencapaian akademik. Demi memenuhi keperluan pada minatnya itu, dia berusaha sendiri mencari sumber dengan berkongsi menjadi penjual burger. Saya tertarik dengan perwatakan Jade yang digambarkan penulis. Sentiasa positif, tidak pernah mengalah pada tekanan sekeliling. Seorang pendengar yang baik, seorang sahabat yang setia, seorang teman suka duka yang sukar dicari, seorang lelaki yang punyai wawasan dalam hidup. Trisy, si remaja yang menutup pintu hidupnya dari dijengah sesiapa kerana merasakan hidup keluarga cukup jelek untuk menjadi topik perbincangan.Rumah yang sudah ibarat neraka baginya kerna tiada cahaya kegembiraan hidup berkeluarga yang didambakan sejak sekian lama. Ibu bapa yang sering bertingkah...Jazz, Rina dan Tati yang lebih rela berpesta di bawah kerlipan lampu dan hingar bingar muzik di kelab. Hanya pada pembantu rumah, Buk Jah tempat dia mendapat secebis kasih dan perhatian. Bagi saya perwatakan Trisy paling tragis dan mengundang limpahan simpati pembaca. Perjuangan Trisy di dalam seribu kepayahan dan kesabaran di dalam mencapai impian dan cita-citanya cukup menyentuh perasaan. Dia bangkit dari tiupan semangat Jade. Dia berdiri kukuh dengan usahanya dan doa dari Opah, Atuk dan Paksu. Dia berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan seorang remaja yang gagal. Perwatakan Azwan @ Pak Su Wan juga mencuri tumpuan. Dia kesatria yang muncul tepat pada masanya tatkala Trisy memerlukan.

Mau hidup bahagia atau hidup sengsara...sendiri pilih, sendiri tentukan.

Buat penulis yang begitu saya kagumi cetusan idea kreatifnya yang unik dan tersendiri di dalam menyampaikan wacananya pada masyarakat sekalung tahniah atas lakaran kisah anda yang cukup berseni dan istimewa ini, seistimewa diri anda. Buat pembaca dan para pengkagum Hlovate, bicara bumbungnya ini pasti akan membuat anda jatuh cinta pada Trisy dan Jade.