Blogger Templates

Sunday, March 15, 2009

BiarLaH RahSia...


TAJUK BUKU : BIARLAH RAHSIA
PENULIS : ROSLIZA RAZALI
PENERBIT : CESB
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : ROMANTIK
Bintang : 2 1/2
------------------------------------------------------------
“..Rasa bahagia itu bila orang yang kita sayangi bahagia biarpun bukan kita yang memberi bahagia itu padanya ..”

Resensi Si Ungu

Tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan saya tatkala usai membaca karya ini. Kecewa. Ya, saya sebenarnya rasa sungguh kecewa dengan naskhah ini. Tidak tahu mahu dilontarkan rasa kecewa itu pada siapa. Pada penulisnya atau pada sang editornya. Saya akui, penulis ini sangat hijau di persada penulisan kreatif dan naskhah ini adalah buah tangannnya yang kedua. Namun hakikatnya dan walau apapun alasannya, penerbitan sesebuah karya harus diteliti dengan sebaik mungkin agar pembaca tidak merasa ketidakadilan itu wujud tatkala membelinya.

Tema dari naskhah terbaru penulis ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kisah cinta yang berbeza darjat juga kedudukan sosial sudah kerap kita tatap sebelum ini pada naskhah penulis-penulis lain. Perbezaan mungkin kita lihat dari pengolahan, jalan cerita juga kaedah ia dipersembahkan. Naskhah ini juga menyingkap persoalan cinta tiga segi bila ia membabitkan kisah cinta dengan suami orang. Saya melihat penulis mempunyai idea yang baik tatkala melakarkan rangka cerita ini namun kelemahan beliau dari segi olahan cerita yang tidak cukup teliti, susunan plot yang melompat-lompat, laras bahasa yang turun naik telah banyak menggugat keindahan naskhah ini hingga akhirnya timbul kecelaruan hingga menjejaskan mood pada pembaca tatkala membacanya. Ia sangat-sangat merugikan kerana jika kelemahan-kelemahan ini dapat ditangkap oleh sang editor dari awal, olahan yang lebih terperinci mungkin mampu dilakukan sebelum ia dipersembahkan kepada khalayak pembaca dan naskhah ini akan lebih berseri warnanya. Sewajarnya sebagai sebuah penerbitan yang sudah berstatus “senior” kelemahan seperti ini tidak patut wujud. Nama yang sudah sedia gah wajar diperlihara dengan sebaiknya kerana jika pembaca sudah hilang kepercayaan, maka siapakah yang rugi nanti?

Biarlah Rahsia(BR) menyusuri rentetan kisah kehidupan seorang setiausaha muda nan rupawan, Izzah Izzati ( ada bahagian tertentu ditulis pula Izzah Izzatul…saya tidak tahu sama ada ia kesilapan ejaan atau apa). Izzah yang terjebak bercinta dengan Zaki, seorang akauntan yang sudah beristeri namun masih tega meneruskan hubungan tersebut secara rahsia. Demi kerana cinta juga Izzah akur dengan kerenah Zaki yang terus-terusan mencipta alasan demi untuk meraih cinta Izzah. Izzah yang dipindahkan untuk berkhidmat kepada pengerusi syarikat; Tengku Azhar tidak mengetahui rancangan itu memang diatur oleh Tengku Azhar yang secara diam-diam meminatinya dirinya. Tengku Azhar duda 2 anak ini secara terang-terangan menyatakan rasa hati dan cintanya juga hasrat diri pada Izzah namun ditolak mentah-mentah. Konflik hubungan Izzah tercetus apabila hubungan yang sudah diketahui isteri Zaki; Shidah sampai ke kemuncaknya bila Izzah diserang Shidah di pejabat di hadapan Tengku Azhar!. Peristiwa itu menjadi jambatan kepada terjalinnya ikatan perkahwinan Izzah dan Tengku Azhar walau tidak sepenuhnya di hati Izzah. Dengan keikhlasan Tengku Azhar, Izzah mula dapat menerima dirinya. Ikatan yang baru mekar itu dicemari oleh fitnah insan yang mendambakan Tengku Azhar dari dulu; Dora dan kegilaan Zaki mengharu-birukan hubungan suami-isteri ini. Setiap halangan yang dapat diatasi akhirnya mengukir bahagia buat pasangan ini namun kemalangan udara yang menimpa Tengku Azhar memusnahkan impian Izzah. Malang bertimpa bila bonda mertua turut meninggalkanya kerna terkejut . Izzah bangkit menerajui syarikat peninggalan suami demi sebuah amanah. Zaki yang sudah bercerai tidak putus asa menagih kasih Izzah. Kepulangan suami Izzah selepas 4 tahun merungkai segalanya namun panas yang disangka, hujan pula yang datang…

Sebagaimana yang saya katakan diawal tadi, idea cerita ini memang baik namun kelemahan yang terlepas pandang telah mencacatkan naskhah ini. Jika diteliti, plot cerita berkembang secara turun naik dan jalinan dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain adakalanya dibuat secara tergesa-gesa. Tidak tahu kenapa perkara ini harus berlaku. Persembahan plot BR diselenggara dengan cukup lemah dan tidak teliti.

Saya ingin menyentuh perihal perwatakan. Watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah cerita/kisah. Maka ketelitian perlu diambil-kira tatkala penciptaan watak itu. Izzah Izzati juga Zaki @ Muhammad Zaki adalah watak utama didalam BR namun mempunyai perwatakan yang sungguh tidak konsisten. Lihat sahaja kisah mereka selepas perkahwinan Izzah. Dialog-dialog yang menggambarkan perasaan antara kedua-duanya cukup mengelirukan pembaca. Kita tertanya-tanya di mana pendirian Izzah dan Zaki sebenarnya. Sekejap suka, sekejap benci. Sekejap ingat, sekejap lupa. Bukan begini caranya orang dewasa medefinisikan perasaan cinta dan kasih sayang itu. Saya juga melihat kebelakangan ini banyak kencenderungan penulis menzahirkan gambaran hubungan intim dengan terang-terangan. Naskhah ini tidak terkecuali. Rasanya tidak perlulah terlalu “detail” begitu, lakukanlah dengan berhemah, penuh berseni…kita ini rumpun bangsa yang begitu susila santunnya, yang tidak miskin kosa-kata juga perbendaharanya untuk menggambarkan keindahan, kemesraan hubungan sesama manusia.

Buat penulis juga sang editor , maaf jika ada ayat-ayat dalam ulasan saya ini menyentuh atau mengguris perasaan anda, saya sekadar meluahkan pandangan peribadi terhadap naskhah ini . Harapan saya semoga anda akan dapat memperbaiki kelemahan ini dan menjadikan komentar ini sebagai cabaran untuk terus giat dan cemerlang berkarya di masa hadapan. Anda sememangnya berbakat maka gilaplah bakat yang sedia ada sebaik mungkin dan teruslah belajar membaiki kelemahan diri. Saya doakan kejayaan buat anda di masa hadapan di persada seni penulisan kreatif ini.

No comments:

Post a Comment