Sunday, March 1, 2009
RooFtop RanT
Tajuk Buku : Rooftop Rant
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Novel Remaja
Bintang : 5
---------------------------------------------------------
“There’re time when strangers are like family...and family are like strangers.
Reality bites...and truth hurts.“
Resensi Si Ungu:
Sepotong kata pujangga ada menyebut anak-anak pada usia 7 tahun pertama umpama bunga, 7 tahun kedua umpama khadam…namun pada 7 tahun ketiga dia bisa menjadi kawan juga lawan padamu. Luqman Hakim juga pernah berkata jadilah kawan pada anak-anakmu tatkala mereka menginjak remaja. Ini cumalah sebahagian contoh yang menyarankan para ibu bapa agar lebih memberi perhatian tatkala anak-anak mencapai usia “kritikal” ini. Ada sebab kenapa dan mengapa ia disarankan dan sangat ditekankan sedemikian rupa. Anak-anak lahir dengan fitrah yang suci bersih. Di tangan ibu bapanya nantilah dia bakal dicorakkan. Implikasi yang tercetus dewasa ini di dalam masyarakat akibat kegagalan ibu bapa memahami fungsi dan peranan mereka khusus pada anak-anak yang menjejaki usia remaja sangat mendukacitakan. Lihatlah kesannya. Lihatlah apa yang terjadi pada anak-anak remaja dewasa ini. Hlovate menerusi naskhah terbarunya; Rooftop Rant membawa kita menyusuri bicara pilu 2 remaja yang menjadi mangsa kegagalan insan bernama ibu bapa.
Bicara bumbung Hlovate dari puncak Wisma Topaz membawa pembaca berkongsi sebuah catatan kisah 2 remaja yang mencari ketenangan dari bebanan perasaan yang menghimpit. Bila “Jaded Jade in the middle” bertemu “The unwanted Trisy” di puncak Wisma Topaz, bicara antara mereka bermula. Kisah mereka. Cerita mereka. Sama-sama berkongsi, sama-sama meluahkan apa yang tak mampu terluah di luar sana. Walau episod sedih yang dilalui berbeza, yang nyata mereka tetap di atas landasan yang sama. Mohd Zaid Mohd Tajuddin @ Jade, si kacamata ala-ala John Lennon genius yang hebat di sketchbook di dalam melakar luahan rasa bertemu si popcorn Khairul Batrisya Mazni @ Trisy yang sukar dibaca tindakannya. Jade yang lari dari kekecewaan perbandingan antara abang dan adik oleh ibunya cuba mencari damai dengan meluahkannya di kanvas yang tidak bernyawa.Lokasinya di bumbung itu. Trisy, si manis 16 yang dahagakan perhatian ibu bapa, kasih sayang adik-beradik namun perbalahan yang sering bertingkah di mahligai itu seolah menidakkan kewujudannya lalu menyeret langkahnya menjejaki tangga kusam menuju ke puncak Topaz demi sebuah ketenangan. Mereka dipertemukan. Lalu terjalin sebuah persahabatan yang tidak disengajakan. Keserasian terbentuk antara mereka. Saling memahami, saling mengerti, saling mempercayai, saling ambil berat, saling berkongsi suka duka. Jade adalah kekuatan Trisy, Trisy adalah sumber inspirasi Jade. Janji termeterai “live well, live hell…you choose, your choice.”
Naskhah penulis kali ini begitu kuat mesej kehidupannya pada pembaca biarpun disampaikan dengan kaedah yang cukup santai. Dialog-dialog ringkas, sedikit humor digunakan penulis bagi menberi kesan yang lebih warnanya pada pembaca. Gaya bahasa yang ringkas sememangnya adalah trademark penulis hebat ini. Selitan petikan ayat-ayat cinta dari-Nya cukup mengindahkan naskhah ini.
Perasaan sebak kita turut sama mengiringi perjalanan payah Jade dan Trisy di dalam mereka bergelut membebaskan diri masing-masing . Tanpa penggunaan ayat-ayat yang melankolik, penulis ternyata berjaya menyentuh hati pembaca dengan cara penyampaiannya yang tersendiri. Plot yang banyak bermain dengan unsur flashback begitu cemerlang dipersembahkan penulis didalam menyampaikan naratifnya pada pembaca. Plot cerita yang dibahagikan kepada 3 sub plot ini diolah dengan cukup teliti sekali. Kita melihat tranformasi Jade yang nobody kepada somebody in the industry. Kita dibentangkan dengan peralihan Trisy ke seorang Batrisya yang membawa panji kemenangannya untuk dilakarkan di bumi Aberdeen. Titik pertemuan selepas 5 tahun terpisah, plot penutup naratif yang cukup berseni dinoktahkan penulis...“be my wonderwall.“, “ he is my wonderwall.“
Penulis begitu hebat di dalam pembinaan perwatakan di dalam Rooftop Rant. Jade dan Trisy adalah 2 watak utama yang menjadi fokus, menjadi nadi utama yang menggerakkan cerita ini. Jade digambarkan dengan perwatakan anak muda berusia 20 tahun yang terhimpit dengan kekecewaan pada keluarga yang tidak memahami minat dan cita-citanya untuk menjadi kartunis, sering dibandingkan dengan abang dan adiknya dalam skala pencapaian akademik. Demi memenuhi keperluan pada minatnya itu, dia berusaha sendiri mencari sumber dengan berkongsi menjadi penjual burger. Saya tertarik dengan perwatakan Jade yang digambarkan penulis. Sentiasa positif, tidak pernah mengalah pada tekanan sekeliling. Seorang pendengar yang baik, seorang sahabat yang setia, seorang teman suka duka yang sukar dicari, seorang lelaki yang punyai wawasan dalam hidup. Trisy, si remaja yang menutup pintu hidupnya dari dijengah sesiapa kerana merasakan hidup keluarga cukup jelek untuk menjadi topik perbincangan.Rumah yang sudah ibarat neraka baginya kerna tiada cahaya kegembiraan hidup berkeluarga yang didambakan sejak sekian lama. Ibu bapa yang sering bertingkah...Jazz, Rina dan Tati yang lebih rela berpesta di bawah kerlipan lampu dan hingar bingar muzik di kelab. Hanya pada pembantu rumah, Buk Jah tempat dia mendapat secebis kasih dan perhatian. Bagi saya perwatakan Trisy paling tragis dan mengundang limpahan simpati pembaca. Perjuangan Trisy di dalam seribu kepayahan dan kesabaran di dalam mencapai impian dan cita-citanya cukup menyentuh perasaan. Dia bangkit dari tiupan semangat Jade. Dia berdiri kukuh dengan usahanya dan doa dari Opah, Atuk dan Paksu. Dia berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan seorang remaja yang gagal. Perwatakan Azwan @ Pak Su Wan juga mencuri tumpuan. Dia kesatria yang muncul tepat pada masanya tatkala Trisy memerlukan.
Mau hidup bahagia atau hidup sengsara...sendiri pilih, sendiri tentukan.
Buat penulis yang begitu saya kagumi cetusan idea kreatifnya yang unik dan tersendiri di dalam menyampaikan wacananya pada masyarakat sekalung tahniah atas lakaran kisah anda yang cukup berseni dan istimewa ini, seistimewa diri anda. Buat pembaca dan para pengkagum Hlovate, bicara bumbungnya ini pasti akan membuat anda jatuh cinta pada Trisy dan Jade.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
wah..banyak nya ulasan novel! aku pon minat novel gak..tp yang dbp je la...best ker novel2 nih?? aku x minat yang jiwang2.hehee..cuma saya ingin berkongsi pendapat bahawa novel 'seorang tua di kaki gunung' karya azizi hj abdullah memang sebuah novel yang sangat menarik! saudara pon sudah membacanya kan?? tahu x saya sudah membacanya seawal umur 11 tahun(darjah 5 la)..tp sebab ayah cikgu sastera(hehee)..rasa cam nak nangis tau!sejak hari tu aku jadi minat membaca karya2 saterawan tanah air kita..tp skang sibuk dengan assignment :p
ReplyDeleteadek hilmi, kak kucc didedahkan dgn dunia sasterapun waktu di sekolah menengah menerusi karya2 DBP hasil nukilan sasterawan2 negara mcm Tongkat Warrant, Keris Mas, Abdullah Hussin, A. Samad Said,Arenawati. Ya,buku Seorang Tua di Kaki Gunung tu mmg akak dh baca. Ia mmg sebuah naskhah yg sgt2 baik. Ia menjadi teks wajib utk subjek sastera masa di form 5 dulu & hingga kini akak masih ingat jln ceritanya...novel2 yg ada dipasaran sekrg tdk kurang bagusnya, yg ptg sebagai pembaca kita kena bijak memilih novel yg baik...penulis ni sebagai cth adalah novelis angkatan baru yg sgt bagus idea penulisannya..segar & sarat dgn mesej. Lapang2 minda, jgn cepat buat kesimpulan. Ramai penulis berbakat di negara kita ni...berilah mereka peluang utk mempamerkan bakat mereka utk kita sama2 nilaikan...tegur2 lah mereka demi kebaikkan bersama.
ReplyDelete...satu ulasan yang menarik dan saya tak nafikan sememangnya Hlovate mempunyai cara penyampaian yang sangat baik. Gaya bahasa yang bersahaja membuatkan saya mempunyai kesemua novel tulisannya setakat ini dan setiap satunya mempunyai mesej yang bukan sedikit...
ReplyDeleteSetiap novel Hlovate berjaya membuka minda dan menukar perspektif pemikiran saya. Dan 'Rooftop Rant' sememangnya sangat menyentuh jiwa sehingga berjaya membuat saya menitis air mata... melihat kekuatan semangat Trisy dan ketekunan Jade menggapai apa yang mereka namakan 'impian'.
Salam... saya memang mempunyai seluruh koleksi hlovate secara peribadi... (5 tahun, 5 bulan / AA+BB / tunas) termasuk yang ini juga... hlovate memang mempunyai ciri penceritaan plot dan tema yang menarik... sesuai dengan trend pemikiran golongan muda terkini... bila dilihat cara cerita-ceritanya, prinsip temanya agak sama dengam penulis terkenal indonesia, Andrei Aksana.... Cuma satu sahaja nak komen sedikit, kurangkan pencampuran bahasa dalam penulisan... jika nak membuat karya dalam bahasa melayu, moleklah gunakan bahasa ibunda 80%.... jika nak guna bahasa inggeris, gunakan sepenuhnya dalam roman inggeris... jangan di campur aduk, kerana ia akan menjelekkan sastera... Tajuk bahasa inggeris untuk novel melayu adalah tidak cocok... kena teliti tentang ini...
ReplyDeletewho said so? hovate mmg wonderful!! ta kesa laa dye gne cre cam ne ckalypown nk express citer dye kt owg.. lau begitu la cre dye nk way cemane.. its called normal laa lau dye gne bhse bshn cm uw.. LUv HLOVATE no matter what! salam
ReplyDeletepu3sakura:
ReplyDeletesy pun sebak...
adreena:
sy dimaklumkan Hlovate xpernah bcpun karya2 Andrei...mmg gaya penulisan dia begitu, semulajadi...mungkin kebetulan sahaja.
soal percampuran bahasa, ini soal kaedah penyampaian penulis...setiap penulis punye gaya, momentum dan corak penaan masing2 dlm menyampaian wadah naratif mereka. Penerimaan pembaca pada sastera kreatif lebih terbuka.
sasterawan negara; Shahnon Ahmad juga pernah menggunakan tajuk bahasa inggeris utk novelnya...tajuk tidak akan sesekali menjejaskan mutu & mesej penulis pada khalayak pembaca.
Pricess Icigho,
Da One n Only Hlovate...tiada 2, tiada 3...