Friday, March 13, 2009
DiA Di HaTimu...
Tajuk Buku : Dia Di Hatimu
Penulis : Rohayu Mohd Tajuddin
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Drama
Bintang : 3.5
---------------------------------------------------------
“ Life is for living; I live mine to you. Love is for giving; I give mine to you …”
Resensi Si Ungu
Dia Di Hatimu nukilan penulis baru yang pertama kali saya tatap karyanya. Sebagai penulis baru, Rohayu punya potensi dan bakat penulisan kreatif. Menerusi karya ini, penulis memaparkan kemelut perasaan seorang isteri yang terdera jiwa dan nalurinya kesan perbuatan suami yang tidak pernah mengiktiraf dirinya sebagai isteri dalam ikatan perkahwinan mereka. Dia tidak diperlakukan selayaknya biarpun seluruh hidupnya telah diserahkan pada insan yang bergelar suami. Dia masih dara biarpun sudah dinikahi hampir 10 tahun! tragis bukan, namun didalam kehidupan manusia, bila dendam menguasai diri, akal waras yang dikurniakan Tuhan gagal dimanfaatkan ke jalan yang sepatutnya lalu memilih jalan singkat bersahabat dengan syaitan demi melunaskan cita-cita biarpun terpaksa mengorbankan kehidupan orang lain. Padahnya pasti ada dipenghujung. Itu pasti. Jodoh pertemuan sukar ditelah kerna hanya Dia yang lebih tahu. Jika sudah tersurat, tiada sapa mampu menghalangnya.
Kisah ini merungkai tema kasih sayang yang pelbagai di dalam perjalanan penceritaannya. Kasih sayang anak pada keluarga, kasih sayang antara sahabat, kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan flashback didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun adakalanya sesi monolog Salmah sedikit meleret.
Dia Di Hatimu memaparkan kisah Salmah seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya; Zainuddin sedangkan hatinya telah terpaut pada Azizul yang hanya sempat ditemui pada 2 pertemuan. Musibah yang melanda memisahkan mereka tanpa sengaja. Redha dengan keputusan ibu bapa dan demi tidak mahu derhaka dna mengundang kesedihan mereka dia menerima Zainuddin dengan sepenuhnya. Zainuddin pula sudah punya pilihan hati; Suzana namun peribadi Suzana yang lepas bebas tidak langsung menyenangkan keluarga Zainuddin. Biarpun tidak bersetuju, dia terpaksa akur dengan ketetapan ibu bapanya. Salmah adalah pilihan keluarganya. Suzana yang tidak dapat menerima hakikat dia terpaksa ditolak dan hanya akan menjadi yang ke-2 merancang misi kejam demi mencapai impiannya.
Perwatakan Salmah yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Salmah dipotretkan sebagai anak yang baik, wanita dan isteri yang cukup sempurna bagi seorang lelaki juga ibu yang baik . Wanita yang sanggup diperlakukan pada darjah yang tidak wajar dan mengabdikan diri pada suami yang ternyata tidak pernah menghargai diri dan pengorbanannya. Zainuddin adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang yang tidak punya pendirian dan tidak langsung berupaya melihat dan menilai manusia pada timbangan yang sewajarnya. Membiarkan diri dimanipulasi hanya kerana rasa cinta akhirnya membuat diri sendiri merana. Perwatakan Zainuddin biarpun secara luaran cukup menjengkelkan sekali, namun saya agak kecewa dia ditamatkan sedemikian rupa kerana jika diteliti, dinilai kesalahan tidak sewajarnya diletakkan pada dia secara total. Suzana dipersembahkan dengan cukup cemerlang oleh penulis. Sebagai antagonis di dalam naratif ini, perwatakan Suzana sangat menyakinkan. Didalam tiap langkah, gerak dan gerinya jika difikir adalah kesan dari kehidupan dan pengalaman lampau yang sangat mendukacitakan. Biarpun Suzana adalah watak jahat, tapi kita pasti kasihan padanya bila sejarah hidupnya disingkap. Bukan mahunya sedemikian.
Buat penulis muda ini, tahniah kepada anda untuk persembahan yang cukup menyakinkan ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment