Blogger Templates

Wednesday, April 29, 2009

SiGaraNinG



Tajuk Buku : Sigaraning
Penulis : Imaen
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Thriller Ringan
Bintang : 5



----------------------------------------------------------
“betul atau salah itu terlalu subjektif. Dalam sesetengah perkara betul atau salah itu bukan soal hitam atau putih...selagi sesuatu benda itu tidak melanggar hukum agama, tidak melibatkan dosa pahala, betul salah itu terserah kepada pemahaman manusia...“

Resensi Si Ungu:

Judulnya sahaja begitu kuat menggamit mata dan tangan untuk mengetahui cerita di dalamnya. Tiada sebarang unsur klise yang dapat dijadikan bayangan untuk saya menebak isinya. Bila dimaklumkan maksud disebalik tajuk naskhah ini hati berdetik juga tapi bila memikirkan semula sepanjang mengikuti karya-karya terdahulu penulis ini yang begitu sinonim dengan keunikannya berkarya maka saya tinggalkan dahulu masalah hati yang berdetik itu kemudian. Biarlah jawapannya saya temui di noktah terakhir nanti.

Ini buku pertama yang saya beli di hari pertama PBAKL 2009. Menghayati karya penulis yang satu ini sebenarnya bukan kerja mudah biarpun secara lahirnya kita lihat macam mudah-mudah sahaja. Saya kena menerima hakikat itu. Cabaran yang diberikan olehnya kepada saya selaku pembaca cukup hebat. Kalau tidak masakan saya terpaksa mengambil masa 11 hari membacanya. Bukan kerna apa, karya ni buat saya sering berhenti seketika tatkala melalui adegan atau potongan perkataan tertentu di dalamnya...berhenti untuk bertanya diri sendiri tentang keterlanjuran perbuatan yang telah dilakukan....begitu banyak dosa tanpa sedar yang telah terpalit dalam buku catatan peribadi. Tarbiah yang disampaikan cukup membuat saya insaf. Saya sebenarnya banyak beristighfar sepanjang perjalanan menghayati naskhah ini di dalam merenung keterlanjuran diri yang lalu. Anda juga mungkin akan melalui frasa yang saya alami ini nanti. Kalau tak percaya...bacalah sendiri!

Sigaraning yang menyaring latar kehidupan seorang pengusaha pasaraya MusliMart; Ali Imran yang melestarikan budaya perniagaan berlandaskan hukum yang menjadi ikutkan hidupnya sebagai islam. Sebagai manusia Ali berusaha melakukan yang terbaik namun sebagai manusia Ali juga tidak lari dari tersilap langkah. Ujian yang diberi padanya cukup berat. Tekanan perasaan akibat putus cinta dengan si buah hati; Salina ditambah beban masalah kewangan yang memerlukan penyelesaian singkat menjerumuskan Ali ke satu tindakan spontan tanpa sedar yang kemudiannya menimbulkan rasa kesal yang teramat, tetapi untuk berpatah balik, mana mungkin...padah yang menanti tidak pasti bagaimana nanti. Rasa takut bercampur baur dengan bimbang dan kesal membuatkan rahsia itu disimpan kejap sendiri. Hidup diteruskan seperti biasa. Bagai tiada apa yang berlaku.


Perpisahan dengan Salina sebenarnya rahmat yang penuh tersirat buat Ali bila dia dipertemukan semula dengan Vivian/Evey; teman sekampus yang dahulunya pernah menjadi teman sengketa. Persahabatan mula terjalin antara mereka dan semakin berkembang mekar. Masing-masing faham bahasa hati mereka cuma belum berupaya mengumumkannya secara rasmi!. Ali yang sedang mabuk oleh panahan cinta dan sedang menikmati warna-warna cinta yang mekar berbunga dikejutkan dengan kehadiran sang musuh yang berjaya menjejakinya . Sang musuh yang mencari’ hartanya’ yang diambil Ali dalam kejadian dulu. Ali terlupa bahawa tindakannya dahulu memang cukup besar risikonya..risiko yang akhirnya harus di bayar dengan darah dan nyawa!...lalu rakan baik yang tidak tahu apa-apa jadi korban kekhilafannya itu. Ali juga harus membayar kesilapan itu dengan begitu mahal sekali bila cinta keduanya turut meninggalkannya gara-gara tindakannya itu.

Penulis begitu bijak menjerat pembaca antara naluri simpati, berbelah bahagi dan rasa marah pada Ali Imran kerna tindakannya itu. Perwatakan Ali Imran bagai matador dalam naskhah ini. Matador di kalangan perniaga bumiputera kecil yang berjuang dan memperjuangkan haknya tanpa menggadaikan pegangan diri juga prinsip hidup. Dia diangkat penulis didalam mewakili lelaki yang punya falsafah hidup berprinsip , falsafah cinta yang tersendiri dan unik, juga lelaki yang adakala tersasar dari landasan saat diberi ujian oleh-Nya. Vivian adalah satu contoh yang memang wujud di dalam masyarakat. Insan yang enggan akur pada keesaan-Nya kerana amarah yang terkumpul hanya kerna sebuah ujian...kematian!. Penulis cukup cantik melarikkan warna watak Vivian dengan gambaran metafora sifat dalaman dirinya yang tersembunyi yang berjaya dibongkar Ali sedikit demi sedikit. Watak jahat di dalam naratif ini adalah perwatakan pembantu yang ditampilkan penulis untuk mengampuhkan lagi jalan cerita didalam menterjemahkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar di dalam masyarakat. Mr JR, Jah juga Detektif Azlan adalah contoh kritikan penulis pada manusia-manusia yang kecundang akibat kehalobaan nafsu.

Plot cerita disunting dengan cukup baik sekali. Pertalian cerita antara bab ke bab diperhalusi dengan cukup teliti. Di kemuncak plot cerita, penulis secara dramatik menghidupkan ketegangan juga cemas pada pembaca saat Ali Imran dibawa menemui Jah, ketua kumpulan pengedaran dadah. Situasi debar, gerak tubuh jua gerak rasa kedua-dua watak ini dirakam penulis sehingga kemuncak teka, siapa yang akan hidup dan siapa yang akan tewas!

Sesungguhnya naskhah ini ditukangi dengan bisikan-bisikan tazkirah yang senada rentak iramanya ditelinga pembaca. Bisikan yang perlu diterjemahkan maknanya yang tersirat disebalik penggunaan bahasa-bahasa indah yang disusun cantik!. Mesej penulis dalam naratifnya kali ini begitu cemerlang ditunjangi Ali Imran didalam menyalurkan kesimpulan penulis tentang nilai kehidupan untuk sama-sama diteladani pembaca.

Buat sang penulis yang teramat saya kagumi cetusan idea uniknya, yang begitu saya hargai nasihat-nasihatnya, penaan anda yang cukup tersendiri di dalam melestarikan lontaran kisah pada masyarakat begitu dekat di hati...sekalung tahniah atas kupasan kisah ciptaan anda nan istimewa ini, seistimewa diri anda. Buat pembaca, buat peminat juga pencinta Imaen, Belahan Jiwanya kali ini pasti akan membuat anda terpaku!.

Sunday, April 26, 2009

Pesta dah selesai....dan kucc pun sudah muflis, jadi makan roti lorr..huhukkk

Semalam hari terakhir PBAKL 2009...kucc pergi sekali lagi mengukur lantai PWTC dengan rakan sekicap yang comei; Rinn...kunun2 taknak beli apa-apa sebab asal tujuan ke sana ada misi khas..hehehe..tapi lepas dah selesai misi khas kantoi jugak dengan "lambaian" buku kat rak...huhukkk...Rinn pun sama gak tergoda...hahaha

Apa-apapun, Pesta Buku kali ni memang kucc pecah rekod....33 buah buku dibeli weii...hahaha..gelak + rasa ngeri sekaligus..takut nak tengok lists berapa $RM yang dah "didermakan" pada pihak penerbit buku kali ni...

dan yang kucc paling seronok sangat sebab dapat cari 2 buku yg dah "berkurun" kucc cari...akhirnya berjumpa jugak...ye ye ye...

  1. Kabus Kasih - Eka Fahara
  2. Ceritera Rindu - Leeya Myra
  3. Mikhail - Ramlee Awang Mursyid
  4. Tiada Yang Kedua - Sania Yasmin
  5. Biarlah Rindu Ini Berguguran - Azira Ahmad
  6. Leraian Novella - Norhisham Mustaffa
  7. Kompilasi Kasih Orang Terbuang - Norhisham Mustaffa
  8. Persinggahan - Norhisham Mustaffa
  9. Ilusi Sebuah Cinta - Diya Elora
  10. Megalomania - Fatinilam Sari Ahmad
  11. Megalomania 2 - Fatinilam Sari Ahmad
  12. Donia - Lamia Aimal
  13. Hujan Rindu - Anita Aruszi
  14. Cinta Di Hati - Nor Rafishah Md Hassan
  15. Cinta Adalah Cinta - Sarnia Yahya
  16. Sigaraning - Imaen
  17. Rahsia Hati Sofia -Nazurah Aishah
  18. Teluki Itu Untuk Aku - Nazawati
  19. Odisi Bulan Biru - John Norafizan
  20. L.U. V. E. -Pingu Toha
  21. Biarlah YM Berbicara - Hanni Ramsul
  22. Rembulan Berdarah - Anita Aruszi
  23. Matahariku - Aina Emir
  24. Tuhan Lebih Tahu - Nora Ismail
  25. Lagu Cinta - Iejay Zakaria
  26. Aku Ada Kamu - Lily Haslina Nasir
  27. Bahtera Cinta - Iffa Irdina
  28. Sangkar Asmara - Zetty Zahira
  29. Dakapan Asmara - Zetty Zahira
  30. Detektif Bertudung Hitam -Bahruddin Bekri
  31. Bukan Yang Pertama - Salina Ibrahim
  32. Yang Kehilangan - Nor Rafishah Md Hassan
  33. Rindu Berdetik Lagi - Zuraidah Othman

Monday, April 20, 2009

BiLa CikGu MenguMpaT...

Aku sangat hormat pada insan-insan yang bergelar guru/cikgu. Bagi aku mereka ini punya kedudukan sosial yang cukup mulia di kalangan masyarakat...mereka wajar dihormati dan disanjungi...yelah kan, tanpa mereka kita takkan berada di kedudukan kita sekarang....takkan ada yang bergelar doktor, peguam, arkitek, jurutera, akauntan dsb.... Dulu-dulu masa aku cuti semester pernah aku jadi guru tadika di sebuah tadika yang agak terkenal di Kuala Lumpur...tak kisah lah, tadika pun tadika laa yang penting aku ingin merasa sebenarnya menjadi cikgu/guru itu bagaimana suasananya...memang seronok biarpun pengalaman menjadi cikgu/guru di situ begitu singkat...semua rakan sekerja baik-baik belaka baik disekolah mahupun diluar, biarpun cuma guru tadika mereka sangat menjaga tatatertib perguruan mereka...

Itu semua perilaku guru-guru/ cikgu-cikgu di zaman aku.... 30 tahun....20 tahun dulu...zaman sekarang??

Aku ingin bercerita tentang kisah yang aku alami....dan coretan, pandangan aku nanti adalah berdasarkan penilaian aku sendiri secara individu. Guru sewajarnya punya etika kerja yang perlu dijaga dan dipelihara..lebih-lebih lagi jika berada di dalam kawasan sekolah bukan?...tapi bagaimana punya penilaian kamu semua apabila selesai mendengar cerita aku ini....

Ahad lepas aku menghadiri Hari Sukan anak saudara aku di sebuah sekolah di dalam daerah Gombak...disebabkan pihak jawatan kuasa pengelola hari sukan tidak menyediakan khemah untuk para ibubapa/hadirin ( aku pun hairan...nak kata tempat takde, masih ada ruang di kawasan padang yang boleh dimanafaatkan untuk tujuan tersebut...ntahlah tak paham aku!) maka aku pun dengan muka sardin "merompak" kerusi di tepi kantin untuk aku jadikan port untuk melepak sambil menonton acara sukan di padang. Sedang aku asyik melihat gelagat pelajar-pelajar ditengah padang aku terdengar perbualan 2 orang guru yang aku rasakan guru senior... mungkin mengajar pelajar-pelajar tahap 2 ( darjah 4 - 6). Mereka berdiri betul-betul bersebelahan kerusi aku....dengarkan perbualan mereka yang aku takkan lupa!

"kau tengok tu, issy....kita cakap sekali bukan nak dengar..kena cakap banyak kali...harap badan jer besar!...budak-budak sekolah XXXX cakap sekali je....bukan macam budak-budak sekolah ni, bongok..."

Aku diam sahaja. Aku masih memandang ke arah padang dan melihat kelibat murid-murid yang "diumpat" tadi berjalan ke tengah padang untuk meneruskan acara yang mereka sertai...kasihan mereka..bagaimana perasaan mereka agaknya jika tahu mereka digelar begitu oleh guru/cikgu mereka sendiri....alangkah malangnya mereka...


Aku memikirkan satu perkara sahaja....Guru/cikgu yang berkata "sekolah bongok" tadi sedar atau tidak bahwasanya "sekolah bongok" itulah yang memberi rezeki padanya tiap bulan...rezeki yang dia kongsi bersama keluarganya juga barangkali...tanpa "sekolah bongok dan murid bongok" ini dapatkah dia sumber pendapatan yang tetap tiap bulan untuk membeli itu dan ini...membayar itu dan ini....fikir-fikirkan.

Sesi mengumpat kali kedua....mengumpat rakan guru sendiri!

Jika tadi mereka berdiri..kini duduk pula dikerusi yang tolong dibawa oleh murid-murid mereka!


"ala..dia tu memang....dia tanya aku XXXXX....aku cakap siapa....pastu kau tengok cara dia mengajar?...bla bla bla.......pastu dia nak baik-baik la ngan kita...."

Aku tak kata aku baik..aku pun mengumpat juga....cuma apa yang aku ingin katakan disini adakah wajar kita "mengumpat" di dalam suasana /persekitaran yang sebegini... kata orang tua-tua; cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar sebab dinding dan tembok tanpa kita sedari punya mata dan telinga!....aku rasa 2 orang cikgu ini belum khatam kamus perumpamaan melayu agaknya walaupun mereka orang melayu!

Tuesday, April 14, 2009

Ku InGin BersaMamu...


TAJUK BUKU : KUINGIN BERSAMAMU
PENULIS : DYZA AINUN
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM18.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : KASIH SAYANG & KEKELUARGAAN
BINTANG : 3 1/2



------------------------------------------------------------
The happiest of people don't necessarily have the best of everything; they just make the best of everything that comes their way."

Resensi Si Ungu:

Jika diimbau kembali, buku ini bukanlah yang pertama yang mengangkat kisah gadis gemuk yang kemudian di hujung cerita menjadi kurus dan cantik. Begitupun menariknya buah tangan kedua penulis dari negeri Darul Iman ini adalah pendekatan yang dibawa dan diaplikasikan kedalam naratifnya ini. Ia bukanlah sekadar bercerita tentang azam, semangat serta kegigihan seseorang didalam mencapai matlamat namun yang lebih utama adalah kaedah penceritaan yang digunapakai penulis nampak lebih segar, bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca. Lebih utama kaedah persembahan cerita tampak tidak membosankan. Ia menjelmakan idea yang segar dan menarik daripada kebanyakkan cerita yang berkonsepkan jalan cerita yang sama yang pernah kita baca sebelum ini.

Kuingin Bersamamu (KIB) yang merupakan naskhah kedua penulis selepas Lamaran Hati membawa tema yang baik untuk diasimilasikan dalam kehidupan . Dengan menggabungkan genre kasih sayang dan kekeluargaan, kisah yang digarap cukup hampir dengan kehidupan seharian kita. Penulis ternyata cukup peka, cukup arif dengan persekitaran kehidupan yang digambarkan beliau menerusi KIB ini. Saya kagum dengan perincian penulis di dalam naratif ini terutama ketika watak utama; Dida Qistina melalu proses menguruskan badan.

Dida Qistina dan Ziqree Hadiff adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah KIB ini. Penulis begitu teliti membina kedua-dua watak utama ini dan ternyata mereka sangat memberi pengaruh kepada persembahan cerita secara keseluruhan. Ia dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Dida Qistina semontel yang sentiasa ceria, kesayangan ibu bapa dan mempunyai sikap yang sangat mudah di dalam melihat kehidupannya. Dan kerana keterbukaannya dalam menerima keadaan diri tanpa sekelumit rasa rendah diri menjadi dia seorang yang begitu disenangi ramai.
Berlainan dengan Ziqree yang sangat mendendami perempuan kesan perbuatan bekas tunangan yang curang padanya, Ziqree digambarkan dengan baik sebagai lelaki yang mempunyai sikap berhati-hati dalam memilih teman hidup dan sifat awalnya yang agak pendiam agak kontra dengan Dida yang kecoh! . Satu percantuman watak yang sangat menarik dipersembahkan penulis. Sayang sedikit pembinaan watak pembantu utama yang antagonis, Syarifah Nur Ima kurang menonjol dan tidak cukup kuat dan berkesan didalam memberi impak kepada persembahan cerita. Saya fikir ini mungkin disebabkan penulis tidak mahu terlalu menonjolkan watak antagonisnya ini. Pembinaannya mungkin sekadar mewarnai naratif ini sahaja.

Hampir 95% plot naratif ini dibina berorientasikan jajaran kronologi. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna KIB.
Penggunaan laras bahasa yang mudah yang kadangkala disulami frasa-frasa baru yang spontan sangat memberi kesan kepada mood pembacaan. Mesej penulis di dalam naratifnya ini bagi saya cukup baik didalam memberi penjelasan tentang amanah pada janji yang termeterai. Juga tentang keazaman dan kesungguhan di dalam melakukan sesuatu pasti mendapat ganjaran yang sewajarnya, insyaallah.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan anda yang sangat baik dalam Kuingin Bersamamu. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan.

Thursday, April 9, 2009

PotRet WaJah KekaSiH...


Tajuk Buku :Potret Wajah Kekasih
Penulis : Antasya Balkis
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


------------------------------------------------------------
“Di kala aku dipagari keliru, wajahmu hadir meleraikan kebuntuanku...”

Resensi Si Ungu:

Penulis ini saya kagumi hasil karyanya. Bersandarkan dua nama pena di persada dunia penulisan kreatif tanahair; Syamimi Aminolah dan Anatasya Balkis karyanya sentiasa ditunggu ramai. Saya melihat pendekatan yang berbeza diaplikasikan beliau tatkala berkarya menggunakan nama-nama pena berkenaan. Dibawah jenama Antasya Balkis karya beliau lebih ringan dan santai persembahannya. Saya mengharapkan sesuatu yang segar, suatu kelainan barangkali dari beliau namun apa yang dapat saya simpulkan tatkala usai membaca Potret Wajah Kekasih(PWK), saya tidak merasakan kenikmatan yang saya perolehi dari karya-karya beliau yang terdahulu. Naskhah kali ini begitu hambar saya rasakan. Perasaan kecewa itu tidak dapat saya nafikan kerana penulis ini adalah antara kelompok penulis kegemaran saya jadi pastinya harapan saya cukup tinggi pada tiap naskhah beliau.

PWK menyusuri perjalanan hidup Haryani Afifah anak yatim piatu yang dipelihara ibu saudaranya dan dibesarkan dengan seadanya. Hanya bila dia menolak jodoh yang diatur ibu saudaranya itu dan nekad melarikan diri di hari pertunangan dengan bantuan abang sepupunya Zaki, dia menjadi musuh yang sangat dibenci ibu saudaranya walau dia cuba memperbaiki hubungan tersebut. Zaki yang menaruh hati pada Haryani namun akur bahawa kasih Haryani yang terbatas kerana penolakan ibunya. Haryani yang bersahabat dengan Nadia diperkenalkan pada abangnya Faris Zakwan . Faris yang jatuh hati pandang pertama pada Haryani namun malu menyatakan perasaannya itu menerima akibat bila Haryani disunting abang sulungnya Nazrin yang berkenalan secara kebetulan dengan Haryani. Demi kebaikan keluarga yang memelihara dari kecil Faris akur melepaskan Haryani pada Nazrin. Nazrin yang kaki perempuan tanpa pengetahuan Haryani mempunyai seorang kekasih, Maya dan tindakan Nazrin yang curang dan mengahwini Haryani membuatkan Maya kecewa lantas merancang membalas dendam pada Nazrin. Pertengkaran yang terjadi membawa musibah bila Nazrin terkorban dalam kemalangan dan Haryani walau terselamat namun dia diduga dengan keadaan diri yang hilang ingatan!.

Mesej penulis dalam naratifnya kali ini menyimpulkan satu perkara tentang manusia yang adakala sukar atau mungkin tidak berupaya meluahkan perasaan sendiri pada insan yang dikasihi secara diam-diam. Kadangkala keputusan itu mungkin membawa kesan pada diri sendiri juga pada pihak yang satu lagi. Jika tidak diluahkan bagaimana mahu dipastikan jawapannya. Risiko pasti ada tapi adakala lebih baik begitu dari terus menerus memendam rasa. Naskhah ini turut menyimpulkan tentang satu perkara penting yakni, jodoh adalah suatu ketentuan yang pasti dari-Nya. Setiap yang terjadi pada setiap insan dalam perjalanan hidupnya juga kehidupan rumahtangganya pasti ada hikmahnya yang tersirat. Kalau Haryani tidak berkahwin dengan Nazrin, mana mungkin dia tahu perasaan sebenar Faris yang terpendam selama ini pada dirinya. Bagaimana mungkin dia lebih pasti tentang perasaannya pada Faris jika Nazrin tidak ditimpa natijah sedemikian.

Pergerakan naratif PWK tidak seratus peratus bersifat kronologi. Ada ketika teknik imbasan digunapakai namun cukup tersusun dsan bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas .Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik bertujuan mewarnai naratif ini.

Perwatakan yang dibina penulis di dalam PWK terutama pada watak Haryani adakala tidak statik. Kadangkala kita keliru denga pendirian Haryani terutama melibatkan hati dan perasaannya pada Faris dan Nazrin. Faris juga sedemikian. Mungkin ini faktor penyumbang kepada kelonggaran naskhah penulis kali ini. Kita sedia maklum watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah naratif. Kelemahan penulis mengolah setiap watak yang dicipta akan memberi kesan langsung yang cukup besar kepada persembahan naratifnya secara keseluruhan. Saya lebih cenderung menyatakan kejayaan penulis di dalam membina watak pembantunya. Nadia dan Zaki lebih cemerlang dipotretkan penulis berbanding teraju utama naskhah ini.

Buat saudari penulis, semoga komentar saya ini diterima dengan hati terbuka. Sebagai pembaca yang mengagumi baakat anda, anggaplah catatan ini sebagai cabaran untuk anda menghasilkan yang lebih baik dan hebat pada karya akan datang. Saya akan menunggu karya terbaru anda itu.

Sunday, April 5, 2009

CinTa kaU daN AkU...


Tajuk Buku : Cinta Kau dan Aku
Penulis : Siti Rosmizah
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


--------------------------------------------------------------

''terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah jiwa merana...''

Resensi Si Ungu:

Pemikiran yang cuba disematkan penulis menerusi karya keduanya ini ternyata masih tidak berubah seperti naskhah beliau yang pertama; Andai Itu Takdirnya. Kisah kehidupan berumahtangga yang melibatkan 2 kelas sosial ;'pipit' dan 'enggang' yang digarap dengan rempah ratus kisah cinta yang cukup beremosi untuk mengundang airmata pembaca, yang begitu melampau darjah melankoliknya, naratif yang cukup klise di mata pembaca. Saya memikirkan sebagai penulis, Siti mungkin akan mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan untuk karya beliau yang terbaru. Naskhah yang lebih mantap, yang lebih kuat tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Karya ini bagaikan ulangan kerjanya yang lalu dan naskhah ini tidak mencapai piawaian yang saya harap-harapkan. Ia masih ditakuk yang lama. Sewajarnya penulis juga editor lebih teliti dan halus di dalam menterjemahkan naratif ini agar kerja seni ini tampak lebih menarik untuk dibicarakan.

Cinta Kau dan Aku(CKDA) menyelongkar kisah kehidupan seorang gadis lasak pintar; Nur Farisya Iman @ Risya yang mempunyai impian menjadi pemandu. Impian Risya tercapai bila dia ditawarkan jawatan pemandu peribadi pada seorang CEO muda; Farish Hakim. Pertemuan yang tidak disengajakan itu melahirkan cinta pandang pertama Farish pada Farisya. Hubungan yang makin akrab kerna keserasian Farish dengan sifat lurus , tulus juga keselambaan Risya makin melebarkan rasa kasih Farish pada Risya. Keuzuran yang menimpa ibu Risya di kampung dan huluran bantuan segera dari Farish telah membuka lembaran baru dalam kehidupan Risya bila dia diminta ibunya mengahwini Farish selepas selesai ibunya menjalani pembedahan. Risya yang terpaksa akur membuat rencana bersama rakan karibnya, Zack Kapcai dan Zamilah untuk mengelak dari berkahwin dengn Farish, namun rencananya terbongkar tanpa pengetahuannya dan selesai majlis ijabkabul dia dikejutkan dengan penampilan Farish sebagai suaminya!. Akur dengan suratan takdir, perkahwinan dilalui dengan redha namun sikap cemburu yang keterlaluan suami, ego, panas baran ditambah kemunculan adik ipar dan bekas tunangan suami memburukkan lagi suasana rumahtangga. Fitnah yang diatur kedua wanita itu akhirnya meleraikan ikatan perkahwinan yang baru berusia 5 bulan dan penceraian juga tragedi keguguran yang menimpa telahmembuka lembaran baru dalam hidup Farisya. Dia bangkit membina hidup baru.6 bulan berlalu, Farish kembali dan pertemuan secara tidak sengaja dengan bekas isteri akhirnya membawa kepada rentetan pembongkaran pakatan keji yang membawa kepada keruntuhan mahligai mereka dahulu. Farish yang insaf, sedar ingin kembali, namun Farisya yang sudah parah jiwa nya sudah tertutup pintu hati untuk memberi ruang untuk Farish kembali bertakhta.

Pembinaan perwatakan dalam CKDA bagi saya sangat rapuh. Watak Farisya walau dibina untuk meraih simpati pembaca sangat tidak statik. Watak dan perwatakan perlu selari bagi mengukuhkan peranannya didalam sesebuah naratif yang dibina penulis. Sayangnya saya tidak melihat ini pada watak Farisya yang diangkat sebagai teraju utama dalam CKDA. Farisya agak goyah perwatakankannya didalam sesetengah adegan/peristiwa. Jika sudah ditetapkan dia wanita lasak, berani, teguh pendirian maka ia perlu dibuktikan menerusi kemantapan perwatakan tersebut didalam jalan cerita. Begitu juga jika penulis mahu menggambarkan Farisya sebagai simbol insan yang bangkit kesan dari peristiwa pahit yang menimpa diri, membina azam maka penulis wajar memanipulasi watak Farisya kearah itu dan bukannya dengan mengkucar-kacirkan wataknya dengan peristiwa-peristiwa yang tidak langsung menyokong kekuatan pembinaan watak tersebut. Melihat pada watak dan perwatakan Farish, ia bagaikan ulangan pada watak dan perwatakan Syed Aizil; Andai Itu Takdirnya. Lelaki berkedudukan dan berpelajaran tinggi merangkap suami yang ego, panas baran, kaki pukul. Satu kesamaan yang tidak sewajarnya berlaku. Saya tidak pasti samada penulis mahu mencipta satu trademark dalam karya beliau dengan pembinaan watak-watak yang mempunyai sifat dan peribadi yang hampir sama. Saya lebih cenderung menyukai watak Zack Kapcai yang lebih kuat perwatakannya walau dia hanya dicipta sebagai watak pembantu sahaja. Watak antagonis Farah Haleeda dan Suraya tidak langsung ’menakutkan’. Kedua-dua watak hitam ini sangat klise sifatnya. Pembaca bagai boleh membaca pergerakan mereka. Tiada langsung debaran.

Plot naratif ini berjajaran kronologi. Jalan cerita dipersembahkan secara terus menerus. Teknik flashback ada digunapakai di dalam perjalanan cerita tapi cuma sedikit sahaja. Laras bahasa yang diaplikasikan penulis didalam naskhah ini adalah bahasa pertuturan biasa. Ringkas dan mudah difahami.

Mesej penulis di dalam naskhah ini sedikit kabur walaupun secara dasar saya berpendapat penulis sebenarnya ingin menyampaikan tentang perilaku manusia yang adakalanya tika bertindak tidak menggunakan akal waras tapi lebih terdorong oleh tolakan dan hasutan emosi yang bakal menjerumuskan diri sendiri jika tidak bijak mengendalikannya. Manusia juga mudah lupa satu perkara, dalam berkata-kata, biarlah berpada-pada, gunalah akal tika berbicara kerna terlajak kata dan perbuatan, maka kesannya cukup besar pada kehidupan insan itu sendiri.

Buku adalah lakaran masa hadapan generasi muda negara. Ia menjadi platform penulis menyalurkan wadah penaan mereka untuk tatapan dan pengetahuan masyarakat pembaca khususnya pada generasi muda yang membentuk komposisi terbesar khalayak pembaca khususnya genre penulisan kreatif. Justeru, penulis mempunyai tanggungjawab sosial yang cukup besar di dalam menjalankan peranannya menyalurkan karya-karya yang dapat memberi inspirasi, membentuk jatidiri yang mantap juga membina sahsiah diri yang positif. Janganlah dimomokkan mereka dengan naskhah-naskhah yang tidak membina.

Buat penulis, masih ada ruang untuk anda memperbaiki lompang-lompang kekurangan pada mutu karya anda. Anda punyai bakat yang baik dan mampu cemerlang jika digilap dengan baik. Memanipulasikanlah bakat yang ada dengan sebaik mungkin. Banyakkan membaca dan belajar dari penulis-penulis senior yang tersohor. Lontarkan idea hebat yang dapat mengukuhkan industri penulisan kreatif ini agar tidak dipandang sebagai kolam lambakan karya-karya pop @ picisan berstatus rendah. Semoga anda maju jaya dan akan terus gigih berusaha menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.