Tajuk Buku : Cinta Hari-Hari Rusuhan
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Creative Enterprise
Harga : 15.90
Cetakan Pertama : 2000
Genre : Historical Fiction
Bintang : 5
-----------------------------------------------------
"Hidup memang bukan mudah dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih bermakna sebagai manusia.."
Kata Kucc
Memetik kata penulis didalam sebuah laman blog "..Saya memang tak redha dengan kulit buku itu sampai mati." Tersenyum juga membaca kata-kata beliau. Hakikatnya bukanlah kulit buku ini yang akan saya perkatakan biarpun tercuit juga rasa dihati bila melihat aksi dikulit yang jelas tidak selari dengan personaliti sang penukil cerita didalamnya. Nak disalahkan sang pelukis pun tidak boleh juga. Mungkin dia cuma melakarkan apa yang dimahukan oleh sang penerbit.
Novel ini dikatakan didasari dari cerpen tersohor tulisan penulis yang dihasilkan pada tahun 1996. Cerpen berjudul "Api KL Belum Padam" yang disiarkan didalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Disember 1996 yang juga telah diangkat sebagai pemenang hadiah utama kategori cerpen bagi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1996. Kisah cinta watak utama; Basri dan Tengku Valizah (Val) yang diabadikan didalam cerpen ini dikembangkan perjalanan kisahnya didalam novel ini.
Cinta Hari-hari Rusuhan (CHHR) mengangkat peristiwa gerakan pelajar era 70-an di Institusi pengajian tinggi yang berpusat kumpulan utamanya di Universiti Malaya. Perjalanan cerita menelusuri perjuangan, aturan strategi, dokumentasi tragedi juga cetusan bibit-bibit cinta didalam kegawatan rusuhan yang mengheret sebuah catatan sejarah luka yang berpanjangan melangkaui dua dekad. Basri, Tengku Valizah juga Basariah adalah catatan duka sebuah sejarah cinta dua dekad yang tercalar.
Bahasa penulis usah dipersoalkan. Hebat dimanupulasi hingga menyerlahkan kekuatannnya dengan gayanya yang tersendiri. Lenggok bahasa jelas memperlihatkan jati diri penulis sendiri yang menyala-nyala semangatnya. Plot cerita biarpun tidak mengikut arus biasa yakni melompat dari satu daerah latar masa ke dearah masa yang lain, anehnya pembaca tidak hilang dalam lohongan perbezaan waktu. Jalan cerita jelas tidak kompleks namun berjaya dijalin kemas signifikasinya yang memperlihatkan kesinambungan fragmen cerita yang berkait rapat antara satu sama lain. Plot dua zaman ini hebat ditangani penulis sehinggakan kita alpa seketika kala mengundur masa menjejak langkah Basri dan Tengku Valizah dizaman manis mereka...zaman semangat anak muda yang berjuang demi memperjuangkan nasib golongan miskin yang dinafikan haknya atas tiket pembangunan.
Menyusuri perwatakan Basri yang menunjangi naskhah ini selaku teraju utama, tidak dapat tidak kita bagaikan melihat diri seorang Hishamuddin Rais pada profil Basri. Sebagaimana aktifnya Basri didalam gerakan pelajar, begitu juga Hishamuddin. Siapa yang tidak kenal tokoh pelajar paling terkenal di tahun 70-an ini. Lantang suaranya masih terngiang-ngiang pada yang pernah hidup sezaman dengannya. Hebat pengaruhnya digeruni pemerintah. Penglibatan Basri didalam beberapa siri perjuangan pelajar membela nasib rakyat, pernah ditahan reman hinggalah kepada catatan penting sejarah tanahair yakni demonstrasi besar-besaran golongan pelajar yang bangkit membela golongan petani-petani miskin di Baling yang membawa kepada tangkapan besar-besaran oleh kepimpinan kerajaan ketika itu. Tindakan yang menyebabkan beliau terpaksa bertindak melarikan diri ke luar negara demi mempertahankan haknya sebagai manusia bebas persis sekali seperti yang terjadi pada Hishamuddin. Seperti Basri yang lama menetap ke tanah ratu sebelum kembali ke tanahair, tokoh pelajar ini juga begitu. Kedua-dua juga meminati muzik. Mungkinkah Basri itu Hishamuddin Rais?..
CHHR kisah perjuangan. Perjuangan diri watak-watak utama yang menerajui naskhah. Melankolik naskhah ini banyak disumbangkan oleh imbasan kembali catatan-catatan duka Basri dan kekasihnya Tengku Valizah. Dua hati, dua jiwa yang terpisah dan dipisahkan akibat desakan dan tuntutan keadaan semasa yang begitu zalim. Yang pastinya kisah Basri penuh buih-buih kepiluan yang menyentuh perasaan. Siksa dan derita yang ditanggung Tengku Valizah selama dua dekad meruntun jiwa. Namun atas semua lipatan sejarah pilu kedua-dua insan malang ini yang terbongkar ditangan Basariah, pengorbanan si manis ini paling luhur...paling istimewa. Ketiga-tiganya sama...menemui cinta di kala hari-hari rusuhan.
Meminjam sebaris kata-kata Hishamuddin Rais...hanya anak muda sahaja yang dapat mengubah dunia kerana dunia akhirnya kepunyaan anak-anak muda. Bacalah naskhah hebat penulis ini untuk menyusuri rakaman hari-hari rusuhan di alam mahasiswa yang tak mungkin akan berulang sampai bila-bila. Lihat dan tataplah semangat anak-anak muda yang jitu semangat kental jiwa demi sebuah perjuangan. Demi sebuah keadilan.