Blogger Templates

Wednesday, October 29, 2008

PaNggiL aKu DahLiA


Tajuk Buku :Panggil aku Dahlia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre: Kekeluargaan (Cinta & Kasih Sayang)

------------------------------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:

“ kata ayah tentang teh:

tea brightens morning, refreshes afternoons and warms nights…”
------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cabaran getir bagi setiap penulis tatkala menghasilkan karya terbaru cuma satu; mampukah karya berkenaan mengatasi karya mereka yang terdahulu.Bukan mudah untuk mencapai piawaian dan kehendak pembaca kerana sebagai pembaca kehendak mereka adalah pelbagai, tidak terbatas dan mereka hanya mahukan yang terbaik dari setiap sen yang mereka keluarkan. Maka, inilah tanggungjawab yang harus dipikul dan terbeban di bahu setiap penulis tatkala ingin merealisasikan kehendak itu. Dan ia ternyata bukanlah satu tugas yang mudah.

Sebagai seorang penulis yang cukup berpengalaman di arena dan pentas penulisan kreatif tanahair, kehebatan cetusan idea dan pena Noor Suraya tidak perlu dipersoalkan lagi. Beliau ternyata begitu teliti dan peka dengan apa yang berlaku di dalam masyarakat pembaca tatkala mengerah idea demi melahirkan sebuah karya baru yang benar-benar hebat, berkualiti dan mencapai aras piawaian yang dikehendaki pembaca. Kelahiran novel terbaru beliau yang juga novel kelapan nukilannya ternyata cukup kuat menggamit para pembaca,peminat juga pencinta novel tanahair untuk sama-sama duduk dan menghayati satu kisah, satu cerita yang sungguh dekat dengan kehidupan kita.Satu lagi kejayaan diulangi oleh si pemilik nama Noor Suraya ini.

Panggil Aku Dahlia (PAD), sebuah karya cantik hasil cetusan idea beliau yang tidak perlu dipersoalkan lagi kehebatan pena saktinya tatkala berkarya. Cantiknya PAD pada pandangan saya tersimpul dari cara penulis menggarap cerita ini menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja indah laras bahasa dan persembahannya, namun yang lebih utama isi dan mesejnya cukup terkesan di jiwa tatkala membacanya. Banyak pengajaran berguna yang ditabur olehnya untuk kita kutip sebagai renungan dan panduan. Ada ketika rasa sendu pasti singgah di jiwa melihat perjalanan hidup Putri Dahlia @ Dahlia, watak utama dalam PAD ini yang tidak seindah pelangi. Ada ketika pula senyum dan tawa bertamu di bibir melihat perang teluk antara Dahlia dan musuh tradisinya; Wadi Hannan @ Wadi yang tak kunjung padam. Lucu sekali.

Penulis yang lebih mesra dengan panggilan kaksu ini cukup bijak menebak fikiran dan naluri pembaca yang ketandusan cerita-cerita yang bertunjangkan tema dan mesej mantap tetapi disampaikan dengan cukup puitis, penuh pesona tapi cukup bersahaja. Kehebatan karya terdahulu kaksu, Surat Ungu Untuk Nuha(SUUN) ternyata berjaya diulangi PAD malah ia jauh lebih baik dari setiap aspek; baik persembahan, plot/jalan cerita juga tidak ketinggalan sisipan mesej-mesej berguna yang menyulaminya.

Penggunaan elemen-elemen bahasa yang cantik kerapkali digunapakai di dalam PAD dan ternyata ia sangat mempengaruhi mood pembaca untuk terus terpesona mengikuti perjalanan kisah si Putri Dahlia Megat Qais ini. Kaksu ternyata cukup pintar mengolah kata-kata manis yang penuh personifikasi dalam memakukan pandangan dan minda pembacanya agar tidak terkalih perhatian mereka pada yang lain, tapi hanya pada PAD hingga ke noktah terakhir. Sebagai penulis wanita, cara pengungkapannya lebih halus kerana penulis wanita lebih handal mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas berbanding penulis lelaki…(pendapat saya lah, hehehe)

Saya cukup tertarik dengan teknik suntingan dalam PAD ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan plot cerita yang bukan bersifat jajaran kronologi langsung. Tanpa suntingan yang teliti, imbasan kembali yang dicuba dibawa pasti mengganggu tumpuan pembacaan dan ia pasti menjejaskan mood pembacaan. Kaedah yang digunapakai dalam PAD untuk pembaca kembali ke zaman persekolahan Dahlia, zaman permulaan tercetusnya perang gerila antara Dahlia dan Wadi digarap dengan cukup halus, teliti dan cemerlang sekali sehingga kita tidak sedar kita sedang dibawa ke masa lampau Dahlia.

Jika diperhalusi, kekuatan PAD terletak pada penceritaannya sendiri. MemangIah jika dilihat secara kasar, penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru, namun penulis bagi saya jauh ke hadapan kerana berjaya membentuk satu kesatuan paling integral yang cukup harmonis antara cerita dan penceritaan. PAD membawa pembaca menyusuri perjalanan masa lampau dan kini seorang Putri Dahlia Megat Qais yang disulami pelbagai catatan suka duka, pedih lara yang diungkap dengan permainan kata-kata juga bahasa tubuh yang cemerlang. Perwatakan 2 pendukung utama PAD ini juga istimewa. Saya seperti terpandang Nuha(SUUN) pada Dahlia, terkilas Alang(SUUN) di mata Wadi namun Dahlia jauh lebih ganas, lebih brutal dari Nuha, dan Wadi pula lebih sedikit akal jahatnya dari Alang. Yang nyata persembahan mereka sangat-sangat cemerlang.

Latar cerita yang mengabadikan Tanah Tinggi Cameron sebagai lokasi utama cerita diadaptasikan ke dalam PAD dengan cukup teliti. Ketelitian inilah yang membentuk satu gerak kerja yang menghasilkan gambaran sinematografi yang membanggakan walau cuma dizahirkan dilayar kertas. Kreativiti penulis benar-benar terpamer di sini.

Untuk Noor Suraya a.k.a kaksu yang sangat-sangat saya kagumi bakat penulisannya, sekalung tahniah atas persembahan hebat dan mantap anda dalam Panggil Aku Dahlia. Ternyata pengorbanan anda dalam menghasilkannya cukup berbaloi sekali. Semoga kaksu akan terus berkarya, terus mencurah dan berkongsi idea dan cerita hebat cetusan minda kreatif anda dengan kami, para pencintamu. Terima kasih juga kerana “mengundang” kami membuat penampilan cameo dalam PAD(kaksu tau siapa kami itu kan…hehehe).

Buat pembaca budiman di luar sana, jika anda mencari-cari satu kisah, satu cerita yang akan meninggalkan satu kenangan manis yang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat, maka Panggil Aku Dahlia adalah jawapannya.

Tuesday, October 21, 2008

NaBiLa & NaBiLa 2


TAJUK BUKU : NABILA & NABILA 2
HASIL NUKILAN : HENDAN YAHYA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 1998 & 2000
HARGA : RM14.90
GENRE : KEKELUARGAAN & ROMANTIK
----------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


Agak lama barulah saya dapat kedua set lengkap novel Nabila ini. Proses mencari agak sukar bila salinan Nabila sukar saya temui malah di syarikat ia diterbitkan juga telah tiada langsung salinannya. Rata mencari akhirnya ketemu juga di satu laman web yang menjual novel-novel dan saya bernasib baik sebab memang itu satu-satunya salinan yang tinggal...alhamdulillah...dan barulah lega dan bersemangat untuk membacanya.

Kisah yang dipapar dalam Nabila dan sequelnya Nabila 2 bukanlah sesuatu yang baru. Kisah perkahwinan paksa, perkahwinan yang diaturkan, perkahwinan antara 2 darjat sosial yang kemudiannya dilanda badai sudah cukup biasa dengan halwa mata kita sebagai pembaca.Cuma yang membezakan bagaimana karya itu digarap oleh sang penulisnya hingga menjadikan ia sedikit berlainan dan istimewa.Kisah Nabila & Nabila 2 menjadi indah dibaca hasil kecemerlangan penulisnya menggarap tema yang stereotaip dengan teknik penulisan yang berbeza dan ternyata ia seronok dihayati.

Plot cerita tersisip unsur imbas kembali yang nyata digunapakai demi mengguatkan lagi jalan cerita.Daris egi perwatakan, saya agak keliru dengan perwatakan Nabila.Tidak statik.Dia boleh digambarkan dalam 2 sikap yang berbeza dalam satu-satu masa. Berbeza dengan Hadi yang nyata lebih jelas dan telus perwatakannya dari awal hingga akhir. Begitu juga watak Zaki yang dilihat lebih baik dipotretkan oleh penulis.

Saya mengagumi karya-karya penulis ini dan sudahpun membaca karya terbaru beliau, Ku Gapai Kasihmu. Semoga kan terus cemerlang berkarya di persada seni kreatif tanahair.

BunGa SyurGa


TAJUK BUKU : BUNGA SYURGA
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM23.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : ROMANTIK & KEKELUARGAAN

---------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


‘..mata adalah gambaran hati…bila mata bertentang, jantung dan jiwa turut bertemu..dan cinta pun bersemi..’
---------------------------------------------------------------------------------------------
Bunga Syurga buah tangan terbaru Anita Aruszi ini ditunggu-tunggu masuk ke pasaran kerana beberapa faktor. Satu darinya adalah kontroversi sebuah novel penulis ini; Sakti Cinta yang mengalami sedikit masalah penerbitannya. Novel yang diterbitkan pada Pesta Buku Antarabangsa 2008 lepas dan hanya dicetak dalam jumlah yang terhad ternyata gagal memenuhi permintaan dikalangan pencinta novel tanahair khususnya para peminat penulis ini sendiri. Kekecewaan pembaca terhadap apa yang terjadi pada Sakti Cinta terubat juga dengan kelahiran novel terbaru penulis, Bunga Syurga dan ternyata Anita tidak menghampakan. Seindah judul, begitu juga isinya. Hebat sekali Bunga Syurga ditangan si pendidik berbakat besar kelahiran Darul Iman ini.

Melihat judulnya, ia membawa makna sebuah kisah romantik. Bunga dan Syurga lebih sinonim dengan unsur-unsur romantik mengikut resam masyarakat penggemar novel tanahair. Tetapi lupakan seketika judul cerita ini kerana isi kandungannya memberi peluang kita menyusuri sebuah kisah kehidupan yang begitu menarik digarap. Barangkali ada yang mengganggap cerita ini mengulangi stereotaip beberapa kisah yang pernah singgah dipasaran sebelum ini. Kisah cinta tiga penjuru atau perebutan oleh dua lelaki terhadap seorang wanita serta elemen-elemen cemburu yang menjadi perantara antara ketiga-tiganya. Mungkin telahan anda benar. Ia sebuah cerita yang mengemukakan isu yang bukan baru. Tetapi yang menarik dan istimewa Bunga Syurga terletak pada kemampuan penulis menyusuri kalbu seorang wanita dan seorang lelaki yang bergelut dengan kecamukan dalaman perasaan mereka dengan penggunaan ekspresi rasa di kalbu mengatasi luahan kata-kata . Dari lakar gerak tubuh, sudut mata serta figura cinta yang diekpresi menerusi olahan berkesan bahasa “sinematografi” penulis yang penuh beremosi, penuh personifikasi.

Romantik adalah antara genre terawal dalam sejarah penulisan kreatif. Romantik menjadi unsure tarikan untuk membawa pembaca menyusuri kalbu watak-watak yang dibina penulis sekaligus alam bawah sedar mereka sendiri, belayar dan menggapai sesuatu yang ideal dalam hidup. Romantik juga menjadi semacam eskapisme untuk melupakan sejenak kisah pedih lara di alam reality dan penamat kisah romantic selalunya memberi harapan yang terang, gembira dan ternyata Bunga Syurga juga memberikan rasa yang sama pada pembaca tatkala menoktahkan pembacaan.

Plot cerita romantik selalunya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Pengemukaan tema pertentangan dan perebutan cinta yang kemudiannya dibina dengan penuh dramatik sekali untuk memagut perhatian pembaca adalah yang paling popular. Justeru itu, tema cinta tiga penjuru juga bukanlah suatu yang baru kecuali di dalam Bunga Syurga ia diberikan pendekatan yang baru oleh penulis dari sudut naratif dan kekuatan noveliknya. Biarpun bertolak daripada tema yang sama, kekuatan naratif yang diperhalusi penulis dengan baik ditambah persembahan “sinematografi” yang indah, cinta tiga segi dalam Bunga Syurga tidak terasa lapuk atau ketinggalan zaman.

Jangan berharap anda akan bertemu frasa, rangkaian ungkapan ayat-ayat cinta yang keterlaluan, bombastik, basi dan memualkan di naskhah ini. Saya fakir penulis-penulis kita sudah bijak belajar untuk meminimumkan pembaziran ungkapan dan luahan kata-kata yang bukan sahaja tiada makna tetapi tiada jiwa. Laras bahasa dalam naskhah ini tetap indah dan cantik di mata dan sedap dibaca walau tanpa bahasa-bahasa yang meliuk-meliuk.Malahan lebih menarik, Bunga Syurga sedikit terkeluar daripada lingkungan stereotaip apabila naskhah romantik ini amat kurang menggunakan ucapan cinta tetapi pembaca mengerti dan faham malah terasa ayunan romantisme yang dihidangkan penulis kepada mereka.

Aspek perwatakan memperlihatkan kecemerlangan Nurul Hijjaz yang mengatasi Riffki Aidan. Watak Hijjaz bagi saya lebih cemerlang digarap penulis berbanding Riffki yang adakala seperti terperangkap dengan wataknya sendiri. Sukar menelaah perwatakan Riffki yang berubah-ubah, tidak statik.Konflik yang melingkari kehidupan kedua-dua tunjang utama Bunga Syurga ini dalam mencari identiti sebenar mereka sedikit mencacatkan persembahan cemerlang penulis. Bagi saya, tidak perlu memberatkan naskhah indah ini dengan kisah-kisah keluarga yang bersimpul-simpul begini (konflik antara Datuk Amirudin, Hazmin Iskandar dan datuk Hijjaz) yang sedikit sebanyak akan menggurangkan tumpuan pembaca. Lebih bahaya jika konflik yang dicipta gagal diselesaikan penulis. Akibatnya, pembaca akan tertanya-tanya.

Aspek suntingan dalam Bunga Syurga harus diberikan pujian apabila berjaya mengadunkan pergerakan cerita dengan tempo suntingan yang selari, tidak bercelaru yang akan menjejaskan perjalanan cerita.

Sebagai pembaca, saya mengharapkan penamat yang lebih metafora warnanya buat Nurul Hijjaz dan Riffki Aidan. Setelah mengharungi pelbagai rupa dan bentuk kepayahan untuk bersatu sekelumit penutup cerita begitu sedikit mengecewakan apatah lagi dalam menoktahkan kisah yang dimulai dengan indah sekali dan diadun sebegitu cantik begini.

Kepada penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam penghasilan Bunga Syurga. Semoga akan terus hebat menarikan pena anda di persada seni kreatif tanahair. Jutaan terima kasih kerana mencoretkan penghargaan anda pada Geng Kicap dan saya di naskhah Bunga Syurga ini.Kepada pembaca yang menggemari sebuah kisah, sebuah novel yang sentimental, cantik persembahannya, maka Bunga Syurga adalah pilihan yang tepat buat anda.

Sunday, October 19, 2008

DoA UnTuK AkU


TAJUK: DOA BUAT AKU
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD

CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM22.90
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU


“…Doa itu Allah makbulkan dengan pelbagai cara…Allah sudah menjelaskan dalam Al-Quran. Berdoalah kepada-Nya, Dia akan tunaikan. Paling penting, jangan putus harapan dengan rahmat Allah. Selagi kita bersangka baik dengan Allah, selagi itu rahmat Allah terbuka luas...”
-------------------------------------------------------------------------------------
Sejak kecil kita sering mendengar ia disebut, ia dilafaz.… 3 huruf yang membentuk perkataan hikmat ini, dal wau ain sering kali singgah dan dibisik di telinga, ditanam di hati, disemai dijiwa.tentang kuasa yang dimiliki disebalik perkataan itu.Akan.tetapi sejauhmanakah pemahaman kita tentang pengertian, konsep dan amalannya. Mungkin tidak semua di kalangan kita benar-benar memahami kaedah sebenar dan tertib yang betul tatkala mengamalkannya agar ia benar-benar “berkuasa”. Dalam naskhah setebal 436 mukasurat ini, penulis membentangkan kepada kita sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang atau mungkin kita juga tidak tahu sebelum ini tentang apa itu Doa dan makna disebalik perkataan ini.

Dengan mengekalkan resipi dan ramuan dari bukunya yang pertama; Dunia Ini Sederhana Kecil, Doa Untuk Aku (DUA) ditangan penulis yang sama cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak.

Melihat pada tema dan mesej cerita tentang misi pencarian 40 Doa watak utamanya; Adly yang kemudian dipisahkan mengikut sub golongan sasaran bukanlah suatu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita. Penilaian terhadap sesuatu karya yang baik dari kacamata saya mudah sahaja. Penulis yang baik akan mampu mengadaptasi satu cerita yang berat atau kompleks tema/mesejnya menjadi satu cerita yang cukup ringan dan mudah diterima pembaca menerusi teknik penyampaian dan laras bahasa yang dipilih. Penulis naskhah ini bagi saya telah berjaya mencapai misi tersebut.

Perwatakan dalam DUA banyak mengingatkan saya pada karya penulis yang pertama. Ada banyak persamaan yang terpalit dalam Adly dan Syamir. Sebagai peneraju utama watak Adly ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Sebagai peneraju utama Adly hebat ditangani penulis.Misi pencarian 40 doa oleh Adly begitu cantik dilayarkan penulis walaupun secara bersahaja dan insiden-insiden lucu yang tercipta samada secara sengaja atau tidak dalam perjalanan Adly mencapai misi tersebut cukup hidup digambarkan penulis.Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Kassim, Amin bin Damit, Sarah, Zulaikha, Jefri, Elizabeth yang turut cemerlang dipaparkan bagi memantapkan jalan cerita DUA ini. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Walau ada sedikit kesilapan cetakan nama watak yang menuturkan dialog ia tidaklah menjejaskan jalan cerita Cuma diharap pihak editor lebih peka kerana perkara yang sama pernah terjadi dalam karya pertama penulis ini.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis atas kelahiran novel kedua anda ini dan ternyata banyak peningkatan telah anda pamerkan. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Dua Untuk Aku ternyata tidak akan sesekali mengecewakan anda kerana sebagai pembaca anda lebih tahu. Hanya Jauhari yang lebih mengenal Manikam.

Sunday, October 12, 2008

CaHaYa Di HuJunG NyaWa



TAJUK BUKU : CAHAYA DI HUJUNG NYAWA
HASIL NUKILAN : MAIZURA MOHD EDERIS
PENERBIT : CREATIVE ENTERPRISE SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM 22.90
GENRE : DRAMA
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


Madah pujangga yang menjadikan lautan nan luas sebagai saksi sebuah kehebatan dan keagungan cinta antara 2 insan bergelar lelaki dan perempuan dipasakkan penulis sebagai inti utama sebuah kisah yang dipaparkan di naskhah terbaru beliau ini. Sebuah kisah yang juga menggabungkan elemen cinta, maruah, perjuangan atas sebuah penindasan dan pengkhianatan. Walau ia sebuah kisah percintaan uda dan dara yang "biasa-biasa" aje namun penggarapan yang cemerlang penulis berpengalaman ini dengan menyelitkan elemen plot yang begitu berwarna warni sifatnya membuatkan kisah cinta ini nampak sedikit luar biasa dari biasa.

Saya sukakan cara penulis membina watak Hud Ahmad. Walau dengan serba kekurangan yang sangat nyata, dia tidak sedikit kalah dengan keadaan tersebut. Semangat juangnya cukup mengagumkan maka sememangnya cantik dia dipadankan dengan si Mutiara yang tulus dan mulus hatinya walau berlatar belakangkan sebuah keturunan yang gah kedudukan materialnya. Perwatakan Mutiara @ Tiara cukup sederhana pada awalnya namun keindahan wataknya hanya dapat diserlahkan tatkala dia dipisahkan dari suaminya, Hud. Disini, watak Tiara dibina menjadi seorang wanita yang waja dalam kelembutannya.Cantik sekali. Watak-watak pembantu juga cemerlang dipaparkan penulis. Antara Irna, Aiman, Imran dan Putera saya sukakan watak Imran dan Putera yang antagonis. Persembahan mereka cukup cemerlang maka saya agak kecewa bila watak kedua-dua pemuda ini dibiarkan begitu sahaja tanpa dinoktahkan...mungkin penulis ada strategi yang akan dirangka di masa depan, siapa tahu kan...saya pun berharap begitu...hehehe

Plot kisah ini dibina dengan begitu berwarna-warni dan inilah elemen yang mencantikkan kisah ini. Rentetan dari sebuah cerita ke sebuah sub cerita digarap dengan begitu teliti agak tidak terpesong dari fokus pembaca. Sebagai penulis berpengalaman apatah lagi berpengalaman sebagai penulis skrip drama ( maaf kalau fakta saya terkhilaf) semestinya beliau lebih arif faktor yang dapat mengindahkan perjalanan sesebuah cerita. Di sini lah kemahiran itu diaplikasikan sepenuhnya oleh beliau. Dari sebuah kisah, sebuah cerita yang ringan untuk santapan minda semua lapisan masyarakat penulis berjaya mengekalkan ciri-ciri kemanisan, keindahan perasaan menyintai dan dicintai antara sesama insan hingga elemen ini menjadi tiang penyokong untuk naskhah ini berdiri utuh pada kelasnya yang tersendiri.

Buat penulis, sekalung tahniah. Satu persembahan yang berlainan dalam paparan kisah cinta yang biasa dilonggokkan di pasaran. Buat pembaca budiman, naskhah ini berbaloi menduduki rak buku peribadi anda.

Thursday, October 9, 2008

KrisTaL BerBunGa BaTu


TAJUK : KRISTAL BERBUNGA BATU
KARYA NUKILAN : SITI ZABEHA HASHIM
PENERBIT : FEDERAL PUBLICATION
CETAKAN PERTAMA : 2003
HARGA : RM 25.00
GENRE : DRAMA & KEKELUARGAAN
---------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU :

Arca kehidupan manusia secara dasarnya disirami dengan rangkaian warna pelangi. Kadangkala indah, kadangkala ceria..adakala ia suram, kelam, malap...paling menakutkan bila ia bertukar menjadi gelap, tapi itulah realitinya...sebagai manusia walau apa pun jua warna yang mendekati, terima lah dengan penuh rasa syukur kerana setiap yang menimpa pasti ada hikmah yang tersurat.
Menerusi karya ini, penulis berbakat ini cuba mengupas isu kasih sayang...dengan isu sisipan utama persoalan berkongsi kasih-sayang. Menggunakan 2 watak utama wanita sebagai peneraju cerita; Maisarah dan Shafira penulis cukup hebat menyusuri dan membentangkan pergolakan dalaman berhubung persoalan kasih sayang yang dialami 2 watak utama ini. Maisarah dan Shafira punya kisah, punya cerita yang berbeza namun warnanya tetap sama.
Persoalan perkongsian kasih-sayang yang ditonjolkan penulis dalam karyanya ini bukan hanya melibatkan antara si isteri dan si suami tapi melangkau juga dalam hubungan si ibu, si bapa dengan si anak juga keluarga. Kata pepatah, kita akan bahagia bila melihat insan yang kita kasihi bahagia walaupun bunga kebahagiaan itu bukan dari kita sumbernya. Yang penting keikhlasan dalam pengorbanan yang dihulur pasti dibalas dengan sewajarnya.Walau isu yang diutarakan penulis ini agak berat penerimaanya, tapi itulah realiti kehidupan di luar sana.Kisah kasih sayang seringkali merantai manusia, mengheret jiwa dan hati manusia hingga adakala menggadai kewarasan minda tika bertindak.
Saya sukakan cara penulis membina watak Maisarah. Wanita berkerjaya yang lemah lembut, isteri yang ideal, pendiam, pemaaf tapi juga pendendam. Cara Maisarah berhadapan dan menyelesaikan permasalahan antara dirinya dan suami, Nazir digarap dengan cukup cantik, menyentuh perasaan dan ternyata saya sungguh sukakan cara ia dinoktahkan..padan muka si Nazir!!

Shafira pula begitu cemerlang dibangunkan penulis dengan imej wanita baik yang sangat sukar ditemui di alam realiti...mungkin ada insan sebegini, tapi boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Pengorbanan Shafira sangat menyentuh hati nurani. Demi kasih pada seorang kawan Shafira rela bergelar ibu walau dirinya belum menerima lafaz ijab dan kabul. Namun kawan itu jugalah yang akhirnya tega mengkhianati janji dan sumpah yang dimeterai...zalimnya manusia hingga lupa yang hak tetap akan kekal pada yang berhak.
Begitu juga watak pembantu seperti Fatiha, Fatin, Nurul Fatimah, Ahmad Harith juga Ahmad Firdaus yang menjadi pemanis dan pelengkap cerita. Namun begitu, saya fikir penulis tidak perlulah menambah terlalu banyak watak sampingan yang sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan juga fokus pembaca dalam menghayati cerita...
Plot kisah berkembang secara kronologi dalam menggerakkan cerita. Penggunaan bahasa yang digunakan penulis ini bagi saya cukup indah dan mengesankan sekali. Unsur dan imej personifikasi dan metaforanya cukup cemerlang...mungkin disokong latar belakang pengajian penulis ini sendiri.
Buat empunya nama, Siti Zabeha Ibrahim sekalung tahniah buat anda.Mengikuti susur galur penulisan anda membuatkan saya begitu mengkagumi lontaran pandangan, ilham juga corak pemikiran anda dalam mengupas sesuatu isu dalam masyarakat yang diangkat sebagai tema dan mesej cerita. Buat pembaca, karya ini tidak rugi anda miliki. Banyak ilmu dan pandangan bermanafaat yang dikongsikan penulis buat menambah pengetahuan juga teladan.

Sunday, October 5, 2008

KemBaLikan CinTaKu


TAJUK BUKU : KEMBALIKAN CINTAKU
KARYA NUKILAN : NORHAYATI BERAHIM
PENERBIT : NB KARA
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM24.00
GENRE : CINTA & KEKELUARGAAN
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


Wang bukanlah kuasa yang boleh memberi dan membeli segala-galanya dalam kehidupan manusia di dunia ini.Wang juga bukan penunjuk dalam menentukan kebahagiaan hidup seseorang manusia. Ada unsur lain yang lebih berkuasa darinya. Manusia yang berpaksikan prinsip sedemikian adalah golongan yang akhirnya akan rugi/gagal dalam kehidupannya.Banyak telah dibuktikan. Banyak juga yang telah kita sama-sama saksikan. Justeru itu, ambillah iktibar dari kisah yang dipaparkan penulis hebat ini buat renungan bersama.

Mesej ini adalah intipati dalam kisah yang dicoretkan dalam karya terbaru penulis handalan yang saya kagumi ini. Menerusi 2 watak utama yang menjadi tunjang cerita; Wardina dan Zafrul kita dibentangkan dengan rentetan kehidupan 2 insan yang berbeda latar belakang dan prinsip tapi disatukan oleh lafaz ijab dan kabul demi satu matlamat yang telah disuratkan olehNya. Walau pelbagai rintangan, dugaan juga cabaran getir yang terpaksa ditempuh namun atas nama sebuah keredhaan kebahagiaan hakiki menjadi balasan.

Wardina adalah tunjang utama di dalam kisah ini. Wanita yang yatim piatu sejak kecil dan dipelihara ibu angkat yang berharta orangnya namun tidak melihat kelebihan itu satu yang perlu dimegahkan. Kekayaan bukanlah milik mutlak empunyanya kerna didalamnya telah ditetapkan syariat bahwa ada dari sebahagian kekayaan itu untuk dimilikkan kepada orang lain yang memerlukan. Konsep Inilah yang dipaparkan penulis menerusi Wardina yang adil dalam menyalurkan harta peninggalan ibu angkatnya yang menjadi miliknya untuk sama-sama dinikmati oleh insan lain.Atas dasar itu ,keberkatan pasti dilimpahkan olehNya atas setiap harta berkenaan. Dalam realiti kehidupan, terlalu sedikit manusia yang mengikuti juga mengamalkan syariat ini. Kerakusan juga ketamakan manusia tanpa rasa syukur atas kurniaanNya pasti mengundang bencana.

Plot cerita bergerak dengan lancar dan kemas sekali. Penggunaan teknik imbasan kembali demi menyokong perjalanan cerita juga diaplikasikan dengan cantik sekali oleh penulis. Walau ada sedikit kesilapan kecil yakni dalam dialog yang merujuk watak yang salah namun ia tidaklah mencacatkan perjalanan cerita secara keseluruhan. Diharap pihak editor lebih berhati-hati agar kesilapan sebegini tidak berulang di masa hadapan.

Dari sudut pembinaan watak oleh penulis, kesederhanaan juga ketegasan Wardina amat kontras dengan perwatakan Zafrul yang agak memualkan pada awalnya. Penulis nyata berjaya membina suatu perbezaan yang ketara antara 2 watak utama ini. Yang nyata ia amat menarik sekali agar pembaca bisa menyusuri latar belakang kehidupan yang membawa kepada perbezaan dua watak ini. Proses kematangan 2 watak utama ini juga cukup menarik. Rentetan peristiwa demi peristiwa dalam hidup tanpa kira apa warnanya menggukuhkan lagi kecemerlangan Wardina. Zafrul yang dari awal agak memualkan, namun perjalanan yang dilaluinya membuatkan pembaca jadi simpati dengannya. Dia bukanlah watak yang kelam sebenarnya cuma gagal mengenal warna diri yang sepatutnya.

Watak lain yang menarik untuk diselami adalah Tan Sri Jalal yakni bapa Zafrul. Prinsip juga sikap yang amat keterlaluan yang bukan shaja mencetuskan perasaan sakit hati, dendam, benci terhadapnya malahan paling menakutkan dia seolah-olah mencabar kekuasaanNya...dan akhirnya ia membawa padah yang amat mengerikan sekali. Hukuman juga balasan buatnya yang dilayarkan penulis cukup mengesankan sekali bagi saya. Benar seperti dikata, tidak perlu menunggu hingga mati untuk melihat pembalasan setiap perbuatan jahat, malah di dunia sudah diberikan, sudah disaksikan dan dipertontonkan sebagai amaran pada yang ingkar...

Buat kak yati, sekalung tahniah untuk KEMBALIKAN CINTAKU. Semoga akan terus cemerlang mencoretkan dan berkongsi kisah-kisah kehidupan manusia di masa hadapan. Buat pembaca khususnya peminat penulis prolifik ini, anda harus pastikan naskhah ini dalam genggaman.